#6880: Biodata Syeikh Muhammad Nawawi Ibn al-Syeikh Umar al-Jawi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan secara ringkas biodata Syeikh Nawawi al-Jawi? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)

Beliau ialah Abu ‘Abd al-Mu‘ti Muhammad Nawawi bin al-Syeikh Umar bin Ali al-Jawi, al-Bantani al-Tanari, kemudian al-Makki al-Syafi‘i. Beliau adalah seorang ulama yang soleh, tokoh ilmuwan dan ahli fiqh yang bermanfaat. Beliau dilahirkan di “Banten” di Jawa, Indonesia, pada tahun 1230 H. Beliau berhijrah ke Makkah pada usia muda untuk menuntut ilmu dan menetap di sana. Di Makkah, beliau mencapai kematangan dalam ilmu dan pengetahuan, dan tinggal di sana sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1316 H. Namun, ada yang berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 1314 H, dan dikebumikan di perkuburan al-Ma‘la.

Beliau menerima pendidikan di Makkah daripada beberapa syeikh dan guru, antaranya: Al-Syeikh Ahmad bin ‘Abd al-Rahman al-Nahrawi, al-Syeikh Ahmad bin Ahmad al-Dimyati al-Hafnawi, al-Syeikh Ahmad bin Ahmad al-Syuhaimi, al-Syeikh Yusuf al-Sunbalawi, dan ramai lagi.

Sesungguhnya Allah SWT telah memberkati beliau dengan harta dan keadaan yang baik, sehingga beliau memiliki banyak kitab yang memperluas pengetahuannya dan menambahkan lagi ilmunya. Koleksi kitab-kitab tersebut memberi impak besar kepada banyaknya karya dan penulisan bermanfaat daripada beliau. Rumahnya di Makkah menjadi pusat pengajian untuk pelajar, terutamanya dari Jawa, di mana mereka tinggal untuk menuntut ilmu dengan beliau di samping sangat menjaga tingkah laku dan adab mereka. Pelajar yang menghadiri pengajiannya semakin meningkat hingga mencapai dua ratus pelajar, bahkan lebih daripada jumlah itu. Dalam masa yang sama, kesibukannya dalam majlis pengajiannya itu tidak menghalang beliau daripada terus menulis, meneliti, membaca, dan beribadah dengan penuh khusyuk kepada Allah SWT.

Selain daripada itu, Allah SWT juga telah memberkati masa dan umur beliau sehingga sebahagian ulama Mesir pada zamannya terkejut dengan banyaknya karya dan penulisan ilmiah yang dihasilkan oleh beliau. Mereka sangat ingin berjumpa dengannya dan apabila bertemu, mereka mendapati beliau adalah seorang yang sangat sederhana dan rendah hati — tawaduk. Apabila mereka mengemukakan pelbagai persoalan dan masalah, beliau menjawabnya dengan jawapan tepat dan segera, yang secara tidak langsung hal itu telah menambahkan lagi penghormatan mereka terhadap beliau.

Beliau meninggalkan lebih daripada 30 karya bermanfaat dalam bidang fiqh, hadith, tafsir, kalam, dan tasawuf. Di antaranya ialah:

  • Marah Labid li Kasyf Ma‘na Qur’an Majid. Ia adalah sebuah tafsir al-Quran.
  • Al-Tausyih ‘ala Syarh Ibn Qasim al-Ghazzi. Ia telah dicetak beberapa kali, termasuk cetakan di Matba‘ah Bulaq pada tahun 1314 H.
  • Kasyifah al-Saja fi Syarh Safinah al-Naja. Ia telah dicetak berkali-kali, dengan cetakan terbaru oleh Dar Ibn Hazm yang disunting/ditahqiq oleh Syeikh Bassam al-Jabi.
  • Maraqi Su‘ud al-Tasdiq fi Sullam al-Taufiq ila Mahabbah Allah ‘ala al-Tahqiq. Ia dicetak di Matba‘ah al-Maimaniyyah pada tahun 1306 H. Pengarang asal matan “Sullam al-Taufiq” ialah al-Sayyid al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif billah al-Habib Abdullah bin Husain bin Tahir.
  • Nur al-Zalam Syarh ‘Aqidah al-‘Awam. Ia telah dicetak berkali-kali, dengan cetakan terbaru oleh Dar al-Hawi pada tahun 1416 H.
  • Maraqi al-‘Ubudiyyah. Ia merupakan syarah kepada kitab Bidayah al-Hidayah karya al-Hujjah al-Ghazali.
  • Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmah al-Din.
  • Al-Bab al-Bayan. Ia adalah syarah kepada Risalah fi isti‘arat oleh Syeikh Husain al-Maliki. dicetak pada tahun 1301H di Matba’ah Muṣṭafā Muḥammad.
  • Fath al-Mujib bi Syarh Mukhtasar al-Khatib fi Manasik al-Hajj.
  • Bahjah al-Wasa’il bi Syarh al-Masa’il Syarh al-Risalah al-Jami‘ah baina Usul al-Din wa al-Fiqh wa al-Tasawwuf.

Penerangan berkenaan biodata Syeikh Muhammad Nawawi Ibn al-Syeikh Umar al-Jawi ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh pentahqiq ke atas kitab beliau, Bahjah al-Wasa’il bi Syarh al-Masa’il (hlm. 9-11), Terbitan Dar Talib al-Azhar, Cetakan Pertama, tahun 2019 Masihi.

Justeru, marilah kita menghormati ulama’ kerana dia adalah pewaris para nabi. Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”.

Riwayat Abu Daud (3641). Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”