#6968: Kurniaan Sabar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kurniaan sabar adalah kurniaan yang berharga?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

(Surah Ali ‘Imran: 200)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: Wahai orang-orang mukmin, bersabarlah untuk berbuat baik dan menahan nafsu, dan kuatkanlah kesabaran kamu. Atasilah musuh dengan bersabar menghadapi derita peperangan, dan jadilah lebih sabar daripada mereka. Berdirilah di sempadan-sempadan negeri yang akan disusupi musuh dengan mengikat kuda-kuda kamu di sana sambil bersiap sedia untuk berjihad. Bertakwalah kepada Allah dalam keadaan tersembunyi mahupun terang-terangan agar kamu mendapat keredhaan dan syurga Allah. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 386)

Daripada Abu Said al-Khudri, katanya:

أَنَّ نَاسًا مِنَ الأَنْصَارِ سَأَلُوا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَعْطَاهُمْ، ثُمَّ سَأَلُوهُ فَأَعْطَاهُمْ، حَتَّى نَفِدَ مَا عِنْدَهُ فَقَالَ ‏ “‏ مَا يَكُونُ عِنْدِي مِنْ خَيْرٍ فَلَنْ أَدَّخِرَهُ عَنْكُمْ، وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ، وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ، وَمَنْ يَتَصَبَّرْ يُصَبِّرْهُ اللَّهُ، وَمَا أُعْطِيَ أَحَدٌ عَطَاءً خَيْرًا وَأَوْسَعَ مِنَ الصَّبْرِ

Maksudnya: “Bahawa sebahagian kaum Ansar bertanya kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda memberi kepada mereka. Kemudian mereka memintanya lagi, dan Baginda memberi mereka sehingga Baginda menghabiskan apa yang dimiliki. Kemudian dia berkata, “Harta apa yang aku ada, tidak akan aku simpan dari kamu. Barang siapa yang sabar, Allah SWT akan menolongnya. Barang siapa yang berusaha untuk berdikari, Allah akan memberinya kekayaan. Barang siapa yang berusaha untuk bersabar, Allah SWT akan memberinya kesabaran, dan tidak ada yang diberikan kurnia yang lebih baik atau lebih luas daripada kesabaran.”

Riwayat al-Bukhari (6740) dan Muslim (1053)

Perbezaan antara individu yang mencapai kejayaan dengan yang lain terletak pada kemahuan mereka untuk berubah. Dalam hadis ini, Nabi Muhammad SAW memberitahu kita bahawa cara semula jadi dalam melakukan perubahan adalah dengan manusia sebagai titik asas untuk perubahan tersebut, jika mereka menghendakinya. Pada masa yang sama, Allah SWT dengan segala kelebihan-Nya akan memberikan bantuan kepada mereka.

Sesiapa yang mahukan kesederhanaan, Allah SWT pasti berikan kepadanya. Sesiapa yang mahu bersabar, Allah SWT pasti berikan kesabaran buatnya. Begitulah dalam setiap urusan kehidupan sama ada baik atau buruk.

Firman Allah SWT:

فَلَمَّا زَاغُوا أَزَاغَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Maksudnya: “Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.”

(Surah al-Saf: 5)

Seseorang insan adalah pelaku hakiki untuk pekerjaannya. Justeru, perkara bertanggungjawab untuk membuat ini menjadikannya keputusan, dan menanggung akibat daripada keputusan tersebut. Antara keputusan terpenting adalah keputusan untuk melakukan perubahan dan andalah pemilik keputusan ini.

Apabila Tuhan tahu tujuan hijrah anda adalah benar, nescaya Dia memudahkan jalan dan mengurniakan bantuan. Demikian itu, kita katakan di sini bahawa sesiapa yang mencari kejayaan sudah tentu Allah SWT akan berikannya kejayaan. Dalam erti kata sesiapa yang mencari kejayaan dan mengambil kira sebab musababnya, Allah SWT tidak akan mengecewakannya bahkan pasti akan memudahkannya untuk berjaya.

Perkara utama ialah anda perlu memulakan langkah pertama untuk melakukan perubahan dan meninggalkan zon selesa. Tabiat manusia ialah mereka suka berada di zon selesa dan enggan keluar darinya. Justeru, sabar datang sebagai kekuatan untuk melakukan perubahan.

Oleh hal yang demikian, Nabi Muhammad SAW menyifatkan perubahan sebagai hal yang baik dan seluas-luas ruang untuk memberi. Sabar adalah rezeki daripada Allah SWT untuk hamba-Nya. Kebaikan dinilai baik kerana natijahnya membawa kepada kebaikan. Selain itu, ia membuka luas pintu kebaikan tanpa sempadan. Kebaikan yang terhasil daripada perubahannya adalah kebaikan yang tidak disangka-sangka oleh manusia.

Muslim atau orang bukan Islam yang mencontohi sifat orang berjaya ini mendapati bahawa sifat penting dalam kejayaan mereka adalah dengan bersabar dengan menanggung segala beban tanpa penat dan jemu. Syeikh ‘Abdurrahman al-Sa’di berpesan bahawa Allah SWT telah menjanjikan orang-orang yang bersabar dalam al-Quran dan al-Sunah dengan sesuatu yang besar. Allah SWT menjanjikan mereka pertolongan dalam setiap urusan mereka.

Bersama-sama mereka ‘inayah, taufik dan jalan yang lurus. Tambahan lagi, Allah SWT kasih akan mereka dan menetapkan hati dan langkah mereka di samping memberikan mereka rasa tenang dan tenteram, serta memudahkan urusan ibadah mereka.

Allah SWT menjaga mereka daripada perkara-perkara yang salah dan meninggikan darjat mereka dengan memberikan mereka rahmat dan hidayah ketika mereka ditimpa musibah. Allah SWT juga meninggikan darjat mereka ke makam tertinggi di dunia dan di akhirat, menjanjikan mereka kemenangan, memudahkan dan menjauhkan mereka daripada kesulitan, kurniaan rasa bahagia serta mengecapi kejayaan.

Malahan, Allah SWT pasti memberikan ganjaran buat mereka tanpa batasan, menggantikan nikmat buat mereka di dunia lebih lagi daripada apa yang diambil daripada mereka bahkan lebih baik. Mereka pula akan digantikan dengan ganjaran segera dan berlipat kali ganda dengan sebab mereka pernah diuji.

Mereka ini pada permulaannya berada dalam keadaan yang sangat sukar. Namun, pengakhiran mereka mudah dan baik sebagaimana disebutkan bahawa sabar itu seperti namanya pahit untuk ditelah namun pengakhirannya lebih manis daripada madu. (Lihat Bahjat al-Qulub al-Abrar, hlm. 90)

Demikian itu Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempumakan pahala mereka tanpa batas.”

(Surah al-Zumar: 10).

(Lihat 40 Hadis Aspirasi Kejayaan Rasulullah SAW, hlm. 156 – 162)

Antara doa yang sentiasa Nabi SAW baca ialah:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan-lah hatiku di atas agama-Mu.”

Riwayat Imam Ahmad (26618), (12107), al-Tirmizi (3522), (2140), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)

Marilah sama-sama kita berdoa agar dikurniakan kesabaran:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”