#6942: Haji Pada Zaman Jahiliah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan dengan haji pada zaman jahiliah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sudah masyuhur dalam kalangan ahli sejarah dan sirah bahawa orang Arab dari suku Quraisy sangat memuliakan Kaabah, dan mereka juga menunaikan haji ke sana. Bahkan telah thabit dalam hadis-hadis sahih bahawa mereka mempunyai adat dalam tawaf, dan ifadah (perjalanan dari Arafah ke Muzdalifah) dan sebagainya. Ada di antaranya yang dibatalkan oleh Islam, dan ada yang dikekalkan.

Menjawab persoalan di atas, haji pada zaman Jahiliyah telah dicemari dengan wujudnya berhala di sekeliling Ka’bah dan mereka menyembah patung serta berhala di samping tawaf Ka’bah dan memohon kepada Allah. Justeru, mereka dinamakan syirik atau musyrikin. Antaranya yang paling ketara apabila mereka mengucapkan talbiah seperti berikut: Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ الْمُشْرِكُونَ يَقُولُونَ: لَبَّيْكَ لا شَرِيكَ لَكَ، قَالَ فَيَقُولُ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: ((وَيْلَكُمْ قَدْ، قَدْ))، فَيَقُولُونَ: إِلَّا شَرِيكًا هُوَ لَكَ، تَمْلِكُهُ وَمَا مَلَكَ، يَقُولُونَ هذَا وَهُمْ يَطُوفُونَ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Dahulu, orang-orang yang syirik berkata: ‘Labbaika laa syariika laka… (Aku memenuhi panggilan-Mu, wahai Tuhan; yang tidak ada sekutu bagi-Mu…). Lalu, Rasulullah SAW bersabda: ‘Celakalah kamu, cukuplah ucapan itu dan jangan diteruskan!’ Namun, mereka meneruskan ucapan mereka: ‘Illaa syariikan huwa laka tamlikuhu wamaa malaka… (Kecuali, sekutu bagi-Mu yang memang Engkau kuasai dan ia tidak menguasai).’ Mereka mengucapkan ini, sementara mereka sedang tawaf di Baitullah.”

Riwayat Muslim (1185)

Arab Quraisy juga tidak bersependapat dalam mengenai amalan yang dilakukan semasa haji. Antaranya, apa yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim serta yang lainnya daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata: “Quraisy dan orang-orang yang mengikuti agama mereka dan berwukuf di Muzdalifah, dan mereka dipanggil Al-Hums, manakala seluruh orang Arab lainnya berwukuf di Arafah. Apabila Islam datang, Allah memerintahkan Nabi-Nya SAW untuk pergi ke Arafah, kemudian berwuquf di sana, dan kemudian melakukan ifadah daripadanya. Maka itulah yang dimaksudkan dalam firman Allah:

ثُمَّ أَفِيضُواْ مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ ٱلنَّاسُ

Maksudnya: ‘Kemudian, berangkatlah dari tempat orang ramai berangkat.'”

(Surah al-Baqarah: 199)

Diriwayatkan bahawa Urwah berkata:

كَانَ النَّاسُ يَطُوفُونَ فِي الجَاهِلِيَّةِ عُرَاةً إِلَّا الحُمْسَ – وَالحُمْسُ: قُرَيْشٌ وَمَا وَلَدَتْ –  وَكَانَتِ الحُمْسُ يَحْتَسِبُونَ عَلَى النَّاسِ، يُعْطِي الرَّجُلُ الرَّجُلَ الثِّيَابَ يَطُوفُ فِيهَا، وَتُعْطِي الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ الثِّيَابَ تَطُوفُ فِيهَا، فَمَنْ لَمْ يُعْطِهِ الحُمْسُ طَافَ بِالْبَيْتِ عُرْيَانًا. وَكَانَ يُفِيضُ جَمَاعَةُ النَّاسِ مِنْ عَرَفَاتٍ، وَيُفِيضُ الحُمْسُ مِنْ جَمْعٍ. قَالَ: وَأَخْبَرَنِي أَبِي، عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ هَذِهِ الآيَةَ نَزَلَتْ فِي الحُمْسِ: {ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ}[البقرة: 199] قَالَ: كَانُوا يُفِيضُونَ مِنْ جَمْعٍ، فَدُفِعُوا إِلَى عَرَفَاتٍ.

Maksudnya: “Pada masa Jahiliyyah orang ramai mengerjakan tawaf (di Baitullah) secara bertelanjang melainkan golongan al-Hums. – Dan al-Hums ialah orang-orang Quraisy serta keturunannya. – Golongan al-Hums itu mengharapkan (ganjaran daripada Allah). Maka, seorang lelaki (Quraisy) memberikan pakaian kepada seorang lelaki lain, lalu dia mengerjakan tawaf dengan memakainya. Begitu juga, seorang perempuan (Quraisy) memberikan pakaian kepada seorang perempuan lain, lalu mengerjakan tawaf dengan memakainya. Manakala sesiapa yang tidak diberi (pakaian) oleh al-Hums, hendaklah mengerjakan tawaf di Baitullah (Kaabah) dalam keadaan bertelanjang. Orang ramai (selain orang Quraisy) keluar berangkat daripada ‘Arafat (masya‘ir), sedangkan golongan al-Hums berangkat dari Jam‘u (Muzdalifah – dan tidak pergi ke Arafah).” Beliau (‘Urwah) berkata: “Bapaku mengkhabarkan kepadaku, daripada Aisyah R.Anha bahawa ayat ini ditujukan kepada golongan al-Hums, iaitu: “ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ” (Maksudnya: “Selain daripada itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai.”)[Surah al-Baqarah: 199] Beliau berkata: “Dahulunya mereka (al-Hums) bertolak dari Jam‘u, lalu mereka diperintahkan untuk bertolak dari Arafah.”

Riwayat al-Bukhari (1665)

Diriwayatkan juga daripada Urwah, beliau berkata:

قَالَ عُرْوَةُ: سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا فَقُلْتُ لَهَا: أَرَأَيْتِ قَوْلَ اللَّهِ تَعَالَى: {إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ البَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا}، فَوَاللَّهِ مَا عَلَى أَحَدٍ جُنَاحٌ أَنْ لاَ يَطُوفَ بِالصَّفَا وَالمَرْوَةِ، قَالَتْ: بِئْسَ مَا قُلْتَ يَا ابْنَ أُخْتِي، إِنَّ هَذِهِ لَوْ كَانَتْ كَمَا أَوَّلْتَهَا عَلَيْهِ، كَانَتْ: لاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ لاَ يَتَطَوَّفَ بِهِمَا، وَلَكِنَّهَا أُنْزِلَتْ فِي الأَنْصَارِ، كَانُوا قَبْلَ أَنْ يُسْلِمُوا يُهِلُّونَ لِمَنَاةَ الطَّاغِيَةِ، الَّتِي كَانُوا يَعْبُدُونَهَا عِنْدَ الْمُشَلَّلِ، فَكَانَ مَنْ أَهَلَّ يَتَحَرَّجُ أَنْ يَطُوفَ بِالصَّفَا وَالْمَرْوَةِ، فَلَمَّا أَسْلَمُوا، سَأَلُوا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا كُنَّا نَتَحَرَّجُ أَنْ نَطُوفَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: {إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ} [البقرة: 158]. الآيَةَ قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: «وَقَدْ سَنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الطَّوَافَ بَيْنَهُمَا، فَلَيْسَ لِأَحَدٍ أَنْ يَتْرُكَ الطَّوَافَ بَيْنَهُمَا»، ثُمَّ أَخْبَرْتُ أَبَا بَكْرِ بْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ فَقَالَ: إِنَّ هَذَا لَعِلْمٌ مَا كُنْتُ سَمِعْتُهُ، وَلَقَدْ سَمِعْتُ رِجَالًا مِنْ أَهْلِ العِلْمِ يَذْكُرُونَ: أَنَّ النَّاسَ، – إِلَّا مَنْ ذَكَرَتْ عَائِشَةُ  مِمَّنْ كَانَ يُهِلُّ بِمَنَاةَ،- كَانُوا يَطُوفُونَ كُلُّهُمْ بِالصَّفَا وَالمَرْوَةِ، فَلَمَّا ذَكَرَ اللَّهُ تَعَالَى الطَّوَافَ بِالْبَيْتِ، وَلَمْ يَذْكُرِ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ فِي القُرْآنِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كُنَّا نَطُوفُ بِالصَّفَا وَالمَرْوَةِ وَإِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الطَّوَافَ بِالْبَيْتِ فَلَمْ يَذْكُرِ الصَّفَا، فَهَلْ عَلَيْنَا مِنْ حَرَجٍ أَنْ نَطَّوَّفَ بِالصَّفَا وَالمَرْوَةِ؟ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: {إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ} [البقرة: 158] الآيَةَ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: «فَأَسْمَعُ هَذِهِ الآيَةَ نَزَلَتْ فِي الفَرِيقَيْنِ كِلَيْهِمَا، فِي الَّذِينَ كَانُوا يَتَحَرَّجُونَ أَنْ يَطُوفُوا بِالْجَاهِلِيَّةِ بِالصَّفَا وَالمَرْوَةِ، وَالَّذِينَ يَطُوفُونَ ثُمَّ تَحَرَّجُوا أَنْ يَطُوفُوا بِهِمَا فِي الإِسْلاَمِ، مِنْ أَجْلِ أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى أَمَرَ بِالطَّوَافِ بِالْبَيْتِ، وَلَمْ يَذْكُرِ الصَّفَا، حَتَّى ذَكَرَ ذَلِكَ، بَعْدَ مَا ذَكَرَ الطَّوَافَ بِالْبَيْتِ»

Maksudnya: Aku bertanya kepada Aisyah R.Anha. Aku katakan kepadanya: “Apakah pendapatmu tentang firman Allah SWT, “إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ فَمَنْ حَجَّ البَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا”(Maksudnya: “Sesungguhnya ‘Safa’ dan ‘Marwah’ itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadah Haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah dia bersa‘i (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya.”)[Surah al-Baqarah: 158] Demi Allah, (menurutku) seseorang itu tidaklah berdosa apabila tidak mengerjakan sa‘i antara Safa dan Marwah.” Aisyah berkata: “Sangat buruk apa yang engkau katakan, wahai anak saudaraku.  Sesungguhnya ayat ini, jika seperti yang engkau fahami, maka sudah tentu tidak ada dosa bagi seseorang yang tidak mengerjakan sa‘i antara keduanya. Akan tetapi ayat ini diturunkan berkenaan kaum Ansar. Mereka dahulu sebelum memeluk agama Islam, mereka berniat ihram (melakukan ibadah haji) untuk berhala yang bernama Manat si taghut itu, yang mereka sembah di (bukit) al-Musyallal. Oleh itu, sesiapa (antara mereka) yang berniat ihram merasa bersalah untuk mengerjakan sa‘i di Safa dan Marwah (kerana teringatkan amalan jahiliyyah itu). Apabila mereka memeluk agama Islam, mereka bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai perkara itu. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami dahulu merasa bersalah untuk mengerjakan sa‘i antara Safa dan Marwah.” Lalu Allah SAW menurunkan ayat: “إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ” (Maksudnya: “Sesungguhnya ‘Safa’ dan ‘Marwah’ itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah…”)[Surah al-Baqarah: 158]   Aisyah R.Anha berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menjadikan sa‘i antara keduanya (Safa dan Marwah) itu sebagai sunnah (yakni ketetapan). Oleh itu, tidak boleh bagi sesiapa pun untuk meninggalkan sa‘i antara keduanya.” Kemudian aku menceritakan (perkara itu) kepada Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman. Dia berkata: “Sungguh ini adalah ilmu (maklumat) yang belum pernah lagi aku mendengarnya. Aku telah mendengar daripada sebilangan ahli ilmu menyebutkan bahawa orang ramai – kecuali orang-orang yang disebutkan oleh Aisyah yang dahulunya berniat ihram (mengerjakan haji) untuk Manat – biasa mengerjakan sa‘i antara Safa dan Marwah. Apabila Allah SWT menyebutkan tawaf di Baitullah dan tidak menyebutkan mengenai Safa dan Marwah di dalam Al-Qur’an, mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, kami dahulu mengerjakan sa‘i antara Safa dan Marwah, dan sesungguhnya Allah SWT menurunkan (ayat mengenai) tawaf di Baitullah, tetapi tidak menyebutkan (mengenai) Safa. Adakah kami berdosa jika kami mengerjakan sa‘i antara Safa dan Marwah?” Lalu Allah SWT menurunkan ayat, “إِنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ” (Maksudnya: “Sesungguhnya ‘Safa’ dan ‘Marwah’ itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah…”)[Surah al-Baqarah: 158] Abu Bakar berkata: “Aku mendengar ayat ini turun (ditujukan) kepada dua golongan sekaligus, iaitu (golongan pertama) orang-orang yang dahulu merasa bersalah mengerjakan sa‘i antara Safa dan Marwah sepertimana pada masa Jahiliyyah, dan (golongan kedua) orang-orang yang mengerjakan tawaf,  kemudian berasa berdosa untuk mengerjakan sa‘i antara keduanya (Safa dan Marwah) ketika sudah memeluk agama Islam, kerana Allah SWT memerintahkan untuk melakukan tawaf di Baitullah dan tidak menyebut Safa sehinggalah akhirnya Dia menyebutkan perkara itu (sa‘i antara Safa dan Marwah) selepas menyebut tawaf di Baitullah.”

Riwayat al-Bukhari (1643) dan Muslim (1277)

Antara sifat haji di zaman Jahiliyah adalah:

  • Mereka tawaf dalam keadaan telanjang dan tidak menutup aurat
  • Mereka tidak berwukuf di Arafah, tetapi semata-mata di kawasan Tanah Haram
  • Mereka juga bermabit di Mina
  • Di Mina, pada zaman Jahiliyah, mereka melontar di Jamarat kepada Amru bin Luhai di mana telah dibawa tujuh berhala yang ditegakkan di Mina untuk dilontar.

Antara amalan haji juga, mereka mengambil keberkatan daripada ‘Ak dan Hubail (dua patung besar). Di sana terdapat kabilah Yaman, nama ‘Ak dan datang ke Ka’bah setiap tahun di samping mereka mengirim dua hamba hitam untuk tawaf sekelilingnya seraya bernasyid: Kami adalah dua gagak bagi ‘Ak dengan maksud: Kami adalah hamba Kabilah ‘Ak.

Banyak lagi ajaran karut marut yang lain yang dilakukan pada zaman jahilyah. Semoga Allah selamatkan kita daripada sebarang khurafat dan jahiliyah ini. Wallahua’lam.

 

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”