#6888: Kekuatan Impian

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana kekuatan impian para sahabat sebagai contoh dalam kita mengemudi kehidupan kita?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.

(Surah Ali Imran: 133)

Imam al-Baghawi Rahimahullah apabila mensyarahkan ayat ini beliau berkata: ‘’Iaitu bersegera dan berlumbalah kamu menuju ke arah amalan-amalan yang menyebabkan kepada keampunan’’. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 2/104).

Syeikh al-Sabuni berkata: Hendaklah kamu berlumba-lumba kepada perkara yang mewajibkan keampunan melalui ketaatan kepada Allah dan mengikut segala titah perintah-Nya. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/210)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith Nabi SAW, seperti dalam riwayat Rabi’ah bin Ka’ab al-Aslami R.A, katanya:

 كُنْتُ أَبِيتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَتَيْتُهُ بِوَضُوئِهِ وَحَاجَتِهِ فَقَالَ لِي ‏: سَلْ ‏ ‏.‏ فَقُلْتُ أَسْأَلُكَ مُرَافَقَتَكَ فِي الْجَنَّةِ ‏.‏ قَالَ ‏:‏ أَوَغَيْرَ ذَلِكَ ‏ ‏.‏ قُلْتُ هُوَ ذَاكَ ‏.‏ قَالَ ‏:‏ فَأَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ‏.‏

Maksudnya: Aku pernah bermalam bersama Rasulullah SAW. Aku pun membawakan kepadanya dengan bekas air wuduknya dan hajatnya lalu Baginda pun berkata kepadaku: “Mintalah sesuatu (kepadaku).” Aku pun membalas: “Aku memohon agar dapat menemanimu di syurga kelak.” Baginda berkata: “Ada lagi selain itu?” Aku menjawab: “Itu sahaja, wahai Rasulullah.” Ujar Baginda: “Jika begitu, bantulah aku buat dirimu (untuk mendapatkan permintaan tersebut) dengan perbanyakkan sujud.”

Riwayat Muslim (489)

Jiwa golongan yang berjaya itu bersemangat mencapai kecemerlangan lalu mereka menetapkan objektif-objektif yang agung. Perhatikan objektif sasaran Rabi’ah r.a.. la bukanlah semata-mata memasuki syurga. Bahkan, menemani Nabi SAW di syurga. Lantaran itu, Nabi SAW mengajarkan kepadanya bahawa objektif yang besar memerlukan harga dan kesungguhan yang besar.

Perkara yang penting bukanlah sesebuah tujuan itu menjadi impian, namun hendaklah kamu mengerah keringat yang setara bagi impian tersebut. Inilah yang membezakan orang berjaya yang berimpian dengan orang lain. Dia mengetahui nilai sesebuah impian dan kesungguhan yang diperlukan bagi mencapainya.

Hadis tersebut mengandungi beberapa faedah berhubung kebangkitan jiwa iaitu:

  1. Kamu hendaklah bersahabat dengan orang-orang besar yang berjaya, berkhidmat dengan mereka bagi mempelajari dan meneladani mereka serta mendapatkan kebaikan daripada peluang kejayaan mereka.
  2. Golongan yang berjaya itu berdedikasi dalam memberikan ganjaran kepada orang lain.

iii. Peluang hanya datang sekali. Janganlah disia-siakan kebaikanmu. dan manfaatkannya untuk

  1. Letakkan sasaran yang besar: “Menemanimu di syurga kelak.”
  2. Jangan sesekali mengetepikan impianmu: “Itu sahaja, wahai Rasulullah.”
  3. Berbincang dengan orang lain tentang objektif- objektif mereka dan pastikan kesungguhan mereka dalam mencapainya: “Ada lagi selain itu?”

vii. Jangan merendah-rendahkan orang lain dalam mencapai impian mereka tetapi hulurkanlah tangan kepada mereka.

viii. Peranan yang terutama dalam mencapai sesebuah tujuan terletak di atas bahumu kerana ia adalah tanggungjawabmu: “bantulah aku buat dirimu.”

  1. Tujuan yang besar memerlukan momentum dan kekonsistenan. Lantaran itu, Nabi SAW tidak mengatakan kepada Rabi’ah: “Hendaklah kamu bersujud.” Akan tetapi Baginda bersabda: “Hendaklah kamu perbanyakkan sujud.” (Lihat 40 Hadis Aspirasi Kejayaan Rasulullah SAW oleh Prof. Dr. Ali Ibrahim Sa’ud al-’Ajeen, hlm. 194-196)

Firman Allah SWT:

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ‎

Maksudnya: “Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

(Surah Ali Imran: 159)

Ibn Rajab menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih maslahat dan menolak mudarat berhubung urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT, serta pengukuhan iman bahawa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali   Dia. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 3/1266).

Sesungguhnya, dengan kita bermohon dan bermunajat kepada Allah, insya Allah, segala cita-cita kita, harapan dan impian kita akan dikurniakan-Nya. Marilah sama-sama kita berdoa kepada-Nya:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”