#6978: Kelahiran Pertama Selepas Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, siapakah di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang pertama dilahirkan selepas hijrah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ‎

Maksudnya: “Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Taubah: 100)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan: Mereka adalah orang-orang yang mendahului yang lain dalam beriman, berhijrah, memberikan pertolongan, dan berjihad. Begitu juga  yang mengikuti jejak mereka dalam perkara ini dan memperbaiki amalan mereka sehingga sesuai dengan apa yang telah disyariatkan oleh Allah dan dijelaskan oleh Rasul-Nya Muhammad SAW. Kesemua mereka diredhai oleh Allah kerana iman dan amalan soleh, dan mereka juga meredhai Allah atas segala nikmat dan kemuliaan yang telah dikurniakan. Allah telah menyediakan buat mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka juga diberi khabar gembira dengan apa yang telah disediakan untuk mereka dari syurga.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa sahabat Rasulullah SAW yang pertama lahir selepas hijrah Baginda SAW adalah Abdullah Bin Zubair. Hal ini dikisahkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.A bahawa beliau berkata: 

أَوَّلُ مَوْلُودٍ وُلِدَ في الإسْلامِ عبدُ اللَّهِ بنُ الزُّبَيْرِ أتَوْا به النبيَّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ فأخَذَ النبيُّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ تَمْرَةً فلاكَها، ثُمَّ أدْخَلَها في فِيهِ، فأوَّلُ ما دَخَلَ بَطْنَهُ رِيقُ النبيِّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ.

Maksudnya: “Anak pertama yang dilahirkan dalam Islam adalah Abdullah bin al-Zubair. Mereka membawakannya kepada Nabi SAW. Maka Nabi SAW mengambil kurma dan mengunyahnya, lalu memasukkan (cebisan kunyahan kurma itu) ke dalam mulutnya. Adapun (benda) yang pertama masuk ke dalam perutnya adalah air liur Nabi SAW.”

Riwayat al-Bukhari (3910)

Ibn Battal menyatakan bahawa: Maka perkara pertama yang masuk ke dalam rongga mulutnya adalah air liur Rasulullah (SAW), kemudian Baginda menggosokkan (di langit-langit mulutnya) dengan kurma, kemudian Baginda mendoakannya lalu  Allah memberkatinya. Dia adalah bayi pertama yang dilahirkan dalam Islam, maka mereka sangat gembira dengannya. (Lihat  Syarh Sahih al-Bukhari, 5/372)

Dinyatakan juga dalam Siyar ‘Alam al-Nubala’ (3/363) bahawa: Abdullah adalah bayi pertama bagi kaum Muhajirin yang dilahirkan di Madinah. Dia dilahirkan pada tahun dua Hijrah, dan ada yang mengatakan pada tahun satu Hijrah. 

Justeru,  Abdullah bin al-Zubair adalah bayi pertama yang dilahirkan dalam kalangan kaum Muhajirin selepas peristiwa hijrah Nabi SAW ke Madinah. Peristiwa kelahirannya sangat menggembirakan kaum Muslimin, lebih-lebih lagi apabila Nabi SAW sendiri melakukan tahnik terhadapnya dengan menggunakan kurma yang dikunyah, diikuti dengan doa. Kelahiran Abdullah bin al-Zubair bukan sahaja menjadi tanda kegembiraan bagi kaum Muhajirin, tetapi juga memperlihatkan hubungan istimewa antara beliau dan Rasulullah SAW.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.” 

(Surah al-Hasyr:10)

Wallahu‘Alam