#6898:  Larangan Bersumpah Palsu Ketika Berjual Beli (Hariz)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah syarak melarang perbuatan bersumpah palsu dalam berjual beli? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ

Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi, kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.”

(Surah al-Maidah: 89)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat  ini beliau menyatakan bahawa: Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan, iaitu sumpah yang diucapkan tanpa niat atau tujuan, atau sumpah yang diucapkan dengan menyangka ia benar, tetapi ternyata sebaliknya. Allah SWT menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu ikat dengan sungguh-sungguh, iaitu sumpah yang kamu azamkan dan niatkan dalam hati kamu (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 242)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan benar terdapat larangan daripada Rasulullah SAW terhadap perbuatan bersumpah dalam berjual beli. Yang demikian boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ِAbu Hurairah R.A bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 سَمِعْتُ رَسولَ اللَّهِ ﷺ يقولُ: الحَلِفُ مُنَفِّقَةٌ لِلسِّلْعَةِ، مُمْحِقَةٌ لِلْبَرَكَةِ.

Maksudnya: “Bersumpah (dusta) itu melariskan barang dagangan, tetapi menghilangkan keberkatan.”

Riwayat al-Bukhari (2087) dan Muslim (1606)

Hadith ini menunjukkan bahawa: apabila seseorang bersumpah dengan berkata: demi Allah, saya membelinya dengan harga sekian, demi Allah, saya tidak menjualnya dengan harga sekian, demi Allah, saya tidak mendapatkannya dengan harga sekian, lalu  pembeli merasa yakin kerana sumpah tersebut, maka dengan sumpah tersebut, Allah SWT akan menghilangkan darinya keberkatan. Ia memberi peringatan agar berhati-hati daripada banyak bersumpah dalam jual beli.

Dalam hadith lain, terdapat ancaman keras bagi orang yang banyak bersumpah dalam jual beli, dan bahawa dia termasuk dalam tiga golongan yang diancam dengan ancaman yang berat. Yang demikian sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

 ثَلاثَةٌ لا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ يَومَ القِيامَةِ، وَلا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ: رَجُلٌ حَلَفَ على سِلْعَةٍ لقَدْ أَعْطى بها أَكْثَرَ ممّا أَعْطى، وَهو كاذِبٌ، وَرَجُلٌ حَلَفَ على يَمِينٍ كاذِبَةٍ بَعْدَ العَصْرِ؛ لِيَقْتَطِعَ بها مالَ رَجُلٍ مُسْلِمٍ، وَرَجُلٌ مَنَعَ فَضْلَ ماءٍ، فيَقولُ اللَّهُ: اليومَ أَمْنَعُكَ فَضْلِي كما مَنَعْتَ فَضْلَ ما لَمْ تَعْمَلْ يَداكَ.

Maksud: “Ada tiga jenis orang yang Allah tidak akan bercakap kepada mereka, dan tidak melihat (dengan pandangan Rahmat-Nya) mereka pada Hari Kiamat: seorang lelaki yang bersumpah palsu (untuk mendapatkan untung) bahawa dia telah ditawarkan harga yang lebih yang barang lebih banyak daripada apa yang diberikan kepadanya iaitu dan dia adalah seorang penipu; seorang  lelaki yang bersumpah palsu setelah solat Asar untuk merebut mengambil harta seorang Muslim; dan seorang lelaki yang menahan sumber airnya yang melebihi keperluannya, maka Allah berfirman kepadanya: ‘Hari ini, aku akan menahan kelebihan (Rahmat-Ku) daripada kamu sepertimana kamu menahan kelebihan sedangkan kamu tidak bersusah-payah mendapatkannya.’”  Ali berkata: “Sufyan menyampaikan kepada kami – lebih daripada sekali – daripada ‘Amr, dia mendengar Abu Soleh menyampaikan dengannya kepada Nabi SAW (secara marfu’).”

Riwayat al-Bukhari (2369)

Oleh itu, wajib berhati-hati daripada melariskan barang dagangan dengan sumpah, walaupun ia benar; kerana ini menunjukkan kurangnya penghormatan terhadap sumpah, dan seseorang itu mungkin terjerumus dalam kesalahan akibat terlalu banyak bersumpah. (Lihat Taufiq al-Rab al-Mun’im bi Syarh Sahih al-Imam Muslim, 4/427)

Justeru, sebagai seorang Muslim, perbuatan bersumpah palsu dalam transaksi jual beli haruslah dielakkan. Walaupun sumpah boleh menjadikan barangan dagangan kelihatan lebih menarik dan cepat terjual, ia sebenarnya merosakkan keberkatan dalam perniagaan. Oleh itu, syarak mengingatkan kita agar sentiasa menjaga etika dalam perniagaan dan menghindari amalan yang boleh merosakkan keberkatan dalam rezeki kita.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a‘lam