#6941: Babi Melintas di Simen Luar Rumah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya duduk di kawasan kampung. Saya selalu melihat khinzir dan anak-anaknya bermain-main di kawasan luar rumah saya. Adakalanya saya lihat mereka melintas di simen luar rumah saya. Adakah saya perlu sertu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302)

 Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dalam mazhab Syafi’i, babi dianggap sebagai najis mughallazah (berat). Najis seperti ini perlu disamak dan dibasuh dengan 7 kali air serta salah satu daripadanya air tanah.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan ia kembali kepada hukum zahir berdasarkan kaedah:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).

Justeru, selama mana tidak nampak ‘ain najasah yang nyata dan zahir seperti tahi atau kencing pada lantai rumah anda, maka tidak perlulah anda menyamaknya atau sertunya. Namun, sekiranya tidak ada ain najasah seperti tahi/kencing, maka  ia dihukum sebagai suci dan bersih.  Ini adalah sebagaimana kaedah menyebutkan:

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).

Hal ini juga kerana kami mengambil kira faktor panas matahari, hujan, angin, tanah dan seumpamanya, secara tidak langsung, turut membantu dalam menghilangkannya. Selain itu, keadaan ini juga sekiranya berlaku adalah seperti umum al-balwa. Sementelahan, untuk mengawalnya adalah sangat susah. Pada masa yang sama, kita tidak mahu perkara ini membawa kepada timbulnya syak atau ragu-ragu sehingga menyusahkan ramai orang.

Bahkan, bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a‘lam.