#6945:  Bertanya Bomoh atau Peramal Tentang Hari Yang Boleh Membawa Keuntungan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum seseorang yang bertanya bomoh untuk mengetahui hari yang menguntungkan dalam perniagaan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ ۚ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ ۚ وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.”

(Surah al-An’am: 59)

Ibn Kathir dalam tafsirnya, Tafsir Ibn Kathir, (3/264) mendatangkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَفَاتِيحُ الغَيْبِ خَمْسٌ لاَ يَعْلَمُهَا إِلَّا اللَّهُ: لاَ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الأَرْحَامُ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي المـَطَرُ أَحَدٌ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: “Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah. Tidak ada yang mengetahui apa yang berlaku pada esok hari kecuali Allah, tidak ada yang mengetahui apa yang dikurangi pada rahim kecuali Allah, tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah akan turunnya hujan kecuali Allah. Setiap jiwa tidak mengetahui di negeri mana dia akan mati, dan tidak ada yang mengetahui bilakah akan berlakunya kiamat kecuali Allah.”

Riwayat al-Bukhari (4697)

Pengetahuan kita mengenai hal-hal ghaib sangat terbatas, di mana kita hanya mengetahui sebahagiannya melalui perkhabaran daripada Allah SWT melalui wahyu yang disampaikan kepada Baginda SAW. Jika perkara tersebut termasuk yang dikhabarkan maka hal tersebut ada ruang untuk digambarkannya, namun ia tetap terbatas dan sama sekali tidak akan menggambarkan hakikat yang sebenarnya. Tetapi jika tidak, maka ia termasuk perkara ghaib yang tidak diketahui kecuali Allah.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa perbuatan mendatangi dukun atau peramal untuk mengetahui hari buruk atau baik adalah dilarang dalam syarak. Malah, ia merupakan perbuatan kufur yang dilakukan oleh golongan jahiliyyah dahulu. Perbuatan ini dilarang oleh syarak kerana tiada siapa yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah SWT, dan ia juga merupakan perbuatan syirik.

Diriwayatkan daripada sebahagian isteri  Nabi SAW, bahawa Baginda SAW bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi ‘arraf (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.”

Riwayat Muslim (5957)

Pada riwayat yang lain, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Sesiapa mendatangi kahin atau ‘arraaf (dukun) dan dia membenarkan ucapannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (al-Qur’an).”

Riwayat Ahmad (9171)

Imam Nawawi menjelaskan; “Adapun tidak diterimanya solat (orang yang bertanya kepada dukun selama empat puluh malam), ertinya tidak ada pahala untuk dia, walaupun solat yang dilakukannya dianggap sah dan tertunai kewajipannya dan tidak perlu baginya mengulangi solatnya (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/227).

Manakala golongan yang kedua, “maka dia telah kufur terhadap yang diturunkan kepada Muhammad”. Dan yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah al-Qur’an dan kufur terhadap al-Qur’an, bererti keluar daripada Islam atau murtad. Keadaan ini hanya berlaku sekiranya orang yang menemui bomoh atau dukun tersebut benar-benar beriktikad mempercayai bahawa bomoh atau dukun tersebut mengetahui perkara yang ghaib sedangkan hanya Allah SWT yang mengetahui perkara yang ghaib (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 20/246), la juga menunjukkan ketegasan dan keseriusan Nabi SAW (taghlizh) dalam menegah perkara ini (Lihat Syarh Sunan Ibn Majah, 1/889).

Justeru, sebagai seorang Muslim, adalah dilarang sama sekali untuk mendatangi peramal bagi mengetahui perkara ghaib seperti meramal hari yang boleh membawa keuntungan atau kerugian dalam perniagaan. Oleh yang demikian, setiap Muslim wajib menjauhi perbuatan syirik kerana ancamannya amatlah berat. Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 48 )

Ibn Kathir berkata: “Allah Ta’ala tidak akan mengampuni dosa syirik yaitu ketika seorang hamba bertemu Allah dalam keadaan berbuat syirik.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 3/129).

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Wallahu ‘Alam