#6935: Sujud Syukur dalam Solat Fardhu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apabila kita mendapat nikmat Allah yang tidak disangka-sangka, atau terhindar dari musibah yang hampir menimpa, kita dianjurkan untuk sujud syukur kepada Allah. Syarat dan tata cara sujud syukur sama persis dengan syarat dan tata cara sujud tilawah di luar solat. Namun, bolehkah sujud syukur dalam solat fardhu, sebagaimana boleh sujud tilawah dalam solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras’.”

(Surah Ibrahim: 7)

Ibn Kathir menyebutkan bahawa ayat di atas bermaksud sekiranya seseorang itu bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan kepadanya, maka Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat tersebut ke atas dirinya. Namun, sekiranya dia mengingkari nikmat itu, maka sesungguhnya azab Allah sangatlah pedih. Perkara tersebut adalah dengan menarik kembali nikmat itu daripada diri mereka dan menyeksa mereka disebabkan oleh pengingkaran terhadap nikmat tersebut. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni, 2/291)

Seterusnya, ringkasnya, sujud syukur ditakrifkan sebagai sujud yang dilakukan oleh seseorang ketika mendapat nikmat atau tertolak bala. (Lihat Hasyiah al-Qalyubi, 1/208).

Imam al-Syaukani menjelaskan lagi, yang dimaksudkan ialah nikmat yang baru yang boleh didapati dan juga yang tidak boleh didapati. Oleh sebab itu, Nabi SAW tidak sujud melainkan apabila nikmat itu nikmat yang baru di samping terdapat juga nikmat-nikmat Allah yang lain kepada Baginda. ( Lihat al-Sail al-Jarar, 1/175).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa meskipun syarat, tatacara dan bacaan sujud syukur sama dengan sujud tilawah, sujud syukur tidak boleh dilakukan dalam solat sama ada solat fardhu mahupun solat sunat. Ini kerana sujud tilawah masih mempunyai kaitan dan hubungannya dengan solat, sedangkan sujud syukur langsung tidak ada kaitan mahupun hubungannya dengan solat.

Oleh kerana itu, tidak boleh melakukan sujud syukur di dalam solat. Jika seseorang melakukan sujud syukur dalam solatnya secara sengaja dan mengetahui bahawa perkara itu dilarang dalam solat, maka solatnya terbatal dan tidak sah. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari bahawa:

وَسَجْدَةُ الشُّكْرِ لَا تَدْخُلُ الصَّلَاةَ فَلَوْ فَعَلَهَا فِيهَا عَامِدًا عَالِمًا بِالتَّحْرِيمِ بَطَلَتْ

Maksudnya: “Sujud syukur tidak termasuk dalam solat. Maka, jika seseorang melakukannya dalam solat dengan sengaja dan mengetahui pengharamannya, solatnya itu terbatal.” (Lihat Fath al-Wahhab, 1/65).

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari turut menyebutkan, sujud syukur adalah seperti sujud tilawah yang dilakukan di luar solat. (Lihat Fath al-Wahhab, 1/66).

Selanjutnya, al-Dimyati menjelaskan lagi perkataan Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari di atas dengan menyatakan, sujud syukur sama seperti sujud tilawah yang dilakukan di luar solat dari segi cara pelaksanaannya dan juga syarat-syaratnya. Maka dapat difahami di sini bahawa sujud syukur itu mesti dengan niat dan inilah pendapat yang paling sahih. Namun, di sana terdapat pendapat lain (wajh) dalam al-Wasit (yang menyatakan tidak perlu kepada niat). (Lihat al-Najm al-Wahhaj, 2/283).

Begitu juga Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari juga ada menjelaskan kenyataanya itu sebagaimana berikut:

(وَهِيَ) أَيْ سَجْدَةُ الشُّكْرِ (كَسَجْدَةِ التِّلَاوَةِ) الْمَفْعُولَةِ (خَارِجَ الصَّلَاةِ) شَرْطًا وَكَيْفِيَّةً وَلَا تَدْخُلُ الصَّلَاةَ إذْ لَا تَتَعَلَّقُ بِهَا (فَإِنْ سَجَدَهَا فِي الصَّلَاةِ) عَامِدًا عَالِمًا بِالتَّحْرِيمِ (بَطَلَتْ) صَلَاتُهُ (وَلَوْ قَرَأَ آيَةَ سَجْدَةٍ فِي الصَّلَاةِ لِيَسْجُدَ بِهَا لِلشُّكْرِ لَمْ يَجُزْ) وَتَبْطُلُ صَلَاتُهُ بِسُجُودِهِ

Maksudnya: “Sujud syukur sama seperti sujud tilawah yang dilakukan di luar solat, baik dari segi syarat mahupun tatacaranya, dan sujud syukur tidak termasuk dalam solat kerana ia tidak ada kaitan dengan solat. Oleh itu, jika seseorang sujud syukur di dalam solatnya dengan sengaja dan mengetahui pengharaman hal tersebut, maka solatnya terbatal. Walaupun dia membaca ayat sajdah di dalam solat untuk melakukan sujud dengan ayat tersebut bagi tujuan bersyukur, maka ia tetap tidak dibolehkan dan solatnya terbatal dengan sujud tersebut.” (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, 1/199).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa sujud syukur tidak boleh dilakukan di dalam solat, tidak kira solat fardhu mahupun sunat kerana sujud syukur langsung tidak ada kaitannya dengan solat. Bahkan jika seseorang melakukan sujud syukur di dalam solat dengan sengaja dan mengetahui pengharamannya, maka solatnya terbatal dengan sebab sujud tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”