#6948: Galakan Untuk Berwuduk Selepas Melakukan Dosa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkan di sana terdapat galakkan atau anjuran untuk berwuduk selepas terlanjur melakukan dosa? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82).

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, di sana terdapat sebahagian ulama yang berpendapat, dianjurkan atau disunatkan untuk mereka yang melakukan dosa atau maksiat seperti mengumpat, menipu dan seumpamanya untuk berwuduk selepas dia menyebutkan perkataan-perkataan buruk tersebut.

Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh al-Syirazi dalam kitabnya bahawa:

وَالْمُسْتَحَبُّ أَنْ يَتَوَضَّأَ مِنَ الضَّحِكِ فِي الصَّلَاةِ وَمِنَ الْكَلَامِ الْقَبِيحِ

Maksudnya: “Dianjurkan (sunat) bagi seseorang untuk berwuduk disebabkan ketawa dalam solat dan juga kerana perkataan-perkataan yang buruk.” (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/53).

Kemudian al-Syirazi membawakan pula dalil-dalil bagi kenyataannya itu. Di antaranya riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَأَنْ أَتَوَضَّأَ مِنَ الْكَلِمَةِ الْخَبِيثَةِ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَتَوَضَّأَ مِنَ الطَّعَامِ الطَّيِّبِ

Maksudnya: “Aku berwuduk kerana perkataan yang buruk lebih aku sukai daripada berwuduk kerana makanan yang baik.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (9222); Al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (1/254) menyatakan, perawi-perawinya adalah thiqah.

Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anhuma, katanya:

يَتَوَضَّأُ أَحَدُكُمْ مِنَ الطَّعَامِ الطَّيِّبِ، وَلَا يَتَوَضَّأُ مِنَ الْكَلِمَةِ الْعَوْرَاءِ يَقُولُهَا

Maksudnya: “Salah seorang daripada kamu berwuduk kerana makanan yang baik, tetapi tidak berwuduk kerana perkataan yang buruk yang diucapkannya.”

Riwayat ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (470)

Demikian juga riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

 الْحَدَثُ حَدَثَانِ؛ حَدَثُ اللِّسَانِ، وَحَدَثُ الْفَرْجِ، وَأَشَدُّهُمَا حَدَثُ اللِّسَانِ

Maksudnya: “Hadas ada dua jenis; hadas yang muncul dari lisan dan hadas yang muncul dari kemaluan, dan yang paling berat di antara kedua hadas itu adalah hadas yang muncul dari lisan.” (Lihat al-Ausat fi al-Sunan wa al-Ijma‘ wa al-Ikhtilaf, 1/232).

Selanjutnya, Imam al-Nawawi mensyarahkan pula kenyataan al-Syirazi di atas dengan menyatakan, athar yang disebutkan daripada Ibn Abbas masyhur diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab al-Dhu‘afa’ dan mengisyaratkan kepada kedha‘ifannya (lemah). Manakala perkataan Aisyah dalam athar di atas iaitu “الْعَوْرَاءِ ” bermaksud “buruk.” (yakni kata-kata buruk). Al-Harawi menyebutkan, Ibn al-Arabi mengatakan bahawa orang Arab menyebut perkara-perkara yang buruk dalam urusan dan akhlak sebagai A‘war “أَعْوَرُ” (kata sifat yang digunakan untuk lelaki) dan bagi sifat yang digunakan untuk perempuan pula disebut sebagai ‘Aura’ “عَوْرَاءُ”.

Kemudian, pengarang (al-Syirazi) membawakan athar-athar ini untuk difahami sebagai wuduk syar‘i iaitu basuhan pada anggota wuduk sebagaimana yang diketahui. Begitu juga, Ibn al-Munzir dan beberapa ulama dalam kalangan ashab kami turut menganggapnya (yakni memahaminya) demikian. Ibn al-Sabbagh berpendapat bahawa mereka mungkin maksudkan membasuh mulut, dan begitu juga al-Mutawalli yang menganggapnya merujuk kepada membasuh mulut. Al-Syashi dalam al-Mu‘tamad menukilkan kata-kata Ibn al-Sabbagh dan kemudian menyebutkan, (pandangan) ini jauh daripada kebenaran. Bahkan, yang jelas daripada kata-kata Imam al-Syafi‘i bahawasanya ia memaksudkannya sebagai wuduk syar‘i. Beliau menyebutkan, makna ini menunjukkan kepadanya (tafsiran tersebut) kerana membasuh mulut tidak memberi kesan kepada perkataan yang telah diucapkan, tetapi wuduk syar‘i memberi kesan kepadanya, di mana ia boleh menghapuskan dosa-dosa seperti yang sabit dalam hadith-hadith.

Jadi, pendapat yang betul atau tepat adalah, digalakkan (sunat) untuk berwuduk syar‘i disebabkan terlanjur mengucapkan perkataan-perkataan buruk seperti mengumpat, mengadu-domba, berbohong, membuat tuduhan zina tanpa bukti (qazaf), dan seumpamanya, dan tidak ada perselisihan mengenai anjuran untuk melakukannya apabila seseorang ketawa dalam solat, dan tidak diwajibkan apa-apa ke atasnya disebabkan hal itu.

Ibn al-Munzir dalam dua kitabnya; al-Asyraf dan al-Ijma‘ serta Ibn al-Sabbagh menyebutkan bahawa para ulama sepakat bahawa tidak wajib berwuduk disebabkan mengucapkan perkataan-perkataan buruk seperti mengumpat, qazaf, kata-kata palsu, dan selainnya. Namun, al-Ruyani menukilkan daripada kelompok Syiah bahawa mereka berpendapat wajib untuk berwuduk disebabkan hal itu. Akan tetapi pendapat Syiah tidak diambil kira sebagai hujah. Imam al-Syafi‘i, Ibn al-Munzir, al-Baihaqi, dan ashab kami dalam masalah ini berhujah dengan hadith Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda (yang bermaksud): “Sesiapa yang bersumpah dengan Latt dan ‘Uzza, hendaklah dia mengucapkan: “لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ” (tiada Tuhan yang disembah selain Allah).’ Sesiapa yang berkata kepada orang lain: ‘Datanglah kepadaku, mari kita berjudi, maka hendaklah dia bersedekah (untuk menghapuskan dosanya).’” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.[1] (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/62).

Tambahan lagi, Ibn Qudamah juga ada menyatakan, kami telah meriwayatkan daripada ramai ulama terdahulu bahawa mereka menyuruh untuk berwuduk kerana mengucapkan perkataan-perkataan yang kotor. Ini kerana perkara tersebut adalah dianjurkan (sunat) di sisi kami (mazhab Hanbali) daripada kalangan yang menyuruhnya. (Lihat al-Mughni, 1/239).

Apatah lagi Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dilihat meluaskan lagi isu ini dengan tidak mengehadkan kepada maksiat lidah (pertuturan) semata-mata, bahkan digalakkan juga untuk berwuduk setelah melakukan sebarang dosa. Beliau menyebutkan:

وَيُسْتَحَبُّ الْوُضُوءُ عَقِيبَ الذَّنْبِ

Maksudnya: “Dianjurkan (sunat) untuk  berwuduk sesudah melakukan dosa.” (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 5/306).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa dianjurkan dan digalakkan (sunat) untuk seseorang itu berwuduk sesudah terlanjur melakukan dosa atau maksiat seperti mengumpat, menipu dan lain-lain perkara seumpamanya. Hikmahnya adalah supaya wuduk yang diambil itu mudah-mudahan menjadi penyebab kepada gugurnya dosa pelakunya itu. Ini jelas sebagaimana hadith, di mana Rasulullah SAW bersabda:

‎مَن تَوَضَّأَ فأحْسَنَ الوُضُوءَ خَرَجَتْ خَطَايَاهُ مِن جَسَدِهِ، حتَّى تَخْرُجَ مِن تَحْتِ أَظْفَارِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk lalu dia memperelokkan wuduknya, akan keluar dosa-dosanya dari tubuhnya, sehingga dosa-dosa tersebut keluar dari bawah kuku-kukunya.

Riwayat Muslim (245)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”

[1] Riwayat al-Bukhari (6107) dan Muslim (1647)