#6875: Penggunaan Ekstrak Vanila (Vanilla Extract) dalam Makanan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah ekstrak vanila (vanilla extract) halal untuk digunakan dalam makanan kerana ia mengandungi alkohol? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Ekstrak Vanila

Kami mulakan dengan menerangkan definisi ekstrak vanila terlebih dahulu. Ringkasnya, ekstrak vanila disediakan dengan menghancurkan biji vanila kering yang telah diawetkan dan diekstrak menggunakan alkohol. Perisa vanila dibuat daripada oleoresin vanila, yang merupakan pekatan semi pejal gelap dari ekstrak vanila, serta alkohol dan air. Vanila tiruan pula dibuat daripada vanillin yang disintesis secara komersial.[1]

Di Amerika Syarikat, untuk mendapatkan ekstrak vanila yang dipanggil tulen, Pentadbiran Makanan dan Dadah A.S. [Food and Drug Administration (FDA)] memerlukan larutan itu mengandungi sekurang-kurangnya 35% alkohol dan 100 g biji vanila bagi setiap liter (13.35 auns setiap gelen). Kekuatan sekali ganda dan dua kali ganda (sehingga 20 kali ganda) ekstrak vanila juga boleh didapati.

Ekstrak vanila ialah bentuk vanila yang paling biasa digunakan hari ini. Vanila Mexico, Tahiti, Indonesia dan Bourbon adalah jenis utama. Vanilla bourbon dinamakan untuk tempoh ketika pulau Réunion diperintah oleh raja-raja Bourbon Perancis; ia tidak mengandungi wiski Bourbon.

Perisa vanila semula jadi berasal dari kacang vanila sebenar dengan sedikit alkohol. Jumlah maksimum alkohol yang biasanya hadir hanya 2-3%. Ekstrak vanila tiruan mengandungi vanillin, dibuat dari guaiakol atau dari lignin, hasil sampingan industri pulpa kayu.[2]

Penggunaan Ekstrak Vanila dalam Makanan

Seterusnya, dalam menjawab soalan ini, secara umumnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudharatan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan — dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Selain itu, al-Qarafi juga ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal — berlepas daripada hukum haram.

Sekalipun begitu, di sana juga terdapat satu ciri atau kaedah penting dalam menentukan hukum makanan dan minuman yang mengandungi alkohol sama ada ia terhasil secara semula jadi ataupun alkohol sintetik yang dimasukkan sebagai bahan perisa, bahan penstabil dan seumpamanya iaitu unsur memabukkan. Apa-apa makanan dan minuman yang memabukkan adalah haram untuk dimakan dan diminum. Dalilnya adalah sebagaimana riwayat Ummul Mukminin, Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Semua yang memabukkan adalah haram.”

Riwayat Bukhari (5263) dan Muslim (2001)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, yang dimaksudkan dengan hadith ini adalah, telah menjadi ciri atau sifat minuman tersebut membuatkan orang mabuk, sama ada ketika meminumnya menyebabkan seseorang mabuk ataupun tidak. Selain itu, al-Khattabi juga ada menyebutkan, dalam hadith ini terdapat dalil bahawa minuman yang memabukkan hukumnya adalah haram, apa pun jenisnya sama ada sedikit atau banyak, kerana lafaz umum ini dimaksudkan jenis minuman yang dapat memabukkan. Hal ini sama seperti jika dia mengatakan, “Segala makanan yang mengenyangkan maka hukumnya halal,” maka perkataan ini memberi petunjuk bahawa segala makanan yang untuk mengenyangkan maka hukumnya halal, meskipun pada sebahagian orang tidak dapat kenyang hanya dengan makan makanan tersebut.  (Lihat Fath al-Bari, 1/381)

Namun, bukan semua makanan yang mengandungi alkohol itu adalah arak. Terdapat makanan dan minuman yang apabila dimakan mengikut ‘uruf setempat tidak memabukkan. Ia juga tidak najis kerana penghasilan alkohol itu bukan tujuan utama pembuatan makanan itu, sebaliknya hanya kesan sampingan yang terhasil daripadanya seperti tapai, air nira, teh kombucha dan seumpamanya. Sekalipun begitu, jika memakan dan meminumnya menjadikan seseorang itu mabuk, maka tidak syak lagi ia adalah diharamkan sepertimana hukum arak.

Hal ini dapat dilihat sebagaimana dinyatakan dalam Fatwa Kerajaan Negeri Brunei Darussalam Tahun 2005 (hlm. 74-75) yang menyebut: “Ini bermaksud bahawa kenajisan alkohol itu adalah bertolak dari sebab kenajisan arak yang sifatnya sebagai minuman yang memabukkan. Maka, dapat difahami bahawa semata-mata alkohol bukanlah najis selama mana ia tidak diambil (extract) daripada arak atau mana-mana minuman yang memabukkan, kerana kueh tapai yang biasa dimakan pun menurut pakar ada mengandungi alkohol, namun ia tidak diharamkan, kerana tidak memabukkan.”

Tambahan lagi, menurut Dr. Basri bin Ibrahim ketika beliau membahaskan berkenaan penggunaan alkohol ada menyatakan, alkohol antara bahan yang digunakan di dalam memproses kebanyakan makanan dan minuman halal. Cuma kandungannya sahaja yang kecil iaitu sekitar 5%. Kadang-kadang lebih dari kuantiti ini. Itupun berlaku secara semulajadi dan bukannya hasil tindak balas yang dilakukan oleh seseorang. Misalnya seluruh jenis perahan buah-buahan, susu pekat (Zabadi) dan bahan-bahan pengawet. Tidak ada satupun daripada makanan dan lain-lain yang kita sebutkan di sini dari segi saintifiknya boleh diletakkan dibawah kategori benda-benda yang memabukkan atau minuman beralkohol. Tidak ada seorangpun yang mengatakan, ia merupakan bahan-bahan yang mengandungi alkohol. Di kalangan para ulama pula, tidak ada perselisihan di kalangan mereka dari segi kebolehan menggunakan bahan-bahan ini.

Dr. Muhammad Ali al-Bar, pakar perubatan daripada Arab Saudi dan juga penasihat Bahagian Perubatan Islam Pusat Penyelidikan Perubatan al-Malik Fahd, Universiti al-Malik Abd al-Aziz, Jeddah, berkata bahawa menggunakan alkohol jenis ini untuk mencairkan minuman Coca Cola, di mana kuantiti kecil ditaruh di dalam kuantiti air yang banyak, sehingga jika seseorang meminumnya, tidak akan mabuk, adalah harus, kerana alasan pengharamannya iaitu memabukkan, sudah tidak ada. Ulama menyamakan alkohol seumpama ini, dengan najis yang sedikit yang jatuh ke dalam air yang banyak, yang lebih daripada dua kolah, yang tidak menjejaskan kesucian air itu. Apatah lagi, bahan yang dikenali dengan nama alkohol Ethyl dikira sebagai bahan yang suci, sekiranya kita letakannya sebagai satu bahan yang baru, kerana memakai prinsip asal sesuatu benda itu adalah suci. (Lihat Isu-isu Fiqh Halal & Haram Semasa oleh Dr. Basri bin Ibrahim, hlm. 598-605).

Perkara ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ ۚ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”

(Surah al-A‘raf: 32)

Bahkan di sana terdapat beberapa keputusan atau pandangan hukum Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dari 1988 hingga 2011 berkenaan isu alkohol dalam makanan dan minuman. Kami rangkumkan keputusannya sebagaimana berikut:

  • Kordial yang mengandungi bahan perisa (flavour) yang dimasukkan alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan untuk tujuan minuman sekiranya:
  • Alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak.
  • Bahawa kuantiti alkohol dalam perisa (flavour) itu adalah sedikit iaitu tidak memabukkan.
  • Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.
  • Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
  • Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.
  • Tapai halal dimakan
  • Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan
  • Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan
  • Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh ) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh
  • Minuman ringan yang diproses bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum
  • Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum
  • Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa penggunaan ekstrak vanila dalam makanan atau minuman adalah tidak mengapa dan dibolehkan, meskipun proses ekstraknya melibatkan rendaman dalam alkohol. Ini kerana alkohol itu merupakan alkohol sintetik dan bukannya alkohol yang terhasil melalui proses pembuatan arak. Selain itu, ia juga  tidak memberi kesan kepada “vanila,” dalam erti kata lain, ia tidak menyebabkan mabuk kepada orang yang memakannya, mahupun terdapatnya kesan alkohol yang muncul semasa memakannya. Jadi, ia adalah selari dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyatakan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Selain itu, alkohol (yang bukan melalui proses pembuatan arak) dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Organisasi Islam untuk Sains Perubatan (Islamic Organization for Medical Sciences) telah meneliti dan mengkaji topik berkenaan “bahan-bahan yang haram dalam makanan dan ubat-ubatan” dan antara kesimpulan yang dicapai adalah:

“Bahan alkohol tidak dianggap najis dari segi syariah; berdasarkan apa yang telah diputuskan bahawa hukum asal segala benda adalah suci, sama ada alkohol tersebut sahaja (tulen) atau dicampurkan dengan air, kerana menerima pakai pandangan ulama yang menghukumkan kenajisan arak dan lain-lain bahan yang memabukkan, hanyalah berbentuk maknawi dan bukannya hissi, kerana ia dianggap sebagai benda kotor yang menjadi kesukaan syaitan.

Bahan-bahan makanan yang dalam proses pembuatannya menggunakan sedikit alkohol untuk melarutkan beberapa bahan yang tidak larut dalam air, seperti pewarna dan pengawet, dan sebagainya: adalah dibenarkan untuk dimakan; kerana keadaan ini sudah dianggap sebagai ‘umum al-balwa (suatu yang sudah menjadi kebiasaan) dan juga kerana sebahagian besar alkohol yang ditambah akan menguap semasa proses pembuatan makanan.” (Diambil daripada resolusi Nadwah Fiqh Perubatan Kali Kelapan anjuran Organisasi Islam untuk Sains Perubatan. Lihat juga teks penuh dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/209-211).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.britannica.com/plant/vanilla. Diakses pada 19 Ogos 2024.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Ekstrak_vanila. Diakses pada 19 Ogos 2024.