#6961: Bermulanya Kefardhuan Jihad

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bilakah jihad difardhukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu memerangi golongan yang memerangi kamu demi menegakkan agama Allah tetapi janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada mereka yang melampaui batas.”

(Surah al-Baqarah: 190)

Ini merupakan ayat pertama yang diturunkan semasa peperangan di Madinah, ketika mana Rasulullah SAW memerangi mereka yang memerangi Baginda, dan Baginda tidak memerangi orang yang tidak memeranginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/387)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib, antara lain katanya: Antara fakta sejarah dan sejarah Islam; bahawa Nabi SAW dan para sahabatnya hidup di Makkah selama 13 tahun bersabar menghadapi kezaliman, tentangan bahkan azab seksa daripada orang-orang kafir Quraisy, namun Baginda dan para sahabat tidak pernah memerangi kuffar Quraisy dan tidak pernah menghunus pedang ke wajah mereka.

Ramai para sahabat meminta izin dari Nabi SAW untuk memerangi musuh musuh mereka ini, namun Baginda tidak mengizinkannya. Sebaliknya, Baginda mengizinkan para sahabat Baginda yang dizalimi untuk keluar meninggalkan kota Makkah dan berhijrah ke negara Kristian yang diperintah oleh seorang raja yang beragama Kristian; iaitu negara Habsyah yang diperintah oleh Raja Najasyi. Para sahabat Nabi berhijrah ke sana sebanyak dua kali, selama mereka berada di Makkah. Raja Najasyi melindungi dan menjamin keselamatan mereka daripada penindasan orang-orang musyrik dan penyembah berhala.

Keadaan tersebut berterusan sehinggalah Nabi SAW berhijrah ke Madinah bersama para sahabat Baginda. Di sana, pada tahun ke-2 Hijrah, turunlah ayat al-Quran yang mengizinkan umat Islam untuk berperang memerangi musuh-musuh yang dahulunya menzalimi dan menindas mereka. Ayat yang terawal turun ialah firman Allah SWT:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ ‎(٣٩)‏ الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ (٤٠)

Maksudnya: “Diizinkan kepada orang Islam yang diperangi untuk berperang kerana mereka telah dizalimi. Dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dalam membantu mereka mencapai kemenangan. Mereka ialah golongan yang telah diusir dari kampung halaman tanpa sebarang alasan yang benar melainkan hanya kerana mereka mengucapkan tiada Tuhan selain Allah. Kalaulah bukan kerana Allah menggerakkan hati sebahagian manusia untuk menentang kezaliman yang dibuat oleh sebahagian yang lain, nescaya biara-biara rahib, gereja-gereja Kristian, sinagog-sinagog Yahudi dan masjid-masjid yang disebut nama Allah di dalamnya akan dihancurkan. Allah pasti akan berikan pertolongan kepada sesiapa yang menolong agama-Nya. Dan sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

(Surah al-Hajj: 39-40)

Al-Sa‘di berkata, kaum Muslimin ketika zaman awal keislaman dilarang daripada memerangi Kuffar, dan mereka diperintahkan untuk bersabar dengan kaum Kuffar itu kerana adanya hikmah disebalik perkara tersebut. Apabila kaum Muslimin berhijrah ke Madinah, selepas mereka disakiti, kemudian memperoleh semula kekuatan, mereka diizinkan untuk keluar berperang. Keizinan itu diberikan kerana mereka dizalimi, dihalang untuk beramal dengan agama Islam, diseksa dan dikeluarkan dari kediaman mereka. Maka Allah SWT menjadi penolong dan pembantu umat Islam ketika itu.

Ini merupakan bukti bahawa Jihad itu disyariatkan dalam Islam, bagi menolak kemungkaran dan kemudharatan serta selainnya. Dan ini juga dalil bahawa negara yang aman damai dengan ibadah kepada Allah, dihidupkan masjid-masjidnya, dan ditegakkan syi‘ar agama keseluruhannya di negara tersebut. Ini semua kerana kelebihan dan keberkatan para mujahidin, Allah menjauhkan orang kafir dari negara tersebut. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 539)

Kedua-dua ayat ini merupakan bukti yang amat jelas yang menegaskan tentang pensyariatan perang dalam Islam diwajibkan untuk membela nasib orang-orang yang dizalimi dan menghapuskan kezaliman serta menggapai keamanan. Perkara ini tidak akan ditolak oleh sesiapa pun yang memiliki akal yang sihat dan jiwa nurani yang bersih. Jika kita menyelami tafsiran dua ayat di atas dengan lebih mendalam, nescaya kita akan dapat melihat sudut pandang betapa adilnya Islam, dan betapa Islam menghormati pihak yang lain seperti berikut:

Pertama: Ayat pertama menjelaskan bahawa kaum Muslimin tidak memulakan serangan terhadap orang-orang kafir, sebaliknya orang-orang kafir yang memulakan serangan. Inilah yang sebetulnya. Keizinan bagi orang-orang Muslim untuk menyerang adalah sebagai suatu tindak balas kepada serangan dan kezaliman yang dikenakan ke atas mereka. Inilah yang terkandung dalam kata kerja yuqatalun (يُقَاتَلُونَ) yang berbentuk pasif; ini menyatakan bahawa orang-orang Islam itu diperangi, dan orang-orang kafirlah yang memulakan serangan.

Kedua: al-Quran menjelaskan bahawa kaum Muslim diserang dengan begitu kejam dan zalim, mereka juga dihalau keluar daripada kampung halaman dan negeri asal mereka tanpa sebarang jenayah atau dosa yang melayakkan mereka untuk diusir keluar.

Demikianlah peperangan itu disyariatkan atas dasar pembelaan diri, bukannya untuk sengaja menimbulkan permusuhan dan kezaliman. Inilah yang diakui oleh semua agama dan syariat, serta undang-undang.

Ketiga: Fakta ini yang paling menakjubkan; jihad peperangan yang disyariatkan di dalam ayat ini diwajibkan bertujuan untuk memelihara dan menjamin kebebasan agama-agama samawi untuk diamalkan. Saya tegaskan, agama samawi bukanlah agama Islam sahaja. Inilah yang termaktub di dalam firman Allah SWT:

 وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا

Maksudnya: “Kalaulah bukan kerana Allah menggerakkan hati sebahagian manusia untuk menentang kezaliman yang dibuat oleh sebahagian yang lain, nescaya biara-biara rahib, gereja-gereja Kristian, sinagog-sinagog Yahudi dan masjid-masjid yang disebut nama Allah di dalamnya akan dihancurkan.”

(Surah al-Hajj: 40)

Kita sangkakan, Allah mensyariatkan jihad untuk memelihara hak umat Islam beribadah di masjid-masjid mereka sahaja. Rupa-rupanya kita dapati ayat al-Quran di atas tidak menyinggung keamanan tempat ibadat umat Islam semata-mata, bahkan juga menjamin keselamatan dan menjamin hak beribadat dan beramal bagi agama-agama lain selain Islam seperti Yahudi, Nasrani dan Majusi.

Maka, adakah seorang Muslim itu wajib berjihad memperjuangkan hak umat Islam beribadah di masjid, dalam masa yang sama dia juga wajib berjihad memperjuangkan hak keamanan beribadah agama-agama lain di gereja dan lain-lain tempat ibadah? Kalian mungkin terkejut jika saya katakan: Ya! Jika kalian ingin merasa takjub, maka takjublah dan kagumilah agama Islam dan syariatnya yang turut mempertahankan agama mereka beserta agama-agama lain.

Dengarkan bersama saya, tafsiran Ibn ‘Abbas R.A ketika terhadap ayat ini, beliau berkata: “Allah melindungi agama Islam, begitu juga penganut agama-agama lain dalam kalangan ahli zimmah.”

Seorang ahli falsafah Muslim, Fakhruddin al-Razi (w. 606 H) menyatakan sebab mengapa Allah SWT turut menyebut gereja-gereja, dan lain-lain tempat ibadah orang bukan Islam bersama masjid untuk dibela oleh umat Islam ketika berjihad, adalah kerana sinagog, gereja dan biara-biara adalah tempat nama Allah SWT masih disebut, dan ia bukanlah tempat penyembahan berhala.

Ayat suci ini menyatakan arahan berjihad tidak terhad untuk membela nasib orang Islam semata-mata, sebaliknya termasuk juga memelihara hak penganut agama-agama lain dan menjamin keselamatan mereka mengamalkan agama masing-masing.  (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 1/160-163)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”