#6879:  Melihat Bentuk Asal Malaikat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah malaikat boleh dilihat oleh manusia selain Rasulullah SAW dalam bentuk asal mereka?   Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Malaikat adalah hamba-Nya yang tidak bermaksiat kepada Allah SWT dan selalu melaksanakan apa yang diperintahkan-Nya. Allah SWT telah menciptakan mereka dan menentukan bahawa mereka akan selalu mentaati-Nya dan beribadah kepada-Nya.

Antara mereka ada yang ditugaskan menyampaikan wahyu, ada yang ditugaskan menurunkan rezeki, ada yang ditugaskan menjaga gunung-gunung atau yang ditugaskan sebagai makluk yang selalu beribadah, solat dan tasbih serta berzikir kepada Allah SWT.

Jumlah malaikat adalah tidak terhitung banyaknya. Sabda Nabi SAW:

إِنِّي أَرَى مَا لَا تَرَوْنَ، وَأَسْمَعُ مَا لَا تَسْمَعُونَ أَطَّتِ السَّمَاءُ، وَحُقَّ لَهَا أَنْ تَئِطَّ مَا فِيهَا مَوْضِعُ أَرْبَعِ أَصَابِعَ إِلَّا وَمَلَكٌ وَاضِعٌ جَبْهَتَهُ سَاجِدًا لِلَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku melihat apa yang tidak kalian lihat, aku mendengar sesuatu yang tidak kalian dengar. Langit merintih dan layak baginya untuk merintih. Tidak ada satu ruang selebar 4 jari, kecuali di sana ada malaikat yang sedang meletakkan dahinya, bersujud kepada Allah.”

Riwayat al-Tirmizi (2312), Ibn Majah (4190) dan Ahmad (21516). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menilai hadis ini sebagai hasan li ghairihi dalam takhrij al-Musnad (21516)

Antara ciri-ciri malaikat sepertimana disebut dalam kitab bukunya al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha oleh Syeikh Abd al-Rahman Hasan Habannakah al-Maidani ialah:

  • Ia merupakan makhluk daripada cahaya.
  • Malaikat bersama kita tetapi kita tidak dapat melihat mereka.
  • Malaikat mampu menyerupai segala sesuatu dan berubah bentuk.
  • Kekuatan dan kemampuan mereka luar biasa seperti memikul arasy dan meniup sangkakala.
  • Taat hanya kepada Allah SWT
  • Hampir kepada Allah SWT dan dimuliakan-Nya.
  • Sebagai utusan kepada para Nabi.
  • Mampu naik dan turun daripada langit ke bumi tanpa sebarang masalah.
  • Takut hanya kepada-Nya.
  • Makhluk sebelum terciptanya manusia.
  • Mempunyai sayap dua pasang, tiga pasang dan empat pasang. (Lihat al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha, oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman Hasan Habannakah al-Maidani, hlm. 235-240)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa malaikat tidak menzahirkan kepada manusia dalam bentuknya yang asal melainkan kepada Rasulullah SAW. Para sahabat pernah melihat malaikat dalam bentuknya yang berupa seorang lelaki akan tetapi bukan dalam bentuknya yang asal. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatakan daripada Umar bin al-Khattab bahawa Rasulullah SAW bertanya kepadanya:

يا عُمَرُ أتَدْرِي مَنِ السّائِلُ؟ قُلتُ: اللَّهُ ورَسولُهُ أعْلَمُ، قالَ: فإنَّه جِبْرِيلُ أتاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ.

Maksudnya: “Wahai Umar, tahukah kamu siapa yang bertanya itu?” Aku menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda, “Sesungguhnya dia adalah Jibril, yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.”

Riwayat Muslim(8)

Dapat difahami melalui hadith ini para sahabat pernah melihat malaikat dalam bentuk rupa seorang lelaki setelah dikhabarkan oleh Baginda SAW. Dinayatakan dalam Syarah Riyadh al-Salihin, oleh Ibn Uthaimin (1/346) bahawa: “Allah telah memberikan kepada malaikat kemampuan untuk berubah bentuk selain daripada bentuk asal mereka. Maka, malaikat itu telah datang dalam rupa lelaki ini.”

Selain itu, dalam isu ini Dar al-Iifta al- ‘Am menyatakan:  Adapun melihat malaikat dalam bentuk selain daripada bentuk asalnya, di mana ia muncul dalam rupa manusia, adalah mungkin dan telah berlaku kepada ramai sahabat R.Anhum.[1]

Begitu juga kadang-kadang dikatakan Jibril menyerupakan dirinya seperti sahabat Nabi bernama Dihyah al-Kalbi sebagaimana yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid, katanya:

أَنَّ جِبْرِيلَ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعِنْدَهُ أُمُّ سَلَمَةَ، فَجَعَلَ يَتَحَدَّثُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأُمِّ سَلَمَةَ: مَنْ هَذَا؟ أَوْ كَمَا قَالَ، قَالَتْ: هَذَا دِحْيَةُ، فَلَمَّا قَامَ، قَالَتْ: وَاللَّهِ مَا حَسِبْتُهُ إِلَّا إِيَّاهُ، حَتَّى سَمِعْتُ خُطْبَةَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُخْبِرُ خَبَرَ جِبْرِيلَ

Maksudnya: “Aku dikhabarkan bahawa Jibril datang kepada Nabi SAW dan Umm Salamah berada bersamanya pada ketika itu. Lalu Nabi bertanya kepada Umm Salamah: “Siapakah ini?” atau seperti yang Baginda katakan. Umm Salamah menjawab: “Ini ialah Dihyah.” Ketika Baginda berdiri, Umm Salamah berkata: “Demi Allah, aku tidak sangka dia itu melainkan Dihyah, sehingga aku mendengar khutbah Nabi SAW mengkhabarkan berita Jibril.”

Riwayat al-Bukhari (3634, 4980)

Syeikh Nuh ‘Ali Salman menyebutkan : Ini menunjukkan bahawa manusia tidak mampu melihat malaikat dalam bentuk asal mereka yang telah diciptakan. Jika seseorang mendakwa bahawa dia melihat malaikat dalam bentuk asal mereka dan dia adalah seorang yang soleh dan jujur, maka kita serahkan urusannya kepada Allah SWT kerana perkara ini tidak berkaitan dengan hukum syarak.[2]

Justeru, berdasarkan perbincangan yang dibawakan di atas, jelaslah kepada kita bahawa  manusia selain daripada Rasul tidak berupaya melihat malaikat kecuali jika malaikat tersebut menzahirkan diri dalam bentuk manusia dan diberitahu oleh nabi SAW. Ini menunjukkan bahawa malaikat muncul dalam bentuk yang boleh dilihat oleh manusia, tetapi bukan dalam bentuk asal mereka.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://aliftaa.jo/fatwa/3769/%d8%ad%d9% Diakses pada 20 Ogos 2024

[2] Lihat https://www.aliftaa.jo/encyclopedia/2594/%D9%87%D9%84-%D9% Diakses pada 20 Ogos 2024