#6882: Tafsir Ayat 17 Surah al-Zariyat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah tafsiran ayat 17 dalam Surah al-Zariyat? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كَانُوا قَلِيلًا مِّنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ

Maksudnya: “Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.”

(Surah al-Zariyat: 17)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan beberapa tafsiran ulama berkaitan ayat di atas sebagaimana berikut:

  • Ibn Juzai menyatakan bahawa: “الهجوع” bermaksud tidur. Mengenai makna ayat ini, terdapat dua pendapat: Pertama, iaitu yang sahih, ialah mereka tidur sedikit pada waktu malam dan menghabiskan sebahagian besar malam dengan berjaga untuk solat, merendahkan diri, dan berdoa. Kedua, mereka tidak tidur pada waktu malam sama ada sedikit atau banyak. (Lihat al-Tashil li  ‘Ulum al-Tanzil, 2/307)
  • Anas bin Malik menyatakan: Mereka berjaga dan solat di antara dua waktu solat ini, iaitu antara Maghrib dan Isyak.
  • Muhammad bin ‘Ali menafsirkan dengan menyatakan: Mereka tidak tidur sehingga mereka menunaikan solat “العتمة” (Isyak).
  • Mutrif pula menyatakan: Jarang sekali ada malam yang berlalu tanpa mereka menunaikan solat di dalamnya.
  • Ibn ‘Abbas menyebutkan: Tidak ada malam yang berlalu melainkan mereka mengambil manfaat daripadanya, walaupun sedikit.
  • Abu al-Najih menafsirkan dengan: Mereka jarang sekali tidur sepanjang malam sehingga pagi. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/502-504)

Sebagai kesimpulannya, ayat ini menggambarkan sifat orang-orang yang soleh dan bertakwa, yang mengorbankan waktu tidur mereka untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ini adalah ciri khas dari orang-orang yang benar-benar bersungguh dalam ibadah dan usaha mereka untuk mencapai keredhaan Allah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a‘lam