#6979: Tukang Mandi Mayat Menyentuh Aurat Mayat Atas Keperluan Membasuhnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah tukang mandi mayat menyentuh aurat mayat atas keperluan untuk membasuhnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat itu ada ajalnya (tempoh yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka lewatkan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka awalkan (saat kematian tersebut).”

(Surah al-A‘raf: 34)

Ayat ini di atas menunjukkan bahawa bagi tiap-tiap generasi dan kurun itu tempoh masa dan waktu yang telah ditetapkan bagi ajal mereka. Apabila telah datang waktu-waktu mereka (ajal) yang telah ditentukan, mereka tidak dapat melewatkannya walaupun seketika (sesaat) atau memajukannya (lebih awal). (Lihat Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 154).

Keduanya, pada asasnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya:Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20; 51).

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Ketiganya, dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa tidak dibolehkan bagi orang yang memandikan jenazah atau orang lain menyentuh mana-mana bahagian aurat si mati, ataupun melihatnya. Sebaliknya, jika ada keperluan untuk membersihkan bahagian auratnya itu seperti kemaluan dan lain-lain, dia hendaklah membalut tangannya dengan kain, kemudian barulah membasuhnya.

Aurat mayat selepas kematiannya sama seperti auratnya semasa hidupnya. Oleh itu, para ulama sepakat bahawa lelaki tidak boleh memandikan mayat wanita, dan begitu juga wanita tidak boleh memandikan mayat lelaki, melainkan pasangan suami isteri sahaja, di mana dibolehkan bagi setiap seorang daripada mereka untuk memandikan mayat yang seorang lagi — yakni antara satu sama lain.

Dalam Kassyaf al-Qina‘ (2/92-93) disebutkan bahawa tidak halal untuk menyentuh aurat seseorang yang berumur tujuh tahun dan ke atas tanpa berlapik, dan begitu juga tidak boleh melihatnya, kerana penyucian (mandi jenazah) boleh dilakukan tanpa memerlukan kepada perkara tersebut (menyentuh), sebagaimana halnya ketika masih hidup.

Ibn Qudamah dalam al-Mughni (2/189) menyebutkan, kubur wanita hendaklah ditutup dengan kain, dan kami tiada mengetahui berkenaan anjuran (sunat) ini terdapatnya perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Kemudian beliau menyebutkan athar berkenaan hal tersebut, daripada Umar dan Ali R.Anhum. Kemudian beliau menambah, kerana wanita itu adalah aurat, dan dibimbangi akan ada sesuatu daripada tubuhnya yang terlihat oleh orang-orang yang hadir.

Selain daripada itu, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah (13/56) dinyatakan, pada asalnya adalah tidak dimandikan jenazah lelaki melainkan oleh lelaki, dan jenazah wanita melainkan oleh wanita, kerana pandangan jenis yang sama lebih ringan, dan larangan menyentuh tetap berlaku semasa hidup, begitu juga selepas kematian

Al-Kasani dalam Badai‘ al-Sanai‘ (1/300) pula menegaskan, aurat jenazah ditutup dengan kain kerana larangan memandang aurat masih berlaku selepas kematian. Oleh sebab itu, tidak dibolehkan bagi seorang lelaki ajnabi untuk memandikan wanita ajnabiyyah.

Dalam al-Bahr al-Ra’iq (2/185) disebutkan bahawa melihat aurat si mati adalah haram, seperti melihat aurat orang yang masih hidup. Di samping itu, dalam al-Muhit turut disebutkan, aurat si mati dimandikan di bawah kain setelah kain itu dililitkan di tangan, agar kain tersebut menjadi penghalang antara tangan dan aurat, kerana menyentuh aurat adalah haram seperti melihatnya.

Juga disebutkan dalam al-Bahr al-Ra’iq (2/188), adapun orang yang memandikan, syaratnya adalah bahawa dia dibenarkan melihat orang yang dimandikan (yakni jenazah tersebut). Oleh itu, lelaki tidak boleh memandikan wanita, dan wanita tidak boleh memandikan lelaki.

Bahkan Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, tidak dibenarkan bagi orang yang memandikan jenazah atau orang lain menyentuh mana-mana bahagian aurat si mati, ataupun melihatnya. Sebaliknya, dia harus membalut tangannya dengan kain dan membersihkan kemaluan serta seluruh badannya. Disunatkan agar tidak melihat selain daripada aurat kecuali bahagian yang perlu dilihat untuk memudahkan proses memandikan. Begitu juga, disunatkan agar tidak menyentuhnya dengan tangan. Jika dia melihat atau menyentuh tanpa syahwat, ia tidak haram tetapi dianggap meninggalkan perkara yang lebih baik/utama. 

Sebahagian ashab mazhab kita mengatakan ia adalah makruh. Adapun orang lain selain daripada orang yang memandikan, sama ada pembantu atau selainnya, makruh bagi mereka melihat selain aurat kecuali jika ada keperluan. Ini kerana, kemungkinan auratnya akan terbuka semasa mereka melihat, atau mungkin mereka melihat sesuatu pada badannya yang tidak disukainya, atau mungkin melihat tanda lebam atau darah terkumpul dan sebagainya lalu menyangkanya sebagai hukuman. Syeikh Abu Hamid berkata: Disunatkan agar tidak melihat badan orang yang masih hidup, maka lebih utama lagi bagi si mati. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/165-166).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan dan keterangan di atas, kami berpendapat dan tegaskan sekali lagi bahawa tidak dibolehkan bagi orang yang memandikan jenazah atau orang lain menyentuh mana-mana bahagian aurat si mati, ataupun melihatnya. Sebaliknya, jika ada keperluan untuk membersihkan bahagian auratnya itu seperti kemaluan dan lain-lain, dia hendaklah membalut tangannya dengan kain, kemudian barulah membasuhnya. Dalam erti kata lain, tidak menyentuhnya secara terus (direct) tanpa berlapik dengan apa-apa kain yang dililit pada tangannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”