#6963: Galakan Meminta Doa Daripada Mereka Yang Mengerjakan Haji

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah syarak menggalakkan untuk memohon doa daripada mereka yang mengerjakan haji? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Doa menurut Imam al-Khattabi adalah permohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. (Lihat Sya’n al-Du‘a, 1/4)

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu’.”

(Surah Ghafir: 60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh, tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan Penciptanya dalam setiap keadaan. Tambahan lagi, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa benar syarak mengalakkan untuk memohon doa daripada mereka yang menunaikan ibadah haji.  Ini kerana mereka melakukan Ibadah yang mulia di tempat yang suci iaitu di Makkah di mana ia merupoakan tempat yang dimustajabkan doa. Galakan ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اللَّهُمَّ اغفِرْ للحاجِّ، ولِمَنِ استَغفَرَ له الحاجُّ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah jemaah haji dan sesiapa sahaja yang dimohonkan keampunan oleh jemaah haji.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1632). Al-Al-Bani meliai hadith ini sebagai Dhaif dalam Dhaif al-Jami’ (hlm.166)

Dinyatakan dalam al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir bahwa (3/88): Ya Allah, ampunilah bagi jemaah haji (sama ada yang menunaikan haji wajib atau sunat) dan juga bagi sesiapa yang dimohonkan keampunan oleh jemaah haji itu, ketika hajinya dan selepasnya, sekalipun ia lebih jelas berlaku pada yang pertama. Dalam hal ini, dianjurkan untuk meminta doa keampunan daripada jemaah haji agar termasuk dalam doa Baginda SAW.

Begitu juga al-Munawi menyatakan: Ini merupakan kemuliaan yang besar bagi jemaah haji, maka sangat dianjurkan untuk meminta doa keampunan daripada mereka agar termasuk dalam doa Rasulullah SAW. Secara zahirnya, dianjurkan untuk meminta doa keampunan daripada mereka pada bila-bila masa. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/101)

Pernah satu ketika, Rasulullah SAW berkata kepada Saidina Umar ketika beliau bermusafir:

لاَ تَنْسَنَا يَا أُخَىَّ مِنْ دُعَائِكَ

Maksudnya: “Jangan lupakan kami wahai saudaraku dari doa kamu.”

Riwayat Abu Daud (1498), al-Tirmizi (3562), Ibn Majah (2894) dan Ahmad (195). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya dha’if.

Syeikh Muhammad Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menjelaskan: “Padanya dapat menzahirkan rasa rendah diri dan kefakiran pada maqam ubudiyyah (kehambaan) dengan mengharapkan doa daripada sesiapa yang dikenali dengan hidayah, serta gesaan kepada ummah untuk sentiasa mengharapkan doa daripada orang soleh dan ahli ibadat.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 4/256)

Justeru, mereka yang sedang menunaikan ibadah haji berada dalam keadaan yang penuh ketakwaan dan keikhlasan. Dalam suasana ibadah yang khusyuk dan ikhlas, hati mereka cenderung lebih dekat dengan Allah SWT, dan doa mereka lebih berpotensi untuk dimustajabkan. Oleh itu, memohon doa daripada mereka dianggap sebagai satu amalan yang digalakkan oleh syarak.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua‘lam.