#6974: Mengambil Pil Steroids

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ingin bertanya apakah hukum penggunaan steroids kepada umat Islam. Adakah penggunaan steroids dibenarkan walaupun terdapat kesan sampingan yang membahayakan nyawa?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d;

Kami mulakan jawapan yang kami bentangkan ini dengan membawa firman Allah SWT di dalam Muhkam al-Tanzil, firman Allah SWT:

وَلَا تُلۡقُوا۟ بِأَیۡدِیكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِینَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Imam Ibn Juzai al-Kalbi menafsirkan ayat suci al-Quran di atas dengan menyebutkan: “Dikatakan juga maknanya adalah janganlah kalian mendedahkan diri kalian ke dalam perkara-perkara yang menghancurkan (diri kalian). Selain itu, ada juga berpendapat maknanya (yang tersembunyi) adalah: “Janganlah kalian mencampakkan diri kalian dengan perbuatan tangan-tangan kalian sendiri.” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 1/113)

Islam mengarahkan kita agar menghindarkan sebarang kemudaratan, bahaya dan keburukan dalam segenap sudut dan aspek, sama ada yang sekarang mahu pun yang akan datang. Diriwayatkan di dalam sebuah hadith bahawa:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh ada sebarang kemudaratan dan tidak ada juga perbuatan membalas dengan kemudaratan.”

Riwayat Ibn Majah (2340); dinilai mursal oleh Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (6/70)

Imam Najmuddin al-Tufi al-Hanbali berkata mensyarahkan hadith di atas: “Kemudian pada sabdaan baginda Nabi SAW: “Tidak boleh ada sebarang kemudaratan dan tidak ada juga perbuatan membalas dengan kemudaratan.” mempunyai gesaan untuk meraikan sekalian maslahat (kebaikan), dan menghapuskan sekalian mafsadah (kerosakan); kerana perkara darurat (bahaya) adalah kerosakan. Apabila syarak menafikannya, maka dalam masa yang sama, syarak mengarahkan untuk mencari kemaslahatan dan merealisasikannya kerana kedua-duanya saling kontradik (bertentangan) dan tidak ada ruang tengah antara kedua-duanya.” (Lihat al-Ta‘yin fi Syarh al-Arba‘in, 1/238)

Islam amat menitikberatkan soal berubat dan mendapatkan rawatan. Setiap penyakit pasti ada ubatnya, jika betul ubatnya (iaitu halal ubatnya dan tepat ubat itu untuk merawat dan menghilangkan penyakit) maka pasti Allah mengizinkan untuk sembuh. Jabir bin  Abdullah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لِكُلِّ داءٍ دَواءٌ، فإذا أُصِيبَ دَواءُ الدّاءِ بَرَأَ بإذْنِ اللهِ عزَّ وجلَّ

Maksudnya: “Setiap penyakit pasti ada ubatnya. Apabila betul ubatnya dengan sesuatu penyakit itu, maka sembuhlah dengan izin Allah SWT.”

Riwayat Muslim (2204)

Rasulullah SAW mengarahkan agar mendapatkan rawatan dan ubat bagi setiap penyakit yang menimpa. Setiap penyakit boleh diubati kecuali sakit tua. Usamah bin Syarik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إلَّا وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ الْهَرَمِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu berubat (merawat penyakit) kerana sesungguhnya Allah tidak menjadikan suatu penyakit melainkan Dia turut menyediakan ubat baginya, melainkan penyakit penuaan sahaja.”

Riwayat Abu Daud (3855), al-Tirmizi (3038) dan Ibn Majah (3436)

Berubat dan merawat penyakit adalah sunat hukumnya, terutamanya di sisi mazhab al-Syafi‘i. Dibolehkan untuk percaya dengan autoriti ilmu perubatan iaitu penjelasan pakar medik dalam kalangan doktor-doktor perubatan. Imam Muhyiddin al-Nawawi berkata: “Hadith di atas ini mengisyaratkan kepada kita bahawa merawat penyakit adalah sunat. Inilah mazhab para ashab kita yang bermazhab al-Syafi‘i, begitu juga kebanyakan ulama Salaf dan Khalaf. Al-Qadhi ‘Iyadh mengatakan: Di dalam hadith ini terdapat beberapa faedah duniawi antaranya: keabsahan autoriti ilmu perubatan, dan keharusan untuk berubat secara mutlak.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/359)

Ubat Steroid atau Corticosteroid digunakan sebagai ubat tahan sakit aras tinggi dan berkesan segera serta begitu kuat untuk menghilangkan pelbagai sakit/radang dalaman dan organ semisal penyakit rheumatoid arthritis, inflammatory bowel disease (IBD), asthma, pelbagai alergik dan lain-lain.

Namun penggunaan ubat steroid boleh juga mendatangkan beberapa kesan sampingan berbentuk kemudaratan terhadap tubuh badan, antaranya:

  • Bengkak di kaki
  • Tekanan darah tinggi
  • Masalah jiwa, perasaan, memori, psikologi.
  • Sakit perut
  • Peningkatan berat badan di bahagian perut, leher belakang dan muka.

Dijangkakan bahawa pengambilan pil steroid melalui oral/lisan dalam jangka masa yang panjang juga boleh mengakibatkan:

  • Masalah penglihatan seperti glaukoma atau katarak.
  • Struktur muka menjadi bulat, dipanggil moon face.
  • Kencing manis yang aktif
  • Meningkatkan potensi jangkitan kuman dan virus
  • Kereputan tulang dan penipisannya
  • Mual, hilang selera makan, muntah-muntah
  • Kulit menipis, lebam dan bengkak, pendarahan bawah kulit.

Oleh yang demikian, kami berpendapat dan tegaskan di sini bahawa pengambilan ubat/pil steroid hanya dibenarkan apabila diarahkan dan disyorkan oleh doktor berkepakaran dan bertauliah menurut dos yang telah ditetapkan dan bersesuaian dengan sesebuah kondisi pesakit. Apa sahaja pengambilan di luar daripada keadaan ini adalah tidak dibenarkan kerana kesan sampingan ubat ini yang mampu mendatangkan bahaya dan kemudaratan andai diambil secara rambang tanpa sebarang pedoman dan dos bersesuaian.

Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: “Darurat (keadaan terpaksa) membolehkan perkara yang dilarang.”(Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 94 dan al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 84)

Al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam berkata: “Seandainya seseorang terdesak untuk makan barang najis, maka dia mesti memakannya kerana kerosakan jiwa dan anggota badan lebih besar (mudharatnya) berbanding kerosakan memakan barang najis. (Lihat Qawa’id al-Ahkam, hlm. 141)

Begitu juga kaedah di atas mesti diikat dengan kaedah lain iaitu:

الضَّرُورَةُ تُقَدَّرُ بِقَدَرِهَا

Maksudnya: “Darurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, al-Suyuti, hlm. 184-186)

Jika diperhatikan pada ayat-ayat berkenaan keadaan orang yang terpaksa itu, maka kita akan mendapati bahawa keadaan itu tidak disengajakan dan tidak juga boleh melewati batas yang telah ditentukan. Maksud daripada “tiada disengajakan” adalah tidak mengingininya kerana merasa lazat terhadapnya, manakala maksud “tidak melewati batas” ialah batasan dharurah sahaja, jangan sampai dimakannya sehingga kenyang. Dengan ikatan ini, maka para fuqaha’ telah menggariskan suatu kaedah sebagaimana kaedah kedua di atas.

Makna ijmali bagi kaedah ini iaitu sesuatu yang harus dibina di atas darurat, maka harus pelaksanaannya mengikut kadar yang secukupnya sahaja bagi menghilangkan darurat tersebut semata-mata dan tidak dibolehkan lebih daripada itu. (Lihat Durar al-Hukkam Syarh Majallah al-Ahkam, 1/38)

Adapun sebarang kesan sampingan yang diperoleh jika mengambilnya atas syor doktor dan pakar perubatan adalah dimaafkan kerana terkadang kita terpaksa berhadapan dengan mudharat yang ringan di dalam rangka untuk menghapuskan kemudharatan yang lebih besar. Keadaan seperti ini dibenarkan dan dimaafkan di sisi syariat Islam berdasarkan kaedah Fiqh yang digariskan oleh para fuqaha’:

إِذَا تَعَارَضَت مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفُّهُمَا

Maksudnya: “Jika bertembung dua keburukan, maka hendaklah dihapuskan keburukan yang paling besar antara keduanya dengan terpaksa menanggung keburukan yang paling ringan.” (Lihat Taqrir al-Qawa‘id, 2/463)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”

Wallahu a‘lam.