#6976: Duit Yang Diberi Sebagai Hutang: Adakah Perlu Dikira Untuk Nisab Zakat?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Merujuk kepada “#1390: Zakat Duit Yang Telah Diberi Sebagai Pinjaman”. Jelas dengan pencerahan berkenaan zakat untuk peminjam, yakni perlu zakat jika cukup haul dan nisab. Persoalan di sini, bagaimana pula dengan zakat untuk pemberi hutang? Adakah pemberi hutang perlu memasukan dalam pengiraan zakat tahun tersebut duit yang telah dikeluarkan (untuk memberi pinjaman)?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Menunaikan Zakat adalah suatu kewajiban sebagai seorang Muslim seiring dengan kewajiban mendirikan Solat Fardu lima waktu sepertimana yang telah ditegaskan di dalam dalil-dalil yang qat‘i (secara thubut dan dalalah) lagi jelas.

Menunaikan zakat adalah ciri seseorang tersebut beragama Islam dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Allah SWT menggandingkan kedua-duanya bersama di dalam al-Quran ibarat kembar dua serupa, firman-Nya:

إِنَّمَا وَلِیُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِینَ یُقِیمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَیُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَ ٰ⁠كِعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya pelindung kalian hanyalah Allah dan Rasul-Nya; serta orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta mereka semua tunduk (ruku’ kepada Allah SWT di dalam solat mereka).”

(Surah al-Ma’idah: 55)

Selain itu, syariat Islam juga tidak melarang kita untuk berhutang-piutang namun mestilah dilaksanakan berpandukan pedoman hukum-hakamnya. Allah SWT berfirman di dalam ayat yang terpanjang sekali di dalam al-Quran:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ وَلْيَكْتُبْ بَيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”

(Surah al-Baqarah: 282)

Imam Ibn Kathir al-Dimasyqi menerangkan tafsiran ayat di atas ini seraya mengatakan: “Ayat di atas ini merupakan pedoman dan tunjuk ajar daripada Allah SWT kepada sekalian hamba-Nya yang beriman (kepada Allah dan Rasul) untuk menulis atau merekod dalam segenap muamalah dengan cara tangguh (tidak lani, iaitu berhutang). (Lihat Tafsir Quran al-‘Azim, 1/722)

Akan tetapi, timbul persoalan di sini apabila hutang yang dipinjam atau yang dipinjamkan melebihi nisab (jumlah minimum yang dikira sebagai syarat bagi harta yang wajib dikeluarkan zakat) dan juga telah mencukupi haul (tempoh setahun); adakah ia turut tertakluk kepada syarat-syarat bagi zakat emas, perak dan wang simpanan dari segi nisab, kadar nilai, tempoh haul dan sebagainya?

Hutang secara asal dan hakikatnya adalah milik pemiutang; namun ia tidak berada dalam tangan pemiliknya selagi hutang tersebut masih belum dilunaskan. Berhubung kemusykilan yang diajukan kepada kami di atas, kami bahagikan jenis hutang kepada dua kondisi seperti berikut:

Hutang Segera

Jika pemiutang memberikan hutang dengan jenis Hutang Segera iaitu hutang yang diberi dengan mensyaratkan bayaran semula secara sekali gus, maka ia wajib dibayar secepat mungkin khususnya apabila berjaya dituntut.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan bahawa:

  1. Sekiranya pemiutang boleh mendapatkannya semula daripada penghutang yang mampu melunaskannya, dia wajib segera mengeluarkan zakatnya, sekalipun hutang itu belum diterimanya. Ini kerana hutang tersebut telah dikuasainya, samalah keadaannya dengan harta wadi’ah (simpanan) yang boleh diambil daripada penghutang dan menggunakannya pada bila-bila masa.
  2. Sekiranya pemiutang tidak mampu mendapatkan hutangnya semula kerana kesusahan penghutang atau dia tidak mengakuinya, sedangkan pemiutang tiada bukti untuk mendakwanya, maka dia tidak wajib mengeluarkan zakatnya pada ketika itu. Ini kerana dia tidak mampu mengambil dan menggunakan hutang tersebut. Namun demikian menurut mazhab al-Syafi‘i, zakatnya tetap disimpan selama hutang itu dalam tanggungan penghutang berkenaan, dan jumlah zakat yang tertunggak, hendaklah dikeluarkan apabila hutang tersebut diterimanya kerana zakat hutang itu wajib ke atas zimmah (pundak tanggungjawab) pemiliknya pada setiap tahun. Keadaannya sama dengan harta yang hilang, wajib dikeluarkan zakatnya apabila harta itu didapati semula. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/68)

Hutang Bertangguh

Bagi hutang bertangguh, ada dua pendapat di dalam mazhab al-Syafi‘i:

  • Wajib bayar zakat terdahulu bagi semua jumlah wang yang diberi hutang; selepas memperoleh kesemuanya [Muktamad Mazhab]
  • Wajib bayar zakat bagi semua jumlah wang yang diberi hutang; meski belum berhasil mendapatkan kesemuanya.

Pendapat muktamad adalah pemiutang tetap wajib mengeluarkan zakat bagi keseluruhan jumlah wang yang dipinjamkannya apabila selesai mendapatkan kesemuanya pada suatu tempoh andai cukup haul dan nisab. Hutang bertangguh tidak wajib dikeluarkan zakat sehinggalah tempoh akhir masa yang dipersetujui bersama. Sekiranya tempoh yang diberikan sudah tamat dan pemberi hutang telah menerima hutangnya ataupun belum terima tetapi mampu mendapatkannya, maka dia wajib mengeluarkan zakatnya bagi tahun-tahun yang lalu.

Perkara ini di-takhrij berdasarkan qiyas dengan fatwa Imam Jalaluddin al-Mahalli seperti berikut: “Sekiranya ia belum diperolehi [atau ia tertangguh, maka (muktamad) mazhab menghukumnya sama seperti harta maghsub (yang dirampas)] maka ia wajib menzakatkannya menurut pendapat yang azhar dan dikatakan juga: (wajib) secara qat‘i namun ia tidak wajib dibayar sehinggalah ia berhasil mendapatkannya. Ada juga pendapat mengatakan: tetap wajib bayar meskipun belum berhasil mendapatkannya].” (Lihat Hasyiah al-Qalyubi wa ‘Amirah ‘ala Syarh al-Mahalli, 2/50)

Imam al-Mahalli juga menjelaskan berkenaan zakat harta Maghsub (yang dirampas, dan tidak berada dalam tangan pemilik) sebelum itu beliau menyebutkan :“Imam al-Nawawi berkata: Dan tidak wajib membayar zakatnya sehinggalah keseluruhan harta tersebut kembali] kemudian barulah dia membayar zakat menurut kadar yang telah terlepas baginya bagi seluruh harta yang baru diperoleh itu.” (Lihat Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin, 2/49)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji turut berpendapat sedemikian, mereka menyatakan: “Hutang bertangguh tidak wajib dikeluarkan zakat sehinggalah tempoh akhir masa yang dipersetujui bersama. Sekiranya tempoh yang diberikan sudah tamat dan pemberi hutang telah menerima hutangnya ataupun belum terima tetapi mampu mendapatkannya, maka dia wajib mengeluarkan zakatnya bagi tahun-tahun yang lalu berdasarkan mazhab Syafi‘i. Sekiranya hutang tersebut belum diterima dan tidak mampu mendapatkannya, dia hendaklah menunggu sehingga mampu diperoleh, kemudian barulah mengeluarkan zakat bagi tahun-tahun yang lalu.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/69)

Pandangan ini juga yang diputuskan oleh Majma’ Fiqh Islami dan dipilih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi (Lihat Fiqh al-Zakah, 1/155). Kecenderungan ini atas dasar pertimbangan melihat kepada keadaan pemiutang yang sudah terbeban akibat daripada penangguhan hutang yang sepatutnya dilunaskan dan mungkin akan menambah lagi bebannya sekiranya perlu membayar zakat untuk beberapa tahun.

Kesimpulan

Bagi merungkaikan kemusykilan di atas, kami nyatakan bahawa pemberi hutang tetap perlu memasukan dalam pengiraan zakat tahun tersebut bagi duit yang telah dikeluarkan. Perbezaan hanya berlaku pada waktu pembayaran sahaja; bagi hutang segera, pemiutang yang mampu mendapatkan bayaran segera haruslah segera membayar zakat. Manakala, bagi pemiutang yang tidak mampu mendapatkannya segera atau memberi hutang secara bertangguh, maka dia hanya perlu membayar selepas mendapatkan keseluruhan jumlah hutang yang diberikan atau kebanyakkannya. Berhutang dan memberi hutang tidak menghalang kewajiban zakat.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.