#6964: Lelaki Memakai Cincin di Hidung

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada terbaca berkenaan seorang artis yang memakai cincin di hidungnya dan cincin yang dipakainya itu hanyalah “septum ring” palsu kerana ingin berfesyen dan menggayakan gaya baru. Sebenarnya, bolehkah seorang lelaki memakai cincin di hidungnya sebagai perhiasan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Ini berdasarkan beberapa dalil umum yang menunjukkan kesemuanya merupakan kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya yang dijadikan untuk mereka nikmati dan mengambil manfaat dalam kehidupan mereka sama ada daripada pakaian, perhiasan, kegunaan dan keseronokan hidup mereka di dunia. Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”

(Surah al-Baqarah: 29)

Seterusnya, dalam menjawab soalan ini, secara umumnya, cincin termasuk dalam perhiasan buat golongan lelaki dan wanita. Oleh itu, semua jenis cincin dibenarkan untuk dipakai oleh golongan lelaki melainkan cincin emas. Dalam erti kata lain, cincin emas adalah haram dan tidak dibenarkan untuk dipakai oleh golongan lelaki. Hal ini berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:

أنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) daripada memakai cincin emas.”

Riwayat Muslim (2089)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kaum Muslimin telah berijma‘ (bersepakat) akan keharusan perempuan untuk memakai cincin emas dan telah berijma‘ juga akan pengharaman buat lelaki bagi memakai cincin emas. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/65)

Selain itu juga, kebiasaannya cincin dipakai pada jari-jari tangan tidak kira bagi lelaki mahupun wanita. Bagi lelaki terdapat larangan untuk memakainya pada jari tengah dan jari telunjuk. Ini sebagaimana riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, katanya:

نَهَانِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَتَخَتَّمَ فِي إِصْبَعِي هَذِهِ أَوْ هَذِهِ‏.‏ قَالَ فَأَوْمَأَ إِلَى الْوُسْطَى وَالَّتِي تَلِيهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarangku daripada memakai cincin pada jari ini dan ini (sambil menunjukkan kepada jari tengah dan selepasnya iaitu jari telunjuk[1]).

Riwayat Muslim (2078)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kaum Muslimin telah berijma‘ (bersepakat) akan sunnah memakai cincin pada jari kelingking bagi lelaki. Manakala bagi wanita pula, boleh dipakai pada mana-mana sahaja daripada jarinya. Adapun tegahan Nabi SAW dalam hadith di atas membawa hukum makruh tanzih. Begitu juga dibolehkan untuk mengenakan cincin pada tangan kanan ataupun kiri kerana pada keduanya itu terdapat hadith yang sahih. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/71; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/463).

Tambahan lagi, turut dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa menurut ulama Syafi‘iyyah, memakai cincin pada jari tengah dan jari telunjuk adalah dilarang (bagi lelaki) berdasarkan kepada hadith riwayat Ali bin Abu Talib R.A sebagaimana di atas. Begitu juga menurut ulama Hanabilah dihukumkan sebagai makruh memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah kerana ada larangan yang sahih dalam hal tersebut. Secara zahirnya, tidak makruh memakai cincin pada jari ibu jari dan jari manis, meskipun memakai cincin pada jari kelingking lebih utama (afdhal) berdasarkan kepada nas. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/27)

Namun, pemakaiannya di jari secara kebiasaannya tidak menafikan berkemungkinan ia turut dipakai sebagai perhiasan pada tempat lain selain jari-jari seperti pada hidung, telinga dan lain-lain mengikut sesetengah budaya di tempat lain. Hukumnya juga adalah berdasarkan kepada hukum asal perhiasan di mana ia adalah diharuskan selagi mana tiada dalil lain yang menunjukkan hukum sebaliknya.

Pada masa yang sama, di antara perkara yang perlu diberi perhatian juga adalah agama Islam melarang penganutnya dalam kalangan lelaki untuk menyerupai wanita melalui pemakaian barang perhiasan yang hanya dikhususkan untuk wanita. Dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/267).

Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.

Riwayat al-Bukhari (5435) dan Ahmad (8309)

Badr al-Din al-‘Aini ketika mengulas hadith di atas menyebutkan, (celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/41).

Dalam riwayat yang lain, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat golongan lelaki yang menyerupai orang perempuan dan juga golongan perempuan yang menyerupai orang lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (5885)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini menukilkan pendapat al-Tabari yang menyebutkan, tidak boleh bagi orang lelaki untuk menyerupai orang perempuan dari segi pakaian, serta perhiasan yang khusus bagi orang perempuan dan demikian juga sebaliknya (tidak boleh bagi orang perempuan menyerupai orang lelaki). Kemudian, beliau menambah lagi, adapun keadaan atau bentuk pakaian itu adalah berbeza-beza mengikut perbezaan setiap negeri. Boleh jadi sesuatu kaum itu pakaian orang perempuan mereka tidak berbeza dengan pakaian orang lelaki mereka, tetapi orang perempuan dibezakan dengan hijab dan juga pakaian yang bertutup. (Lihat Fath al-Bari, 10/332).

Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami turut menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita adalah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki. Adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/261).

Selain daripada itu, berkenaan hal perhiasan ini juga hendaklah dirujuk kepada ‘uruf dan adat setempat. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Mahmud al-Syalabi, anggota fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah ketika ditanyakan berkenaan seorang lelaki yang memakai rantai perak. Beliau menambah lagi dalam jawapannya, syariat melarang lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki, maka jika lelaki memakai rantai perak yang termasuk dalam masalah perhiasan dan masalah perhiasan pula hendaklah dirujuk kepada adat setempat. Jika adat setempat menunjukkan bahawa lelaki berhias dengan rantai tersebut, manakala wanita pula tidak berhias dengannya, maka pemakaiannya (bagi lelaki) adalah dibenarkan dan tidak mengapa. Akan tetapi jika sudah menjadi kebiasaan bahawa ini adalah sebahagian daripada perhiasan wanita, maka dalam hal ini tidak boleh bagi lelaki untuk berhias dengannya kerana dengan memakainya menjadikan lelaki itu termasuk dalam kalangan mereka yang menyerupai wanita, dan ini adalah diharamkan dan tidak dibenarkan.

Begitu juga Syeikh Muhammad Wisam, anggota fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah turut menyatakan bahawa rantai perak termasuk dalam perhiasan wanita. Oleh itu, orang lelaki tidak boleh memakainya. Lebih-lebih lagi perkara-perkara berkaitan perhiasan ini tidak termasuk dalam akhlak (sifat dan ciri) kaum lelaki. Beliau menegaskan lagi bahawa rantai itu serupa dengan cincin dan jam tangan. Akan tetapi soal pakaian dan perhiasan mesti mengambil kira uruf setempat, adat dan tradisi. Jadi jika seseorang pemuda itu berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya lelaki memakai rantai (dan ia bukan perhiasan khusus buat wanita), maka tidak mengapa memakainya. Namun, jika dia berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya menolak perkara itu (pemakaian rantai sebagai perhiasan bagi lelaki), maka beliau berpendapat hendaklah dilarang seseorang pemuda itu daripada memakainya. Allah SWT memerintahkan hal tersebut melalui firman-Nya:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).

(Surah al-A‘raf: 199)[2]

Sehubungan dengan itu, jelaslah bahawa perkara berkaitan dengan perhiasan ini adalah bergantung atau sangat berkait rapat dengan uruf dan adat sesuatu tempat. Hal ini adalah selari dengan kaedah yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي عَادَاتِنَا الإِبَاحَة حَتَّى يَجِيءَ صَارِفُ الإِبَاحَة

Maksudnya:Hukum asal dalam perkara-perkara adat kita adalah diharuskan sehinggalah terdapatnya dalil yang mengangkat keharusan tersebut.”

Hamad al-Hamad ketika mensyarahkan kaedah di atas menyebutkan, adat adalah merujuk kepada kebiasaan manusia dari segi tingkah laku, perkataan dan perbuatan, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Sebagai contoh, duduknya mereka di atas lantai atau atas kerusi ketika makan, maka hal ini termasuk dalam perkara adat dan hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga termasuk dalam perkara adat, seseorang itu makan dengan tangannya, manakala seseorang yang lain pula makan dengan menggunakan sudu, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga seseorang memakai suatu pakaian dengan cara tertentu, manakala seseorang yang lain pula memakainya dengan cara yang lain, maka hukum asal dalam hal tersebut adalah diharuskan. (Lihat Syarh Manzumah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/9).

Selain daripada itu, kami melihat pemakaian cincin di hidung juga berkemungkinan terjadi dengan cara menindik pada hidung. Adapun berkenaan menindik hidung bagi lelaki, secara ringkasnya, ia adalah dilarang dan tidak dibenarkan kerana menyerupai perhiasan wanita. Keharusan menindik di telinga hanyalah bagi kaum wanita kerana itu termasuk dalam perhiasan yang khusus buat mereka sejak berzaman lagi. Islam melaknat golongan lelaki yang menyerupai orang perempuan dan juga golongan perempuan yang menyerupai orang lelaki.

Ahmad al-Malibari menukilkan dalam hasyiahnya berkenaan gurunya menyatakan harus bagi bayi perempuan menindik telinga dan bukannya bagi bayi lelaki. Ini kerana uruf bagi bayi perempuan diketahui haknya untuk memakai perhiasan pada dirinya sama ada di zaman dahulu atau sekarang (Lihat Fath al-Mu‘in bi Syarh Qurrah al-’Ain, 1/592)

Dinyatakan bahawa ulama mazhab Syafi‘i berbeza pendapat mengenai hukum menindik bayi yang baru dilahirkan bagi tujuan menggantung perhiasan emas di telinganya dan seumpamanya. Sebahagian mereka berpendapat, ia adalah diharuskan, manakala sebahagian lagi berpendapat, ia adalah disunatkan. Mereka membezakan di antara bayi lelaki dan bayi perempuan. Perbuatan menindik bagi bayi lelaki adalah diharamkan dan bagi bayi perempuan pula adalah diharuskan.

Namun, Imam al-Ghazali dan ulama selainnya menyatakan, aku tidak mengetahui adanya rukhsah (kelonggaran) dalam perbuatan menindik telinga bayi perempuan bagi tujuan menggantung perhiasan emas atau seumpamanya kerana perkara itu adalah luka yang menyakitkan dan boleh dikenakan qisas. Maka ia tidak diharuskan melainkan adanya keperluan penting seperti fasdu (phlebotomy/bloodletting), berbekam dan khitan. membawa kepada kesakitan melainkan dengan tujuan perubatan, berbekam dan khitan. Sedangkan berhias dengan perhiasan itu bukanlah satu perkara yang penting. Maka hal ini sekalipun sudah menjadi suatu perkara yang biasa, ia tetap haram dan melarangnya adalah wajib. Menyewakannya juga tidak sah dan upah yang diterima atasnya adalah haram. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/349).

Kami juga pernah menjawab berkenaan hal ini dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #2557: Lelaki Menindik Telinga.[3] Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan penjelasan tambahan berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel berkenaan.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak dibenarkan bagi lelaki untuk memakai cincin sebagai perhiasan di hidungnya kerana ia menyerupai golongan wanita dan Islam melaknat golongan lelaki yang menyerupai golongan wanita dan juga golongan wanita yang menyerupai golongan lelaki. Ini kerana pemakaian perhiasan di hidung tidak kira perhiasan berbentuk seperti cincin dan seumpamanya merupakan cara pemakaian perhiasan yang khusus bagi golongan wanita sejak zaman berzaman lagi dan kami tidak mengetahui pemakaian cincin di hidung pernah menjadi perhiasan bagi golongan lelaki mengikut uruf dan adat setempat negara kita.

Apatah lagi, pemakaian cincin di hidung khususnya di negara kita sering kali dikaitkan dengan budaya yang tidak baik atau dikenali sebagai pemakaian oleh orang-orang fasik dan jahat. Sedangkan umat Islam diperintahkan supaya berpegang dengan prinsip tidak melakukan sesuatu perbuatan yang menyerupai orang kafir atau orang fasik pada sesuatu yang kita dilarang melakukannya. Lantaran itu, kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan amalan dan tradisi dalam agama mereka. Terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia termasuk dalam kalangan mereka.

Riwayat Abu Daud (4031)

Al-San‘ani menjelaskan, maknanya ialah sesiapa yang menyerupai atau meniru orang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah, maka dia termasuk dalam kalangan mereka — yakni sama seperti mereka. Dalam erti kata lain, dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka. (Lihat Subul al-Salam, 4/175).

Namun, sekiranya benar bahawasanya menjadikan cincin sebagai perhiasan di hidung itu bukan hanya perhiasan yang khusus bagi golongan wanita tetapi ia juga merupakan perhiasan yang dipakai sebegitu bagi golongan lelaki mengikut uruf atau adat di tempat berkenaan, maka tidak mengapa memakainya sebegitu sebagai perhiasan, sama halnya seperti pemakaian jam tangan, cincin (di jari) dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota Hujung:

[1] Diketahui bahawa jari yang ditunjukkan oleh Ali R.A selepas jari tengah itu merujuk kepada jari telunjuk adalah berdasarkan riwayat hadith yang lain. Ini seperti mana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim.

[2] Lihat https://www.elbalad.news/4522909. Diakses pada 11 Julai 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/2557-lelaki-menindik-telinga/. Diakses pada 22 Ogos 2024.