#6881: Status Jamak Qasar: Outstation selama 7 Hari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika saya bermusafir (outstation) selama 7 hari, adakah saya boleh menjamak solat sepanjang tempoh tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Kesimpulan

Justeru itu, menjawab soalan di atas, kami katakan jika sekiranya anda telah berazam untuk tinggal di tempat yang anda akan pergi selama empat hari atau lebih, maka ia bermaksud anda telah bermukim di tempat itu. Maka, sebaik sahaja anda sampai di tempat tersebut, statusnya dikira sebagai orang bermukim dan bukan lagi bermusafir. Oleh itu, anda wajib mendirikan solat secara sempurna seperti biasa. Akan tetapi, dalam perjalanan ke destinasi yang anda tuju, anda boleh untuk melakukan jamak qasar kerana dikira masih dalam musafir.

Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, katanya:

وَلَوْ نَوَى إقَامَةَ أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ بِمَوْضِعٍ انْقَطَعَ سَفَرُهُ بِوُصُولِهِ. وَلَا يُحْسَبُ مِنْهَا يَوْمَا دُخُولِهِ وَخُرُوجِهِ عَلَى الصَّحِيحِ.

Maksudnya: “Sekiranya seseorang berniat untuk bermukim selama empat hari di tempat yang ditujunya, maka terputuslah musafirnya sebaik sahaja dia tiba (di tempat tersebut), dan tidak dikira dari tempoh itu, hari dia masuk (ke tempat itu) dan keluar (dari tempat itu) menurut pendapat yang sahih.” (Lihat Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh, hlm. 44)

Hal ini kerana menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, apabila berniat menetap selama empat hari (atau lebih), maka jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu dia tidak harus bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat qasar kekal semasa dalam perjalanan sahaja. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186).

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”