#6965: Lelaki Ajnabi Mencium Jenazah Wanita Ajnabiyyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibenarkan lelaki yang tiada hubungan kekeluargaan untuk mencium dahi jenazah perempuan? Ini kerana dikatakan, apabila sudah mati, tidak lagi menjadi aurat. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat itu ada ajalnya (tempoh yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka lewatkan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka awalkan (saat kematian tersebut).”

(Surah al-A‘raf: 34)

Ayat ini di atas menunjukkan bahawa bagi tiap-tiap generasi dan kurun itu tempoh masa dan waktu yang telah ditetapkan bagi ajal mereka. Apabila telah datang waktu-waktu mereka (ajal) yang telah ditentukan, mereka tidak dapat melewatkannya walaupun seketika (sesaat) atau memajukannya (lebih awal). (Lihat Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 154).

Keduanya, pada asasnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya:Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20; 51).

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Ketiganya, dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa tidak dibolehkan bagi lelaki ajnabi untuk menyentuh seorang wanita yang bukan mahramnya selepas kematiannya, sebagaimana tidak dibolehkan juga baginya untuk menyentuhnya semasa dia masih hidup. Sebaliknya, hanya wanita atau mahramnya daripada kalangan lelaki sahaja yang dibenarkan untuk menyentuhnya.

Aurat wanita selepas kematiannya sama seperti auratnya semasa hidupnya. Oleh itu, para ulama sepakat bahawa lelaki tidak boleh memandikan mayat wanita, dan begitu juga wanita tidak boleh memandikan mayat lelaki, melainkan pasangan suami isteri sahaja, di mana dibolehkan bagi setiap seorang daripada mereka untuk memandikan mayat yang seorang lagi — yakni antara satu sama lain.

Al-Faqih Ibn Rusyd menyebutkan, para ulama telah bersepakat bahawa lelaki memandikan mayat lelaki, dan wanita memandikan mayat wanita. Namun, mereka berbeza pendapat dalam situasi di mana seorang wanita meninggal dunia bersama lelaki atau seorang lelaki meninggal dunia bersama wanita, selagi mereka bukan pasangan suami isteri kepada tiga pandangan:

Sebahagian ulama berpendapat, setiap pasangan boleh memandikan satu sama lain di atas pakaian.

Sebahagian ulama lagi berpendapat, setiap pasangan perlu melakukan tayammum ke atas satu sama lain. Ini merupakan pendapat pendapat Imam al-Syafi ‘i, Abu Hanifah dan jumhur ulama.

Sebahagian ulama pula berpendapat, tiada seorang pun daripada mereka boleh untuk memandikan mahupun melakukan tayammum ke atas satu sama lain. Ini merupakan pendapat al-Laith bin Sa‘d. Bahkan mayat itu dikebumikan tanpa dimandikan.

Perbezaan pendapat ini timbul disebabkan oleh pertimbangan/tarjih (memilih pendapat yang lebih kuat) antara mengutamakan larangan ke atas perintah atau perintah ke atas larangan; hal tersebut kerana memandikan mayat adalah diperintahkan, sedangkan lelaki memandang ke jasad wanita dan wanita memandang ke jasad lelaki adalah dilarang. (Lihat Bidayah al-Mujtahid, 1/240-241).

Oleh itu, jelaslah bahawa para fuqaha bersepakat berkenaan tidak dibolehkan bagi seorang lelaki untuk menyentuh wanita ajnabiyyah (bukan mahramnya) selepas kematiannya. Begitu juga seorang wanita turut dilarang daripada menyentuh lelaki ajnabi selepas kematiannya. Ini kerana ulama yang berpendapat, setiap pasangan dibolehkan memandikan satu sama lain, turut mengikatnya/mensyaratkannya untuk melakukan mandian tersebut di atas pakaian. Hal itu adalah supaya dia tidak menyentuhnya mahupun melihat kepada auratnya.

Sesungguhnya para ulama telah bersepakat berkenaan menghormati aurat si mati, dan bahawa auratnya sama seperti aurat orang hidup dari segi larangan melihat dan menyentuhnya.

Dalam Kassyaf al-Qina‘ (2/92-93) disebutkan bahawa tidak halal untuk menyentuh aurat seseorang yang berumur tujuh tahun dan ke atas tanpa berlapik, dan begitu juga tidak boleh melihatnya, kerana penyucian (mandi jenazah) boleh dilakukan tanpa memerlukan kepada perkara tersebut (menyentuh), sebagaimana halnya ketika masih hidup.

Ibn Qudamah dalam al-Mughni (2/189) menyebutkan, kubur wanita hendaklah ditutup dengan kain, dan kami tiada mengetahui berkenaan anjuran (sunat) ini terdapatnya perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Kemudian beliau menyebutkan athar berkenaan hal tersebut, daripada Umar dan Ali R.Anhum. Kemudian beliau menambah, kerana wanita itu adalah aurat, dan dibimbangi akan ada sesuatu daripada tubuhnya yang terlihat oleh orang-orang yang hadir.

Selain daripada itu, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah (13/56) dinyatakan, pada asalnya adalah tidak dimandikan jenazah lelaki melainkan oleh lelaki, dan jenazah wanita melainkan oleh wanita, kerana pandangan jenis yang sama lebih ringan, dan larangan menyentuh tetap berlaku semasa hidup, begitu juga selepas kematian

Al-Kasani dalam Badai‘ al-Sanai‘ (1/300) pula menegaskan, aurat jenazah ditutup dengan kain kerana larangan memandang aurat masih berlaku selepas kematian. Oleh sebab itu, tidak dibolehkan bagi seorang lelaki ajnabi untuk memandikan wanita ajnabiyyah.

Dalam al-Bahr al-Ra’iq (2/185) disebutkan bahawa melihat aurat si mati adalah haram, seperti melihat aurat orang yang masih hidup. Di samping itu, dalam al-Muhit turut disebutkan, aurat si mati dimandikan di bawah kain setelah kain itu dililitkan di tangan, agar kain tersebut menjadi penghalang antara tangan dan aurat, kerana menyentuh aurat adalah haram seperti melihatnya.

Juga disebutkan dalam al-Bahr al-Ra’iq (2/188), adapun orang yang memandikan, syaratnya adalah bahawa dia dibenarkan melihat orang yang dimandikan (yakni jenazah tersebut). Oleh itu, lelaki tidak boleh memandikan wanita, dan wanita tidak boleh memandikan lelaki.

Begitu juga Syeikh Soleh al-Fauzan ada menyebutkan bahawa adapun selain suami isteri, tidak dibenarkan bagi wanita untuk memandikan lelaki, dan tidak dibenarkan bagi lelaki untuk memandikan wanita. Sebaliknya, setiap jenis memandikan jenisnya sendiri, dan tidak boleh salah satu melihat aurat yang lain; kecuali kanak-kanak kecil yang belum mencapai umur mumayyiz (umur boleh membezakan baik dan buruk), maka tidak mengapa lelaki dan wanita sama-sama memandikannya, kerana dia tidak dianggap sebagai aurat. (Lihat al-Muntaqa min Fatawa al-Fauzan, 80/47-48).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, jelaslah bahawa tidak dibenarkan bagi lelaki ajnabi untuk mencium mahupun menyentuh seorang wanita ajnabiyyah meskipun selepas kematiannya, dan begitulah juga sebaliknya. Ini kerana apa yang menjadi aurat semasa hidupnya, juga menjadi aurat selepas kematiannya.

Namun, ketika memasukkan jenazah ke dalam kubur, dibenarkan bagi lelaki bukan mahram untuk mengangkat dan memasukkan jenazah ke dalam kubur kerana sentuhan berlaku di sebalik kain kafan, dan ini dibolehkan kerana adanya keperluan.

Ibn al-Hamam dalam Fath al-Qadir (2/141) menyebutkan, tidak ada yang memasukkan jenazah wanita ke dalam kubur kecuali lelaki, walaupun mereka terdiri daripada kalangan ajnabi (bagi jenazah wanita itu) kerana menyentuh jenazah dengan berlapik adalah dibenarkan semasa hayatnya dan begitulah juga selepas kematiannya — jika ada keperluan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”