#6895: Berkumpul di Masjid; Makan-makan dan Berbual-bual di dalamnya Pada Hari Raya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kami sudah biasa berjumpa dan berkumpul di masjid kawasan kami, setiap kali tiba Aidilfitri atau Aidiladha untuk minum teh dan makan kuih-muih, sambil berbincang pelbagai topik. Apakah hukum amalan tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami katakan bahawa disyariatkan bagi umat Islam untuk menunjukkan kegembiraan pada hari raya; Aidilfitri dan Aidiladha, serta berkumpul bagi tujuan tersebut. Bahkan tidak ada halangan untuk melakukannya di dalam masjid.

Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتُرُنِي بِرِدَائِهِ، وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَى الحَبَشَةِ يَلْعَبُونَ فِي المــَسْجِدِ حَتَّى أَكُونَ أَنَا الَّتِي أَسْأَمُ. فَاقْدُرُوا قَدْرَ الجَارِيَةِ الحَدِيثَةِ السِّنِّ، الحَرِيصَةِ عَلَى اللَّهْوِ

Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW menutupiku dengan rida’ milik Baginda dan aku melihat kepada orang-orang Habsyah yang sedang bermain di masjid, hingga akhirnya aku sendiri yang bosan.  Maka kiralah berapa lama harus Baginda sabar untuk wanita yang masih muda dan berminat dengan permainan sepertiku.”

Riwayat al-Bukhari (5236) dan Muslim (892)

Selain itu, terdapat hadith lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (950) dan Muslim (892) bahawa:

وَكَانَ يَوْمَ عِيدٍ، يَلْعَبُ السُّودَانُ بِالدَّرَقِ وَالحِرَابِ

Maksudnya: “Dan adalah pada hari raya, sekumpulan orang berkulit hitam bermain dengan perisai dan lembing.”

Begitu juga tidak mengapa jika perhimpunan/perjumpaan tersebut turut disertai dengan makanan atau minuman yang sesuai. Al-Zarkasyi menyebutkan, dibolehkan untuk makan roti, buah-buahan, tembikai, dan makanan lain-lain di dalam masjid. Terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin al-Harith, katanya:

كُنَّا نَأْكُلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي الْمَسْجِدِ الْخُبْزَ وَاللَّحْمَ

Maksudnya: “Kami pernah makan roti dan daging di dalam masjid pada zaman Nabi SAW.

Riwayat Ibn Majah (3300); Ahmad (17702) dan al-Baghawi dalam Mu‘jam al-Sahabah (1673); Ia disahihkan oleh Syeikh al-Albani.

Sebaik-baiknya makanan-makanan itu diletakkan di atas alas sesuatu, dan berhati-hati agar ia tidak mengotorkan dan mencemarkan masjid, akibat tertumpah dan sebagainya, lalu mengundang serangga seperti semut, lalat dan lain-lain. Hal tersebut dibolehkan selagi mana makanan itu tidak berbau busuk atau bau yang kurang menyenangkan. Sekiranya ia berbau busuk atau bau yang kurang menyenangkan seperti bawang putih, bawang merah, dan seumpamanya, maka makruh memakannya di dalam masjid. Malah orang yang memakannya hendaklah dilarang daripada memasuki masjid sehingga hilang bau tersebut daripadanya. (Lihat I‘lam al-Sajid bi Ahkam al-Masajid, hlm. 329).

Tambahan lagi, ulama Hanabilah dan Syafi‘iyyah berpendapat, tidak mengapa dan tidak menjadi masalah untuk makan dan minum di dalam masjid seperti yang dinyatakan dalam Kassyaf al-Qina‘ (5/420), Matalib Uli al-Nuha (2/263) dan  al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (2/174).

Walau bagaimanapun, ulama Malikiyyah membezakan antara makan makanan ringan yang kering dengan makanan lainnya di dalam masjid. Mereka membolehkan untuk makan makanan yang ringan dan kering (yakni tidak berat) seperti kurma di dalam masjid, tetapi melarang makanan selain itu kecuali dalam keadaan darurat (keperluan mendesak). Ini sebagaimana dinyatakan oleh al-Baji bahawa adapun makan di dalam masjid, dalam kitab al-Mabsut dinyatakan, “Imam Malik tidak suka makan makanan seperti daging dan seumpamanya di dalam masjid.” Ibn al-Qasim menambah dalam al-‘Utbiyyah, “Atau (makan) di halaman masjid.” Adapun orang yang berpuasa yang didatangkan dengan makanan dari rumahnya seperti sawiq[1] dan makanan yang menyerupainya, Ibn al-Qasim menyebutkan: “Makanan yang ringan (tidak berat lagi kering), maka tidak mengapa dengan itu.” (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 1/311).

Selain daripada itu, Mantan Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Ibn Baz menyatakan, tidak mengapa tidur dan makan di dalam masjid bagi orang yang beriktikaf dan selainnya; berdasarkan hadith-hadith dan riwayat-riwayat yang menyebutkan berkenaan hal itu. Begitu juga riwayat yang sabit yang menyebutkan berkenaan keadaan Ahli Suffah (yang tidur di dalam masjid). Dengan syarat kebersihan masjid dipelihara dan dijaga serta berhati-hati agar tidak mengotorkannya dengan sisa makanan atau yang lainnya. Ini kerana terdapat hadith daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

عُرضتْ عليَّ أُجورُ أمتي حتى القذاة يخرِجُها الرجلُ من المسجدِ

Maksudnya: “Aku diperlihatkan ganjaran umatku, bahkan hingga cebisan kotoran yang dikeluarkan seseorang dari masjid.”

Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi serta disahihkan oleh Ibn Khuzaimah.[2]

Begitu juga berdasarkan hadith Aisyah R.Anha bahawa:

أن النبيَّ صلى الله عليه وسلم  أَمَرَ بِبِنَاءِ اَلْمَسَاجِدِ فِي اَلدُّورِ وَأَنْ تُنَظَّفَ وَتُطَيَّبَ

Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkan agar masjid-masjid dibina di kawasan perumahan dan supaya ia dibersihkan serta diberi wangi-wangian.”

Riwayat al-Khamsah kecuali al-Nasa’i dan sanadnya adalah baik.[3]

Perkataan al-Dur (اَلدُّور) bermaksud kawasan atau suku yang tinggal di bandar. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 15/439; Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 6/290).

Keduanya, kami katakan bahawa dibenarkan/dibolehkan untuk bercakap-cakap tentang perkara-perkara yang diharuskan di dalam masjid, walaupun percakapan itu berkait dengan urusan dunia, selagi ia tidak mengganggu orang yang sedang solat.

Terdapat riwayat daripada Jabir bin Samurah R.A bahawa:

أن النبي صلى الله عليه وسلم كَانَ لَا يَقُومُ مِنْ مُصَلَّاهُ الَّذِي يُصَلِّي فِيهِ الصُّبْحَ أَوْ الْغَدَاةَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ قَامَ ، وَكَانُوا يَتَحَدَّثُونَ فَيَأْخُذُونَ فِي أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ فَيَضْحَكُونَ وَيَتَبَسَّمُ

Maksudnya: “Nabi SAW biasa tidak bangun dari tempat solatnya (yakni Baginda terus duduk) selepas solat Subuh atau Fajar sehingga matahari terbit. Apabila matahari terbit, Baginda akan bangun. Mereka (para sahabat) berbual-bual tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan zaman Jahiliyyah, dan mereka ketawa (tentang perkara-perkara tersebut) sementara (Nabi SAW) hanya tersenyum.

Riwayat Muslim (670)

Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, dibolehkan untuk bercakap-cakap tentang perkara-perkara yang dibenarkan/diharuskan di dalam masjid, termasuk perkara-perkara keduniaan dan perkara-perkara lain yang dibenarkan, meskipun terhasil daripada percakapan itu ketawa dan seumpamanya, selagi ia dibenarkan; berdasarkan hadith Jabir bin Samurah (yang kami telah bawakan di atas). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/177).

Selain daripada itu, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pernah menyatakan, percakapan di dalam masjid terbahagi kepada dua bahagian:

Bahagian pertama: Jika ia mengganggu orang yang sedang solat, membaca (al-Quran), atau belajar (dalam pengajian di halaqah masjid), maka ia adalah tidak dibenarkan. Tidak ada seorang pun dibenarkan/dibolehkan untuk melakukan sesuatu yang mengganggu orang yang sedang solat, membaca, atau belajar.

Bahagian kedua: Jika ia tidak mengganggu sesiapa, maka sekiranya ia berkaitan dengan perkara-perkara kebaikan, ia adalah baik.

Sekiranya ia berkaitan dengan urusan-urusan dunia, sebahagiannya adalah dilarang/tidak dibenarkan dan sebahagiannya lagi adalah dibenarkan/dibolehkan. Contohnya, jual beli dan sewa menyewa adalah dilarang. Dalam erti kata lain, tidak dibenarkan seseorang menjual atau membeli di dalam masjid, atau menyewa atau menyewakan di dalam masjid, begitu juga mencari barang yang hilang kerana Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Jika kamu mendengar seseorang mencari/mengiklankan barang yang hilang, maka katakanlah: ‘Semoga Allah tidak mengembalikannya kepadamu kerana sesungguhnya masjid tidak dibina untuk tujuan itu.’[4]

Namun, dibolehkan untuk berbual-bual tentang urusan-urusan dunia dengan percakapan/perbualan yang benar (tidak menipu) dan tidak mengandungi apa-apa yang haram. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 8/2).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah dan tidak mengapa untuk berkumpul atau berjumpa di masjid pada hari raya bersama hidangan ringkas; teh dan kuih-muih sambil berbincang pelbagai topik seperti mana keadaannya yang dinyatakan di atas.

Akan tetapi mereka harus berjaga-jaga dan berhati-hati agar tidak mencemarkan masjid dengan apa-apa makanan atau minuman yang mungkin tertumpah, dan juga berhati-hati agar tidak mengganggu orang yang sedang solat, membaca al-Quran, atau melakukan ibadah lain. Begitu juga tidak mengapa berbual-bual mengenai topik atau urusan yang berkaitan keduniaan selagi mana ia tidak melibatkan perkara-perkara yang haram dari segi syarak seperti menipu, lucah dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Nota hujung:

[1] Sawiq ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada gandum dan barli yang halus.

[2] Riwayat Abu Dawud (461) dan al-Tirmizi (2916)

[3] Riwayat Abu Dawud (455) dan al-Tirmizi (594) dan Ibn Majah (758) dengan sedikit perbezaan lafaz.

[4] Riwayat Muslim (568)