#6909:  Berpaling Daripada Orang Yang Jahil

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah kita diperintahkan untuk berpaling daripada mereka yang jahil dan tidak menerima kebenaran? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

Maksudnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. ”

(Surah Luqman:17)

Ibn  ‘Asyur menyatakan bahawa: Hikmah yang mengiringi perintah amar makruf dan nahi mungkar dengan kesabaran adalah kerana melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar boleh menyebabkan orang yang melaksanakannya mendapat tentangan dari sebahagian orang atau gangguan daripada yang lain. Maka, jika dia tidak bersabar dengan apa yang menimpanya akibat dari melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, dia mungkin akan segera meninggalkannya. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 21/165)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa kita diperintahkan untuk mengajak kepada perkara-perkara yang makruf dan melarang daripada perbuatan-perbuatan yang mungkar. Namun, apabila berhadapan dengan mereka yang jahil dan tidak mahu mendengar kebenaran, malah mereka menyakiti  dengan perkataan dan perbuatan mereka, maka berpaling daripada mereka adalah lebih baik. Dengan berpaling kepada mereka, seseorang itu telah melindungi maruahnya, menenangkan jiwanya, dan terhindar daripada mendengar perkara yang menyakitinya. Allah SWT berfirman:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”

(Surah al-A‘raf: 199)

Al-Mawardi meneyebutkan bahawa: Maka jika ditanya, bagaimana dia memerintahkan untuk berpaling sedangkan mengingkari perbuatan mereka itu adalah wajib? Dijawab: Sesungguhnya berpaling dari orang-orang bodoh adalah sebagai penghinaan terhadap mereka. Walaupun ini merupakan perintah yang ditujukan kepada Nabi-Nya, ia juga merupakan pengajaran bagi seluruh ciptaan-Nya. (Lihat al-Nukat wa al-U’yun, 2/288)

Ibn Qayyim menyatakan bahawa:  Berpaling daripada orang-orang yang jahil bermaksud Jika orang yang jahil bersikap biadab terhadapmu, janganlah kamu membalasnya dengan kebiadaban. (Lihat Madarij al-Salikin, 2/291)

Selain itu Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan: Berpaling daripada orang yang jahil adalah dengan tidak membalas perbuatan biadab dan jahil dengan tindakan serupa, meninggalkan pergaulan dengan mereka, menjaga diri daripada mereka, tidak berdebat dengan mereka, bersikap tenang terhadap mereka, bersabar atas buruknya akhlak mereka, dan menutup mata daripada penghinaan mereka. Maka, jika orang jahil yang bodoh berkata sesuatu yang menyakitkan hati seseorang, hendaklah dia berpaling daripadanya dan membalasnya dengan kemaafan dan kelapangan hati. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/768)

Ini juga bersesuaian dengan firman Allah SWT:

وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”

(Surah Ali Imran: 134)

Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika mentafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa antara ciri-ciri orang yang bertaqwa ialah orang yang menyembunyikan (menahan) kemarahannya serta mengawal dirinya agar tidak menyakiti orang lain dalam keadaan dia mampu untuk melakukannya. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menahan kemarahannya dalam keadaan dia mampu untuk melepaskannya, maka Allah akan memenuhkan di dalam jiwanya keamanan dan keimanan.” (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/238)

Justeru, mengelakkan diri daripada individu yang jahil, terutamanya semasa perdebatan, adalah tindakan yang wajar dan mencerminkan sifat sabar serta ketenangan dalam menghadapi provokasi atau situasi yang berpotensi mencetuskan kemarahan.  Oleh yang demikian, sebagai seorang muslim adalah lebih baik untuk menghindari perdebatan dengan mereka yang jahil yang hanya akan membawa kepada konflik atau perselisihan yang tidak bermanfaat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu ‘Alam