#6951: Nabi SAW Dikurniakan Lima Perkara

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya telah khilaf kerana saya dapati ada dua riwayat hadith berkenaan dengan kurniaan kepada Nabi lima perkara. Boleh terangkan kepada saya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّآ أَعْطَيْنَـٰكَ ٱلْكَوْثَرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu kebaikan yang banyak, antaranya sungai al-Kauthar di syurga.”

(Surah al-Kauthar: 1)

Abu Hayyan menyatakan bahawa al-Kauthar mempunyai 26 pendapat di dalam menafsirkan maksudnya, dan yang paling sahihnya ialah satu sungai dalam syurga sebagaimana sabda Nabi SAW: “Al-Kauthar ialah satu sungai dalam syurga, dua tebingnya daripada emas, laluan airnya daripada permata yaqut, tanahnya lebih wangi daripada kasturi dan airnya lebih manis daripada madu.” (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/680)

Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنَ الأَنْبِيَاءِ قَبْلِي: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ، وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا، وَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ فَلْيُصَلِّ، وَأُحِلَّتْ لِي الغَنَائِمُ، وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً، وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً، وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ.

Maksudnya: “Aku diberikan lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku. (Pertama) Aku diberi pertolongan dengan dicampakkan perasaan takut dalam hati musuh sejauh sebulan perjalanan. (Kedua) Bumi ini telah dijadikan untuk aku bersujud dan bersuci. Oleh itu sesiapa sahaja daripada kalangan umatku, hendaklah menunaikan solat di mana sahaja apabila telah masuk waktunya. (Ketiga) Harta ghanimah (rampasan perang) dihalalkan buat aku. (Keempat) Seseorang nabi itu selalunya diutuskan untuk kaumnya sahaja, sedangkan aku diutuskan untuk manusia seluruhnya. Dan (kelima) Aku diberi hak keistimewaan untuk memberi syafaat (kepada umatku).”

Riwayat al-Bukhari (438) dan Muslim (521)

Dapatan kami daripada riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنَ الْأَنْبِيَاءِ قَبْلِي، أُرْسِلْتُ إِلَى الْأَحْمَرَ وَالْأَسْوَدَ، وَجُعِلَتْ لِيَ الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا وَنُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ، وَأُحِلَّ لِيَ الْمَغْنَمُ وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ فَادَّخَرْتُهَا لِأُمَّتِي

Maksudnya: Aku telah diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan pada seorang pun sebelumku: Aku diutus kepada semua manusia kulit putih atau berwarna, dan dijadikan untukku tanah (bumi) ini sebagai masjid dan alat cuci, dan aku dimenangkan atas musuh-musuh dengan perasaan gentar mereka dalam jarak perjalanan satu bulan, dan dihalalkan untukku makan hasil ghanimah perang, dan aku diberi syafa’at, maka aku simpan (tangguhkan) kelak untuk umatku).

Riwayat Abu al-Laith al-Samarqandi dalam Tanbih al-Ghafilin (hlm. 779)

Berdasarkan dapatan kami, sebenarnya kedua-dua riwayat ini hampir sama kecuali perbezaan dari segi susunan dan hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim lebih terperinci apabila disebut tentang bumi sebagai masjid dan suci, juga ditambah dengan boleh sembahyang di mana-mana apabila masuk atau tibanya waktu. Adapun hadith yang kedua hanya menyebut berkenaan dengan bumi sebagai masjid dan suci semata-mata.

Berkenaan dengan syafaat pula, hadith al-Bukhari dan Muslim hanya menyebut: Aku dikurniakan syafaat. Sedangkan hadith yang kedua, ditambah dengan: Maka aku simpan syafaat tersebut bagi umatku.

Justeru, kami katakan bahawa ia lebih kepada khilaf lafzi kecuali kami perlu menyemak dari segi sanad riwayat yang kedua sama ada ia berstatus sahih atau sebaliknya. Secara umumnya, hadith tersebut menggambarkan kepada kita khususiyyat dan keistimewaan yang diberikan kepada Nabi SAW dan tidak diberikan kepada mana-mana Nabi sebelumnya. Hal ini sebagaimana dijelaskan pada muqaddimah hadith.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”