#6906: Niat Puasa Ganti Sebulan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah boleh niat puasa ganti untuk sebulan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan dengan firman Allah SWT yang mengarahkan kewajiban Qadha’ Puasa:

أَیَّامࣰا مَّعۡدُودَ ٰ⁠تࣲۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِیضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرࣲ فَعِدَّةࣱ مِّنۡ أَیَّامٍ أُخَرَۚ وَعَلَى ٱلَّذِینَ یُطِیقُونَهُۥ فِدۡیَةࣱ طَعَامُ مِسۡكِینࣲۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَیۡرࣰا فَهُوَ خَیۡرࣱ لَّهُۥۚ وَأَن تَصُومُوا۟ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: “Hari-hari yang sedikit sahaja. Sesiapa yang ditimpa sakit atau bermusafir, maka bolehlah dia menggantikan (puasa) pada hari yang lain. Bagi sesiapa yang langsung tidak mampu berpuasa, maka hendaklah dia membayar fidyah berupa memberi makan kepada orang-orang miskin. Sesiapa yang memperbanyakkan dalam melakukan amal kebaikan maka yang demikian itu cukup baik buat dirinya. Dan berpuasa itu lebih buat kalian jika kalian mengetahuinya.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi al-Maliki berkata seraya menafsirkan ayat suci di atas yang menegaskan kewajiban Qadha’ puasa wajib (Ramadhan) bagi sesiapa yang meninggalkannya. Beliau menyebutkan, firman Allah SWT: “فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ”; terdapat perkataan yang dihazafkan (dihilangkan) di dalamnya iaitu sesiapa dalam kalangan kalian yang sakit atau dalam keadaan bermusafir kemudian dia berbuka, maka wajiblah dia menggantikan puasa tersebut (mengqadha’).” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/281).

Niat merupakan syarat sah puasa, ia merupakan bahagian yang paling penting dalam setiap ibadah. Ummul Mukminin Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ طُلُوْعِ الفَجْرِ فَلاَصِيَامَ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit Fajar (waktu Subuh), maka tiada puasa baginya (puasanya tidak sah).”

Riwayat al-Daraqutni dalam al-Sunan (2213); al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (7989); al-Daraqutni menyatakan: Semua perawinya adalah thiqah.

Berdasarkan hadith di atas, dapat kita fahami bahawa niat mesti dihadirkan dengan keazaman yang teguh pada setiap malam sebelum berpuasa keesokan siangnya. Imam Kamaluddin Muhammad bin Musa al-Damiri al-Syafi‘i mensyarahkan hadith di atas dengan berkata: “Yang dimaksudkan dengan al-Tabyit adalah: niat itu dipasakkan (dalam hati) pada setiap malam untuk setiap hari puasa.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 3/284).

Oleh yang demikian, berdasarkan muktamad mazhab al-Syafi‘i, kita wajib berniat pada setiap malam sebelum untuk setiap hari kita berpuasa, hal ini kerana setiap hari puasa adalah ibadah yang tersendiri dan tidak berkait antara hari yang lain, sama ada sebelumnya atau selepasnya.

Imam Kamaluddin al-Damiri berkata lagi: “Para ashab kita (al-Syafi‘iyyah) berhujahkan bahawa setiap hari puasa merupakan ibadat yang tersendiri (mustaqillah) yang tidak terkait dengan satu sama lain; jika satu terbatal, maka ia tidak akan membatalkan satu yang lain. Dan jika seseorang berniat untuk berpuasa satu bulan sekali gus, maka yang sah hanya untuk puasa hari pertamanya sahaja.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 3/284).

Adapun menyekalikan niat puasa wajib untuk satu bulan sekaligus, ini merupakan pendapat muktamad mazhab Maliki. Namun, ia hanya dibolehkan bagi puasa yang diwajibkan al-Tatabu‘ (التَّتَابُعُ) iaitu berturut-turut sahaja seperti puasa Ramadhan; dan tidak dibolehkan bagi puasa yang bersifat tidak wajib untuk dilaksanakan berturut-turut seperti puasa Qadha’.

Syeikh Sidi Khalil bin Ishaq al-Jundi al-Maliki berkata: “Memadai satu niat bagi puasa yang wajib dikerjakan secara berturutan (seperti Ramadhan). Tidak harus bagi puasa yang tidak wajib dikerjakan secara berturutan (seperti puasa qadha) dan untuk puasa yang tertentu (seperti puasa Isnin dan Khamis). Diriwayatkan (iaitu pendapat yang dha‘if dalam al-Mudawwanah) bahawa memadai niat yang satu pada kedua-dua puasa tersebut. Tidak memadai jika terputus berturut-turutnya seperti sakit atau musafir atau kerana senggang waktu naqa’.” (Lihat Mukhtasar Khalil, hlm. 62).

Bagi menjawab soalan yang diajukan kepada kami di atas, kami nyatakan bahawa tidak dibolehkan untuk berniat puasa satu bulan penuh atas alasan berikut:

  • Menurut mazhab al-Syafi‘i, seseorang wajib berniat pada setiap malam sebelum setiap siang hari yang dia ingin berpuasa. Tidak sah jika berniat satu bulan sekali gus.
  • Menurut mazhab Maliki, seseorang hanya dibolehkan untuk berniat satu bulan penuh sekali gus pada puasa tunai Ramadhan sahaja kerana ia diwajibkan untuk dilaksanakan secara berturut-turut (التَّتَابُعُ). Adapun puasa Qadha’, ia tidak wajib untuk dilaksanakan berturut-turut, bahkan ia puasa bersifat masrud (مَسْرُودٌ). Maka tidak dibolehkan.

Seseorang wajib menggantikan puasa dengan kadar bilangan hari yang telah dia tinggalkan. Jika seseorang meninggalkan puasa Ramadhan semalam satu bulan penuh, maka dia wajib melaksanakan puasa Qadha’ sebanyak bilangan hari keseluruhan bulan Ramadhan tersebut. Namun, dia tidak diwajibkan untuk melaksanakannya secara berturut-turut. Jika dia melaksanakannya secara berturut-turut pun, dia wajib berniat setiap malam untuk setiap hari puasa secara berasingan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka”.

Wallahu a‘lam.