#6891: Pembelian Emas dengan Bayaran Tangguh

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Seorang wanita beli emas sebanyak ½ kg, tetapi pemilik kedai memberikannya terlebih dahulu tanpa mengambil sebarang bayaran. Selepas 40 tahun, adakah dia perlu bayar semula dengan harga asal atau mengikut nilaian semasa kini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Al-Baidhawi di dalam tafsirnya menyebutkan: Ayat ini menjadi dalil kepada keharusan berjual beli dan larangan melakukan riba. Beliau juga mengatakan bahawa ayat ini juga mengingkari perbuatan menyamakan jual beli bersama riba. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 1/162)

Dalam menjawab persoalan di atas, terdapat dua isu yang boleh dibincangkan agar saudara mendapat pencerahan yang jelas. Pertamanya berkenaan jual beli emas yang dikategorikan oleh para fuqaha’ sebagai salah satu item ribawi. Seterusnya adalah nilai yang perlu dibayar apabila berlaku jual beli emas secara bayaran tangguh, kerana emas juga merupakan salah satu aset berharga yang mengalami kenaikan harga dari tahun ke tahun.

Kami telah mengeluarkan beberapa artikel jawapan berkenaan masalah jual beli emas, dan kami menekankan bahawa emas itu termasuk dalam item ribawi (boleh berlaku riba padanya) yang perlu kita berwaspada dalam urusan jual beli. Ini berdasarkan hadith daripada ‘Ubadah bin al-Somit R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الْأَصْنَافُ، فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ، إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta.”

Riwayat Muslim (1587)

Emas dikategorikan dalam item ribawi kerana ‘illah al-thamaniyyah (الثَّمَنِيَّةُ), iaitu sesuatu yang bernilai. Maka diqiyaskan hukum wang ringgit dengan emas kerana kedua-duanya mempunyai ‘illah yang sama. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata, yang lebih jelas adalah ‘illah al-thamaniyyah pada emas dan bukannya ‘illah berat sepertimana yang disebutkan majoriti ulama. Sekiranya wang ringgit juga bernilai, maka ia juga mempunyai makna yang sama. Oleh itu, tidak boleh berlaku jual beli wang dengan wang secara tangguh. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 29/471-472)

Majma‘ al-Fiqh al-Islami al-Duwali juga telah mengeluarkan satu resolusi berkenaan “Hukum Wang Kertas dan Perubahan Nilai Mata Wang.” Di dalam persidangan ketiga di Amman – Jordan bertarikh 8 hingga 13 Safar 1407H bersamaan dengan 11-16 Oktober 1986M, setelah meneliti kajian-kajian yang dikemukakan kepada majlis mengenai tajuk ini, mereka memutuskan perkara berikut:

“Berkenaan dengan hukum wang kertas: bahawa ia adalah wang yang diakui dan mempunyai sifat thaman (nilai) sepenuhnya, dan terpakai padanya hukum-hakam syara‘ seperti yang ditetapkan pada emas dan perak dari segi hukum: riba, zakat, salam, dan segala hukumnya yang lain.”[1]

Selepas memahami hakikat emas dan juga wang ringgit, kita berpindah pula kepada perbincangan hukum jual beli yang melibatkan kedua-dua item di atas. Para fuqaha’ mengeluarkan 2 syarat utama bagi membolehkan jual beli item ribawi yang sama jenis, seperti membeli emas dengan emas, ia boleh berlaku secara sah menurut syara‘:

  • Al-Tamathul (التَمَاثُلُ): Mestilah sama kuantiti.
  • Al-Taqabudh (التَقَابُضُ): Mestilah berlaku serah terima secara lani, tanpa tangguhan.

Akan tetapi, sekiranya jual beli tersebut berlaku antara item ribawi yang berlainan jenis, seperti jual beli emas dengan wang ringgit, maka ketika itu dibenarkan al-tafadhul (التَّفَاضُلُ) atau berbeza kuantiti, dengan syarat berlakunya al-taqabudh (التَقَابُضُ) yakni serah terima secara lani tanpa tangguhan. Isu di dalam situasi yang saudara sebutkan ini, kami dapati telah berlakunya riba al-Yad (اليَدُ) iaitu jual beli item ribawi dengan bayaran item ribawi lain dengan kelewatan menyerahkan salah satu darinya di luar majlis akad, dalam keadaan kedua-dua item tersebut mempunyai ‘illah yang sama, tanpa disyaratkan tempoh tertentu ketika akad tersebut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/363)

Perbuatan ini adalah haram berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلْبَيْعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰا۟ ۚ

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Sekiranya jual beli ini berlaku dalam keadaan saudara tidak mengetahui hukum ini, maka kami berharap agar keterlanjuran tersebut diampunkan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Da’irah al-Ifta al-Urduniyah juga telah mengeluarkan fatwa berkenaan masalah ini. Mereka menyatakan, jual beli emas secara bertangguh ini bertentangan dengan hukum syara‘. Tidak dibolehkan menjual emas dengan tangguhan; kerana ia termasuk dalam riba yang diharamkan. Ini kerana wang tunai dan emas berkongsi sifat sebagai al-thamaniyyah (bernilai) yang menjadi sebab riba, maka tidak dibolehkan menjual salah satu daripadanya dengan yang lain secara tangguh. Rasulullah SAW bersabda:

الذَّهَبُ بِالوَرِقِ رِبًا إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ

Maksudnya: “(Jual beli) emas dengan perak adalah riba kecuali secara tunai.”

Riwayat al-Bukhari (2134)

Disebutkan: (إِلَّا هَاءَ وَهَاءَ), yakni diserahkan secara tunai, tidak boleh ditangguhkan salah satu darinya.[2]

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah turut mengeluarkan fatwa yang sama, bahawa larangan jual beli ini adalah jelas sebagaimana dalam hadith-hadith di atas. Apabila digariskan syarat al-Tamathul (التَمَاثُلُ) dan al-Taqabudh (التَقَابُضُ), maka jelas sekali diharamkan akad jual beli tersebut secara bertangguh.[3]

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam menjelaskan syarat jual beli emas secara tunai, mereka menyebutkan: “Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, sama ada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.” (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 83)

Berbalik kepada persoalan utama, sama ada harga yang perlu dibayar perlu mengikut nilai semasa atau harga asal, kami lebih cenderung mengatakan saudara perlu membayar harga asal; kerana jual beli tersebut sepatutnya berlaku secara tunai pada 40 tahun yang lalu. Hukum asal akad jual beli yang berlaku juga sudah berlaku riba, maka bagaimana mungkin untuk digandakan lagi pembayaran atas kelewatan tersebut. Allah SWT berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوا۟ ٱلرِّبَوٰٓا۟ أَضْعَـٰفًۭا مُّضَـٰعَفَةًۭ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.”

(Surah Ali ‘Imran: 130)

Allah SWT sebutkan: “berlipat-lipat ganda” sebagai peringatan betapa buruknya dosa ini juga sebagai penjelasan hikmah di sebalik pengharamannya; iaitu kezaliman. Allah mewajibkan memberi tempoh kepada orang yang susah untuk membayar hutang dan tidak meletakkan sebarang pemanbahan pada hutang tersebut. Maka, mengenakan bayaran lebih dari itu adalah satu kezaliman yang berganda. Oleh itu wajib bagi seorang mukmin yang bertakwa untuk meninggalkannya dan tidak mendekatinya, kerana meninggalkannya adalah salah satu sebab untuk mencapai ketakwaan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 147)

Kesimpulan

Kami simpulkan di sini, jual beli emas secara bertangguh ini adalah haram kerana berlaku padanya riba al-Yad. Akan tetapi, jika ia berlaku atas dasar tidak tahu, moga-moga Allah SWT memberikan keampunan dan tidak mencatatkannya sebagai maksiat dengan sengaja. Saudara juga hanya perlu membayar harga emas tersebut mengikut harga asal sahaja kerana jual beli itu perlu mengikut persetujuan asal berlakunya akad.

Beginilah serba ringkas yang dapat kami kongsikan. Sebaiknya saudara merujuk juga kepada mana-mana badan berautoriti agama berkenaan isu ini agar kita dapat mengambil manfaat dari jawapan yang lebih tuntas serta lengkap bersama penglibatan pakar-pakar dalam dunia muamalat Islam. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahu a‘lam

Nota hujung:

[1] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/1679.html. Diakses pada 20 Ogos 2024.

[2] Lihat https://www.aliftaa.jo/research-fatwas/687/%D9%8A%D8%AD%D8%B1%D9%85-%D8%A8%D9%8A%D8%B9-%D8%A7%D9%84%D8%B0%D9%87%D8%A8-%D8%A8%D8%AB%D9%85%D9%86-%D9%85%D8%A4%D8%AC%D9%84. Diakses pada 20 Ogos 2024.

[3] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/13702/%D8%B4%D8%B1%D8%A7%D8%A1-%D9%88%D8%A8%D9%8A%D8%B9-%D8%A7%D9%84%D8%B0%D9%87%D8%A8-%D8%A8%D8%A7%D9%84%D8%AA%D9%82%D8%B3%D9%8A%D8%B7. Diakses 20 Ogos 2024.