#6970: Pemakaian Warna Merah Bagi Lelaki

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada terbaca jawapan dari seorang tokoh yang menyatakan berkenaan dengan kopiah yang berwarna merah tulen (pure red), dan jawapannya pendek sahaja, iaitu tidak dibenarkan (not permissible) untuk lelaki memakainya. Dengan rasa ingin tahu dengan lebih mendalam, boleh saya mohon jasa baik kenapa warna merah tulen tidak boleh dipakai lelaki? Dan warna apa lagi harus lelaki elakkan dalam pemakaian? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d;

Allah SWT berfirman:

یَـٰبَنِیۤ ءَادَمَ قَدۡ أَنزَلۡنَا عَلَیۡكُمۡ لِبَاسࣰا یُوَ ٰ⁠رِی سَوۡءَ ٰ⁠ تِكُمۡ وَرِیشࣰاۖ وَلِبَاسُ ٱلتَّقۡوَىٰ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱۚ ذَ ٰ⁠لِكَ مِنۡ ءَایَـٰتِ ٱللَّهِ لَعَلَّهُمۡ یَذَّكَّرُونَ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Kami telah menurunkan pakaian buat kalian untuk menutup aurat kalian dan untuk perhiasan dan kecantikan buat kalian. Dan pakaian taqwa itulah yang terbaik. Demikian itu merupakan salah satu tanda keagungan Allah supaya kalian mengambil peringatan.”

(Surah al-A‘raf: 26)

Syarat terpenting bagi pemakaian seorang Muslim dan Muslimah adalah menutup aurat. Apabila syarat ini terpenuhi, maka kita bebas memakai apa sahaja untuk berhias namun bersama kesederhanaan.

Imam Juzai al-Kalbi berkata menafsirkan ayat Suci di atas seraya menyebutkan, perkataan “لِبَاسࣰا” (pakaian) adalah merujuk kepada  pakaian untuk menutup (aurat kalian); dan makna “menurunkan” adalah “menciptakan.” Dikatakan juga: Maksud yang dikehendaki daripadanya adalah sesuatu yang menumbuhkan setiap bahan yang digunakan untuk membuatkan pakaian, iaitu hujan. Sebahagian fuqaha’ menjadikan ayat ini sebagai dalil wajib menutup aurat. Manakala perkataan “رِيشاً” pula merujuk kepada pakaian yang menjadi perhiasan, ia diambil sempena bulu burung (yang cantik).” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 1/286)

Bagi menjawab soalan di atas, menurut pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i, memakai baju berwarna merah keseluruhan dan begitu juga memakai apa-apa warna sahaja adalah dibolehkan. Tiada sebarang larangan haram atau makruh berkenaannya.

Imam al-Nawawi memfatwakan: “Dibolehkan memakai baju berwarna putih, merah, kuning, hijau, berbelang-belang dan apa sahaja warna, tidak ada perbezaan pendapat mengenai perkara ini, dan tidak ada suatu warna pun yang makruh.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/452)

Hal ini berdalilkan hadith Saidina al-Barra’ bin  ‘Azib R.A yang mengatakan bahawa:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حُلَّةٍ حَمْرَاءَ

Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW memakai baju berwarna merah.”

Riwayat al-Bukhari (5901); Muslim (2337)

Manakala, sebahagian ulama seperti ulama mazhab Hanafi mengatakan bahawa hukum memakai baju dan sebarang pakaian berwarna merah adalah makruh. Mereka berdalilkan hadith Saidina ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.Anhuma:

أَنَّ رَجُلًا مَرَّ عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهِ ثَوْبَانِ أَحْمَرَانِ، فَسَلَّمَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ

Maksudnya: “Ada seorang lelaki berjalan melintasi Rasulullah SAW dalam keadaan memakai dua baju berwarna merah, lantas dia memberi salam kepada baginda namun baginda tidak menjawab salam tersebut.”

Riwayat al-Tirmizi (2807); Abu Daud (4066); dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmizi, dha‘if oleh al-Hafiz al-Munziri dalam Mukhtasar Sunan Abi Daud (3/35) kerana kewujudan perawi lemah bernama Abu Yahya al-Qattat.

Namun, sanad hadith ini juga dinilai sebagai dha‘if oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani. Maka, ulama mazhab al-Syafi‘iyyah tidak menjadikannya sebagai dalil mahupun hujah sandaran untuk melarang apa-apa warna dalam pemakaian kerana hadith dha‘if tidak boleh dibuat hujah dalam di sisi usul mazhab al-Syafi‘i. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 1/578)

Pendapat yang memakruhkan pemakaian merah juga adalah pendapat yang dipilih oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kalangan fuqaha’ mazhab Hanbali. Imam Ibn al-Qayyim berkata:

وَإِلَّا فَالْأَحْمَرُ الْبَحْتُ مَنْهِيٌّ عَنْهُ أَشَدَّ النَّهْيِ

“Adapun pemakaian merah secara penuh, maka ia dilarang dengan larangan yang tegas.” (Lihat Zad al-Ma‘ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad, 1/133)

Namun perkara ini dikritik oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami, beliau berkata: “Diriwayatkan oleh al-Dimyati: “Nabi SAW pernah memakai selendang berwarna merah ketika dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dan hari Jumaat.” Barangkali baginda memakai sedemikian pada beberapa Jumaat sahaja sekali-sekala, untuk menerangkan bahawa ia (memakai sebarang aksesori pakaian berwarna merah) adalah dibolehkan, dan memakai baju warna putih adalah lebih utama, dan tidak wajib.” (Lihat Asyraf al-Wasa’il ila Fahm al-Syama’il, hlm. 126)

Yang dilarang adalah memakai baju yang diwarnakan atau dipercikkan dengan pewarna daripada pohon koma-koma/saffron (za’faran) dan pewarna tumbuhan pohon kesumba (mu‘asfar) yang berwarna merah atau kuning. Hal ini kerana, pewarna daripada tumbuhan tersebut kebiasaannya merupakan bahan yang digunakan untuk pakaian wanita Arab di zaman Rasulullah SAW. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata:

فَيَحِلُّ مُطْلَقًا حَتَّى الثَّوْبُ الْأَحْمَرُ، وَالْأَخْضَرُ وَغَيْرُهُمَا مِنْ الْمَصُوغَاتِ بِلَا كَرَاهَةٍ نَعَمْ يَحْرُمُ عَلَى الرَّجُلِ لُبْسُ الْمُزَعْفَرِ دُونَ الْمُعَصْفَرِ عَلَى الْمَنْصُوصِ قَالَ الْبَيْهَقِيُّ، وَالصَّوَابُ تَحْرِيمُ الْمُعَصْفَرِ عَلَيْهِ أَيْضًا لِلْأَحَادِيثِ الصَّحِيحَةِ

Maksudnya:Dihalalkan secara mutlak meskipun baju berwarna merah, hijau dan lain-lain warna dan pewarna tanpa sebarang larangan makruh, ya, diharamkan bagi lelaki untuk memakai pakaian yang diwarnakan dengan pewarna za’faran, manakala warna mu‘asfar pula tidak diharamkan menurut nas mazhab sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Baihaqi. Yang lebih tepat, kedua-duanya haram sepertimana yang dinyatakan di dalam hadith-hadith yang sahih.” (Lihat al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, 2/47).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, jelaslah bahawa larangan memakai sebarang pakaian berwarna merah adalah pendapat mazhab Hanafi dan pendapat ikhtiar Imam Ibn al-Qayyim dalam kalangan ulama mazhab Hanbali. Namun, kami berpendapat bahawa tiada larangan untuk memakai pakaian berwarna merah, atau apa-apa warna pun sepertimana yang difatwakan oleh Imam al-Nawawi  dalam kitab al-Majmu‘. Yang dilarang hanyalah pewarna merah dan kuning daripada pokok koma-koma/saffron dan pohon kesumba yang merupakan kebiasaan wanita pada zaman Rasulullah SAW.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”

Wallahu a‘lam.