Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya telah istihadhah hingga hari ke-19. Pada hari ke 20 didapati darah telah mulai kering. Solat subuh 6.00 am: spotting, tukar pad, wuduk, solat subuh. 3:30 pm zuhur: tiada darah (pad kosong), tukar pad, ambil wuduk, dan solat zuhur. 4:15 pm asar: tiada darah (pad kosong), tukar pad, wudhu’ masih ada dari zohor, solat asar. 8:00 pm magrib: tiada darah (pad kosong), tukar pad, wuduk dan solat 8:20 pm isyak: tiada darah (pad kosong, buang pad, masih dalam wuduk magrib dan solat Esok nya subuh hari ke-21: ada kesan spotting darah di seluar. Basuh, pakai pad, dan solat subuh. Zohor: pad kosong, tukar pad, amek wuduk dan solat. Asar: pad kosong, tukar pad, wuduk dan solat. Magrib ada spotting lagi. Soalan saya bagaimana hukum-hakam syariat Islam menganggap seorang perempuan telah habis istihadhah, adakah setelah 3 kali solat fardhu dia bersih tiada darah keluar?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Firman Allah SWT:
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat.’ Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Imam al-Qurtubi menafsirkan (قُلْ هُوَ أَذًى) ialah sesuatu yang mengotorkan wanita. Lalu disambung ayat tersebut dengan (فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ) iaitu hendaklah meninggalkan isteri ketika sedang haid. Kemudian ayat seterusnya ditekankan sekali lagi perintah untuk menjauhkan diri pada (وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ). (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 3/86-88)
Para ulama menafsirkan ayat di atas dengan menyebutkan bahawa orang-orang beriman bertanya kepada Rasulullah SAW tentang berjimak dengan isteri ketika sedang haid. Lalu Allah SWT memerintahkan agar Baginda menjawab kepada mereka dengan memberitahu bahawa berjimak dengan isteri pada waktu haid adalah sesuatu yang menjijikkan, membahayakan di dunia dan akhirat. Perbuatan ini tidak boleh dilakukan, maka jauhilah perbuatan berjimak dengan isteri pada waktu haid sehingga haid mereka selesai. Jika telah selesai dan mereka telah mandi, maka barulah mereka boleh berjimak dengan isteri-isteri mereka pada tempat (faraj) yang telah dihalalkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang banyak beristighfar kepada-Nya dan menjauhi perbuatan keji dan kotor. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 142).
Semoga Allah SWT menyembuhkan sebarang penyakit yang puan serta sekalian Muslimin dan Muslimat alami, dan ia menjadi asbab pahala yang agung di sisi-Nya kelak. Kami dahulukan dengan membawakan Takrifan Darah Istihadhah di sisi ulama adalah:
هي الدم الزائد على أكثر الحيض والنفاس أو هي الدم الخارج من غير أيام الحيض والنفاس
Maksudnya: “Darah yang keluar melebihi tempoh sebanyak-banyak haid dan nifas atau darah yang keluar bukan pada hari-hari haid dan nifas.”
(Lihat al-Taqrirah al-Sadidah, 1/167)
Darah Istihadhah adalah berbeza dengan darah haid. Haid dihukum kotor dan wajib meninggalkan solat dan puasa, manakala Istihadhah pula dihukum suci dan masih wajib melaksanakan kedua-dua ibadat tersebut. Umm al-Mu’minin ‘A’isyah RAnha meriwayatkan bahawa:
أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ أَبِي حُبَيْشٍ، كَانَتْ تُسْتَحَاضُ، فَسَأَلَتِ النَّبِيَّ ﷺ فَقَالَ: ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَتْ بِالْحَيْضَةِ، فَإِذَا أَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ، فَدَعِي الصَّلاةَ وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْتَسِلِي وَصَلِّي
Maksudnya: “Fatimah binti Abu Hubaisy mengalami istihadhah. Oleh sebab itu, beliau bertanya kepada Nabi SAW. Baginda SAW bersabda: ‘Demikian itu adalah disebabkan oleh urat darah dan bukannya darah haid. Apabila datangnya waktu haid, maka tinggalkanlah solat dan apabila berlalunya kadar hari kebiasaan haid, maka mandi dan solatlah.’”
Riwayat al-Bukhari (320)
Secara umumnya, cara untuk mengenali tempoh ketiadaan/kesembuhan daripada Istihadhah adalah penghentian darah daripada keluar, atau dipanggil istilahnya sebagai inqita‘ al-dam (انْقِطَاعُ الدَّمِ).
Manakala, cara untuk mengenal pasti kejadian dan kehadiran darah istihadhah serta perbezaannya dengan darah haid bagi wanita yang berterusan keluar darah tanpa putus adalah berbeza menurut jenis-jenis dan kategori Mustahadhah yang tersendiri.
Perinciannya secara umum sepertimana yang diperincikan oleh al-Habib ‘Abd al-Rahman bin ‘Abdullah al-Saqqaf Ba ‘Alawi al-Syafi‘i adalah seperti berikut:
Jenis Mustahadhah | Cara Mengenal Pasti Darah |
Mubtada’ah Mumayyizah (مُبْتَدَأَةٌ مُمَيِّزَةٌ); pertama kali haid dan mampu membezakan warna darah. | Darah yang berwarna kuat adalah haid, darah yang berwarna lemah adalah istihadhah; menurut syarat-syarat al-Tamyiz. |
Mubtada’ah ghayr Mumayyizah
(مُبْتَدَأَةٌ غَيْرُ مُمَيِّزَةٌ); pertama kali haid namun tidak mampu membezakan warna darah. |
Haidnya adalah sehari semalam, dan hari suci (bersama istihadhah) adalah 29 hari. |
Mu‘tadah Mumayyizah (مُعْتَادَةٌ مُمَيِّزَةٌ);
Pernah keluar haid dan mampu membezakan warna darah. |
Darah yang berwarna kuat adalah haid, darah yang berwarna lemah adalah istihadhah; menurut syarat-syarat al-Tamyiz yang khusus. |
Mu‘tadah ghayr Mumayyizah
(مُعْتَادَةٌ غَيْرُ مُمَيِّزَةٌ); Pernah keluar haid namun tidak mampu membezakan warna darah. |
Lihat kepada tempoh kebiasaan haid dan tempoh kebiasaan sucinya pada bulan-bulan yang lepas. |
Mutahayyirah; zakirah lil-Waqt dun al-Qadr (مُتَحَيِّرَةٌ ذَاكِرَةٌ لِلْوَقْتِ دُونَ الْقَدَرِ);
Lupa bilangan hari kebiasaan, namun masih ingat tempoh waktu adatnya. |
Darah yang diyakini haid, adalah haid. Darah yang diyakini bukan haid, adalah istihadhah. |
Mutahayyirah; zakirah lil-Qadr dun al-Waqt (مُتَحَيِّرَةٌ ذَاكِرَةٌ لِلْقَدْرِ دُونَ الْوَقْتِ);
Lupa tempoh waktu adatnya, namun masih ingat bilangan hari kebiasaan. |
Darah yang diyakini haid, adalah haid. Darah yang diyakini bukan haid, adalah istihadhah. Jika mempunyai kebarangkalian kedua-duanya, wajib mengamalkan Ihtiyat sepertimana kategori Mutahayyirah Mutlaqah. |
Mutahayyirah Mutlaqah (مُتَحَيِّرَةٌ مُطْلَقَةٌ);
Lupa secara langsung. |
Mengamalkan ihtiyat sentiasa kerana sentiasa mengandungi kebarangkalian haid dan istihadhah. |
(Lihat al-Ibanah wa al-Ifadhah fi Ahkam al-Haid wa al-Nifas wa al-Istihadhah, hlm. 61-87)
Selain itu juga, perlu diingatkan bahawa wanita mustahadhah adalah suci; wanita tersebut masih wajib melaksanakan solat, berpuasa dan boleh digauli oleh suaminya. al-Khatib al-Syirbini berkata: “Maka (Istihadhah) itu tidak menghalang untuk berpuasa dan bersolat dan lain-lain perbuatan yang dilarang bagi wanita haid, ia sama seperti hadas-hadas yang lain, kerana ia keluar kerana darurat, dan atas dasar arahan Nabi SAW kepada Hamnah untuk tetap bersolat dan berpuasa dalam keadaan dirinya keluar darah Istihadhah sepertimana hadith yang disahihkan oleh Imam al-Tirmizi.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/282)
Berhubung soalan yang diajukan di atas, kami nyatakan bahawa secara umumnya, bagi kes wanita yang tidak keluar secara berterusan, Istihadhah dikira berhenti apabila darah berhenti keluar. Apabila darah berhenti keluar, maka terhentilah istihadhah. Adapun bagi kes darah yang keluar berterusan, maka dia wajib mengenalpasti kategori/jenis istihadhahnya dan cara mengenalpasti dan membezakan jenis darah seperti jadual di atas. Perincian yang mendalam berdasarkan kes individu yang berbeza-beza mestilah didapatkan menerusi para asatizah dan guru agama yang menjadi tempat rujukan khusus berkenaan Fiqh Darah Wanita.
Selain itu, kami tegaskan juga bahawa puan tidak perlu menunggu 3 waktu solat bahkan tidak dibolehkan berbuat sedemikian, Sepanjang darah istihadhah keluar pun, puan tetap diwajibkan untuk bersolat, melakukan al-‘Isabah (membersihkan faraj, memakai penyumbat faraj, berwudhu’) setiap kali sebelum solat dan dihukum sebagai suci.
Isu hanya berlaku apabila seorang wanita yang sedang keluar darah istihadhah, kemudian apabila dia melakukan semua langkah-langkah khusus bersuci sebelum solat yang dipanggil sebagai Tajdid al-‘Isabah (seperti istinja’, mandi, memakai penyumbat/penghalang faraj dan seluar dalam yang diikat kemas, berwuduk secara muwalat). Tidak lama kemudian, darah istihadhah tersebut berhenti. Maka, dia wajib mengulangi wuduknya semula jika dia mengetahui bahawa tempoh inqita‘ (berhenti darah) itu sempat untuk dirinya berwuduk dan menunaikan solat padanya. Imam al-Nawawi berkata: “Sekiranya darahnya berhenti selepas mengambil wuduk, dan kebiasaannya darah itu tidak terhenti dan kembali semula, atau ia biasa kembali dan zaman darah berhenti itu cukup untuk mengambil wuduk dan bersolat; maka dia wajib mengambil wuduk semula.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 19).
Adapun jika wanita mengalami istihadhah dalam keadaan darah sentiasa keluar sehingga tiada masa yang cukup untuk bersuci dan bersolat tanpa hadas, maka dia dikira sebagai seorang yang mengalami situasi da’im al-hadath (دَائِمُ الْحَدَثِ). Imam al-Nawawi turut berkata: “Istihadhah itu hukumnya adalah hadas yang sentiasa keluar; sama seperti orang yang kencing tidak lawas.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 19).
Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan, kriteria salisul baul (kencing tidak lawas) yang diwajibkan untuk memakai cawat, memakai sumbatan yang menghalang dan muwalat serta lain-lain syarat ialah orang yang tiada masa yang cukup untuk bersuci dan menunaikan solat tanpa hadas (tanpa keluar darah, bagi istihadhah) sama ada hadasnya itu berlaku seperti itu juga pada waktu solat yang lain dan waktu solat yang seterusnya (yakni berterusan pada setiap waktu), atau hanya berlaku pada sebahagian waktu tertentu sahaja. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/80)
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang bertaubat, jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang pembersih, dan jadikan kami dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang soleh.”
Wallahu a‘lam.