#6937: Peranan Ibu Bapa Terhadap Anak-Anak Dalam Memerangi Judi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, boleh jelaskan kepada kami peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam memerangi judi terhadap anak-anak Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Maidah: 90)

Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Mafatih al-Ghaib ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa orang yang melakukan judi akan jauh hatinya dari mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya di dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga tidak ingat selain dari harta yang dimenanginya itu sahaja. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 6/49)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menegaskan berkenaan pengharaman arak dan judi sebagai amalan daripada syaitan. Pengharaman perkara-perkara demikian adalah untuk menjaga tubuh badan kita, minda kita serta memupukkan perasaan saling sayang menyayangi antara kita semua. Semua jenis taruhan termasuk sama ada permainan dadu atau catur yang melibatkan pertaruhan wang maka ia termasuk dalam kategori judi. Jika tidak menggunakan wang pun, jumhur masih tetap melarang kerana ia berpotensi menimbulkan permusuhan dan dendam, serta menjadi penghalang daripada mengingati Allah SWT. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 4/34)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab dalam memerangi anak-anak daripada terlibat dalam perkara yang haram seperti judi. Ini kerana perjudian membawa impak yang buruk terhadap individu mahupun masyarakat. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.”

(Surah al-Tahrim: 6)

Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi dalam tafsirnya menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar mereka menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan perkara kebaikan serta menjauhi diri daripada melakukan perkara maksiat dan ahli keluarga mereka dengan cara menasihati mereka, menunjukkan jalan yang benar kepada mereka dan menyuruh mereka melakukan perkara yang ma’ruf serta mencegah diri daripada melakukan perkara munkar. Di samping itu, Imam al-Qurthubi menukilkan daripada pendapat Qatadah dan Mujahid bahawa maksud memelihara diri adalah memelihara diri dengan menjaga tingkahlaku dan memelihara ahli keluarga pula adalah dengan menasihati mereka. (Lihat Tafsir al-Wasit, 14/476)

Selai itu juga Qatadah ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: Hendaklah kamu memerintahkan mereka untuk taat kepada Allah dan melarang mereka daripada melakukan maksiat kepada-Nya. Kamu perlu jalankan tanggungjawab terhadap mereka berdasarkan perintah Allah dan membantu mereka untuk menjalankan perintah tersebut. Jika kamu melihat mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT, maka halang dan cegahlah mereka daripadanya. ( Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/522. )

Antara peranan utama yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam menjauhkan anak-anak dari perjudian adalah sebagaimana berikut:

  • Memberi Pendidikan Awal: Ibu bapa perlu memberikan pendidikan awal kepada anak-anak mengenai bahaya perjudian dan pertaruhan. Anak-anak perlu memahami bahawa aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja haram dalam Islam tetapi juga boleh memudaratkan masa depan mereka. Allah SWT berfirman:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.

Surah al-Baqarah (219)

Al-Syaukani menyatakan bahawa pada judi terdapat dosa besar kerana ia membawa kepada kemiskinan, kehilangan harta, permusuhan dan kekosongan jiwa, sedangkan manfaat yang diperoleh daripadanya hanyalah manfaat buat orang-orang miskin. Oleh sebab itu, tidak ada kebaikan dalam perjudian jika hendak dibandingkan dengan risiko kehilangan harta benda, terdedah kepada kemiskinan, menimbulkan permusuhan sehingga boleh menyebabkan pertumpahan darah dan mencarik kehormatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh Muhammad Sulaiman al-Asyqar, hlm. 43)

  • Menjadi Contoh Teladan: Ibu bapa harus menjadi teladan yang baik dengan mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang bentuk perjudian atau pertaruhan. Anak-anak cenderung meniru tingkah laku ibu bapa mereka, oleh itu adalah penting untuk tidak menunjukkan sebarang kecenderungan terhadap aktiviti yang tidak sihat ini. Diriwayatkan daripada

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibubapanyalah yang mencorakkanya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Riwayat al-Bukhari (1385)

Mafhum daripada nas ini sebenarnya ibu bapalah yang akan mencorakkan anak, sama ada baik atau buruk. Tingkah laku mereka berdua sudah tentu akan mempengaruhi anak-anak.

  • Mewujudkan Persekitaran yang Positif: Ibu bapa harus mewujudkan suasana rumah yang sihat dan positif di mana anak-anak merasa bahagia dan selamat. Aktiviti keluarga yang melibatkan keseronokan yang sihat seperti bersukan, bermain permainan, dan meluangkan masa berkualiti bersama dapat mengurangkan kecenderungan mereka untuk mencari hiburan melalui perjudian.
  • Mengawasi Pergaulan Anak-anak: Ibu bapa perlu memantau dengan siapa anak-anak mereka bergaul. Mereka harus menggalakkan anak-anak untuk berkawan dengan individu yang mempunyai nilai-nilai positif dan mengelakkan rakan yang mungkin terlibat dalam perjudian.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ، فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُُخَالِلْ

Maksudnya: “Pegangan agama seseorang itu mengikut pegangan agama sahabatnya, maka hendaklah seseorang daripada kamu melihat dengan siapakah dia bersahabat”.

Riwayat Ahmad(8417)

Dinyatakan dalam Syarh Masabih, oleh Ibn Malik (5/319) Bahawa: Jika seseorang menjadikan orang yang soleh sebagai sahabat, maka dia akan menjadi orang yang soleh. Dan jika dia menjadikan orang yang fasik sebagai sahabat, maka dia akan menjadi orang yang fasik.

Justeru,  berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik dan membentuk anak-anak mereka. Dengan memberikan didikan tarbiyah Islam, anak-anak akan membesar dengan nilai-nilai Islam dan menjauhi segala larangan Allah SWT. Dalam era yang serba canggih ini, kami menasihatkan agar ibu bapa sentiasa memantau tindakan anak-anak, sama ada di rumah atau di luar, supaya mereka tidak terlibat dalam aktiviti perjudian yang merosakkan.

Perlu diingatkan bahawa judi pada masa kini boleh dilaksanakan melalui online dan ia amat berleluasa. Mungkin dengan jumlah yang sedikit dan sebagai umpan, mendapat laba yang banyak boleh menggelapkan mata yang mula berjinak-jinak dengan judi online ini. Justeru, perlulah disedari dan diperingatkan kepada anak-anak kita dari semasa ke semasa akan bahaya dan implikasi buruk hasil daripada judi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahua’Alam