#6912: Insuran Perubatan Isteri Bukan Nafkah yang Wajib Ke Atas Suami

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya merupakan seorang penjawat awam yang mempunyai kemudahan perubatan bagi diri saya dan seluruh ahli keluarga saya. Sebelum berkahwin, isteri saya telah mengambil insuran kesihatan (medical card) untuk dirinya. Adakah bayaran bulanan insuran tersebut dikira sebagai salah satu nafkah wajib bagi saya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami telah membahaskan tentang nafkah buat isteri ini di dalam sebuah artikel kami yang bertajuk: “Nafkah Kepada Isteri.” Nafkah menurut fuqaha’ merujuk kepada beberapa perkara seperti berikut:

  • Makanan
  • Barang-barang dapur
  • Pakaian
  • Tempat tinggal
  • Alat-alat untuk membersihkan diri
  • Barangan rumah
  • Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/426, al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu, 10/7349)

Dalam perbahasan nafkah ini pula perlu kembali kepada keadaan si suami itu. Keadaan ini dibahagikan kepada 3; yang senang, sederhana dan susah.

Sekiranya suami merupakan orang susah, maka cukup sekadar mengeluarkan nafkah yang asas. Seperti mengeluarkan secupak beras berserta dengan lauk asas yang mengikut tradisi setempat. Kemudian, menyediakan pakaian asas untuk dipakai isteri mengikut pakaian yang dipakai masyarakat setempat sama ada ketika di rumah dan ketika keluar dari rumah, cukup sekadar menutup aurat serta mengikut budaya pakaian orang Islam setempat. Kemudian, menyediakan rumah mengikut kemampuan, tanpa disyaratkan untuk memiliki rumah tersebut, sudah memadai sekiranya menyewa. Sekiranya suami yang tidak berkemampuan ini menunaikan tanggungjawab dengan memberi nafkah asas ini, maka isteri tidak berhak untuk memohon fasakh. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/283)

Allah SWT berfirman:

لِيُنفِقۡ ذُو سَعَة مِّن سَعَتِهِۦۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيۡهِ رِزۡقُهُۥ فَلۡيُنفِقۡ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَاۚ سَيَجۡعَلُ ٱللَّهُ بَعۡدَ عُسۡر يُسۡرا

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

(Surah al-Talaq:7)

Al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah SWT telah menetapkan nafkah ke atas isteri sesuai dengan keadaan suami iaitu orang yang kaya hendaklah menunaikan nafkah sesuai dengan kekayaannnya jangan lah dia menunaikan nafkah dengan nafkah orang miskin. Sesiapa yang berada dalam kesempitan maka berilah nafkah dengan apa yang telah direzekikan oleh Allah kepadanya. Allah SWT tidak membebani seseorang kecuali dengan kemampuan  yang  diberikan Allah kepadanya dalam bab nafkah atau sebagainya .Yang demikian merupakan rahmah dan kasih sayang Allah terhadap hambanya dengan meringankan beban terhadap orang yang  susah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.871)

Berkenaan isu perubatan buat isteri pula, kami juga telah membincangkannya dalam artikel kami yang bertajuk: “Adakah Kos Rawatan Dan Ubat-ubatan Isteri Perlu Ditanggung Oleh Suami?” Dalam isu ini kami katakan, menurut majoriti fuqaha’ empat mazhab, kos rawatan dan ubat-ubatan bukanlah termasuk dalam nafkah yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya kecuali perkara-perkara yang telah dijelaskan di atas.

Hal yang  demikian telah dinyatakan oleh Imam al-Syafi‘i bahawa: Tidak diwajibkan ke atas suami melakukan korban kepada isterinya dan tidak juga diwajibkan baginya  membiayai kos rawatan atau kos berbekam. al-Khatib al-Syirbini juga menjelaskan, ubat-ubatan untuk merawat penyakit, bayaran doktor, tukang bekam dan sebagainya seperti tukang fasdu dan tukang khatan – kesemua ini tidak termasuk dalam kewajipan nafkah suami. (Lihat al-Umm, 8/337; Mughni al-Muhtaj, 5/159)

Ibn ‘Abidin al-Hanafi berkata, tidak dilazimkan ke atas suami rawatan isteri, yakni memberikan ubat-ubatan ketika sakit, begitu juga tidak wajib bayaran doktor, kos fasdu atau kos berbekam. (Lihat Radd al-Muhtar, 3/575)

Imam Ibn Qudamah al-Hanbali secara jelas menyatakan bahawa membeli ubat-ubatan itu tidak wajib ke atas suami, begitu juga kos rawatan doktor. Syeikh Muhammad bin Ahmad ‘Alisy juga menyatakan hal yang sama: “Tidak difardhukan ubat-ubatan, bekam, mahupun kos bayaran doktor.” (Lihat al-Mughni, 8/199; Minah al-Jalil, 4/392)

Meskipun fuqaha’ berpendapat sedemikian, akan tetapi kami lebih cenderung mengatakan bahawa sebaiknya si suami sebaiknya menyediakan bantuan ubat-ubatan kepada si isteri kerana ia juga termasuk dalam muamalah yang baik. Tindakan ini juga dapat dianggap sebagai bentuk kemurahan hati (ihsan) dan tindakan baik sesuai dengan tuntunan syara’. Allah SWT berfirman:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Pergaulan dengan cara yang baik itu, dengan memperindahkan tutur kata dengan isteri-isteri, memperelokkan tingkah laku dan penampilan diri sepertimana suami suka mereka diperlakukan sedemikian. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/212)

Antara contoh tingkah laku yang elok adalah layanan baik terhadap si isteri semasa mereka ditimpa ujian sakit. Ini juga bersesuaian dengan salah satu pandangan dalam mazhab al-Maliki, sebagaimana yang dinukilkan Ibn ‘Abd al-Hakam: “Bayaran doktor dan juga rawatan wajib ke atas suami.” Imam al-Syaukani juga berpendapat bahawa ubat-ubatan ini termasuk dalam kewajipan nafkah; kerana tujuan nafkah lain yang diberikan itu adalah untuk menjaga kesihatan si isteri, dan ubatan ini termasuk dalam ruang lingkup menjaga kesihatan. (Lihat Minah al-Jalil, 4/392; al-Sail al-Jarrar al-Mutadaffiq, 1/460)

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah antara badan berautoriti yang mengeluarkan fatwa bahawa kos perubatan termasuk dalam kewajipan nafkah suami, berdasarkan kepada kemampuan kewangannya, sama ada dia orang senang atau orang susah. Mungkin seseorang itu boleh bersabar apabila lapar dan dahaga, tetapi jarang sekali orang boleh bersabar menghadapi kesakitan. Maka memelihara sudut kesihatan ini juga bertepatan dengan maqasid al-syari‘ah, dalam masa yang sama mengiktiraf kehormatan isteri yang telah banyak berkhidmat untuk suaminya dan mendidik anak-anak.[1]

Allah SWT berfirman:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍۢ مِّن سَعَتِهِۦ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُۥ فَلْيُنفِقْ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ۚ

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu).”

(Surah al-Talaq: 7)

Dalam konteks yang dibawakan saudara, kewajipan menyediakan kos perubatan itu telah pun terangkat dengan adanya kemudahan perubatan yang disediakan untuk keluarga penjawat awam. Maka saudara tidak perlu lagi membayar insuran perubatan yang diambil oleh isteri kerana ia termasuk dalam kehendak dia sahaja untuk menambah kos rawatan di luar keperluannya. Akan tetapi, sekiranya saudara berkemampuan dan berbesar hati untuk membayarkan insuran tersebut, alangkah baiknya perbuatan ituh kerana ia dapat meringankan beban si isteri. Diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW:

خَيْرُكُمْ خُيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ، وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik (hubungannya) dengan ahli keluarganya, dan aku adalah yang paling baik di antara kamu kepada keluargaku.”

Riwayat Ibn Majah (1977)

Hadith ini menganjurkan supaya berbuat baik kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: (Iaitu) kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/269)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/14415/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%AA%D8%AD%D9%85%D9%84-%D8%A7%D9%84%D8%B2%D9%88%D8%AC-%D9%86%D9%81%D9%82%D8%A9-%D8%B9%D9%84%D8%A7%D8%AC-%D8%B2%D9%88%D8%AC%D8%AA%D9%87#:~:text=%D8%A8%D9%86%D8%A7%D8%A1%D9%8B%20%D8%B9%D9%84%D9%89%20%D9%85%D8%A7%20%D8%B3%D8%A8%D9%82%3A%20%D9%81%D8%A5%D9%86,%D9%8A%D8%B5%D8%A8%D8%B1%20%D9%81%D9%8A%20%D8%A7%D9%84%D8%BA%D8%A7%D9%84%D8%A8%20%D8%B9%D9%84%D9%89%20%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B1%D8%B6%D8%8C. Diakses pada 21 Ogos 2024.