#698: Status Najis Bayi Lelaki Bawah Dua Tahun yang Diberi Makan Ubat

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Kalau budak lelaki bawah dua tahun diberikan ubat dengan dititiskan ke dalam mulutnya, adakah perkara tersebut akan mengubah status najisnya daripada mukhaffafah kepada mutawassitah? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Ertinya, Allah suka kepada orang yang bersih daripada hadas dan kekotoran, sama ada kekotoran zahir atau batin. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/71)

Pembahagian najis

Pada asasnya, najis terbahagi kepada tiga kategori, iaitu najis Mukhaffafah, najis Mutawassitah, dan najis Mughallazah. Najis Mukhaffafah ialah najis yang ringan. Ia dinamakan sedemikian kerana Allah telah memberi keringanan pada hukumnya. Walau bagaimanapun, najis tersebut hanya dikira sebagai najis mukhaffafah sekiranya memenuhi kesemua empat syarat yang berikut:

  1. Ia adalah air kencing.
  2. Ia adalah bahan buangan daripada bayi lelaki.
  3. Bayi tersebut belum lagi berumur 2 tahun.
  4. Bayi tersebut belum lagi memakan apa-apa makanan yang mengenyangkan selain daripada menyusu.

Sekiranya tidak cukup salah satu daripada syarat-syarat tersebut, maka ia termasuk dalam kategori najis Mutawissatah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 134)

Selain itu, Imam al-Nawawi menyebutkan, tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kenajisan najis mukhaffafah. Malah terdapat sebahagian dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i menukilkan bahawa para ulama telah  Ijma‘ akan perkara ini dan tiada seorang pun yang menyelisihinya melainkan Daud al-Zahiri. Al-Khattabi dan ulama selainnya menyatakan, bukanlah bermaksud apabila dibenarkan membersihkan air kencing bayi lelaki bawah dua tahun dengan hanya merenjisnya disebabkan oleh ia tidak dianggap sebagai najis, akan tetapi kerana kelonggaran — yakni keringanan yang diberikan oleh syarak — bagi membersihkannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/195)

Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan hikmah kepada perbezaan ini. Di antara pendapat-pendapat mereka:

  1. Ada antara mereka yang mengatakan bahawa perkara tersebut bersifat ta‘abudi kerana terdapatnya nas dalam hal itu.
  2. Manakala sebahagian yang lain menyatakan bahawa perbezaan tersebut adalah disebabkan air kencing kanak-kanak lelaki lebih cair berbanding kanak-kanak perempuan.
  3. Ada juga yang berpendapat kerana asal kejadian lelaki adalah daripada air dan tanah (Nabi Adam), manakala asal kejadian perempuan adalah daripada daging dan darah (Hawa’).
  4. Begitu juga ada yang berpendapat kerana lelaki baligh dengan air yang bersih iaitu mani, manakala perempuan pula baligh dengan air yang najis iaitu darah haid.
  5. Kanak-kanak lelaki lebih banyak dibawa bersama berbanding kanak-kanak perempuan. Oleh sebab itu, diberi keringanan pada air kencingnya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 134; Fath al-Wahhab, 1/25)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, titik perbincangan adalah pada makna lafaz hadith “لَمْ يَأْكُلِ الطَّعَامَ”. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ummu Qais binti Mihsan R.Anha bahawa:

أَنَّهَا أَتَتْ بِابْنٍ لَهَا صَغِيرٍ، لَمْ يَأْكُلِ الطَّعَامَ، إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَجْلَسَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجْرِهِ، فَبَالَ عَلَى ثَوْبِهِ، فَدَعَا بِمَاءٍ، فَنَضَحَهُ وَلَمْ يَغْسِلْهُ

Maksudnya:Beliau datang membawa seorang bayi lelaki yang masih kecil dan belum lagi boleh makan sebarang makanan kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW terus meletakkannya di atas pangkuan Baginda, kemudian bayi itu kencing di atas pakaian Baginda. Maka Nabi SAW meminta air lalu merenjiskannya (ke atas pakaian) dan tidak pula membasuhnya.”

Riwayat al-Bukhari (223) dan Muslim (287)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, makna makanan tersebut ialah apa yang selain daripada susu yang disusuinya, kurma yang dimasukkan ketika mentahniknya, madu yang dijilatnya ketika rawatan dan lain-lain. Dalam erti kata lain, makanan-makanan tadi selain daripada susu tidak boleh mengenyangkannya. (Lihat Fath al-Bari, 1/326)

Ini juga merupakan pendapat Imam al-Nawawi yang menyatakan bahawa boleh membersihkan air kencing anak lelaki — yakni yang kurang dua tahun — dengan cara merenjisnya selagi mana anak tersebut masih menyusu.  Namun, setelah dia mula memakan makanan yang mengenyangkannya, maka wajib membasuh air kencingnya tanpa khilaf — seperti najis-najis yang lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/195)

Selain daripada itu, Hasan al-Kaff juga menyebut bahawa tidak memberi kesan — yakni air kencing masih lagi dikira sebagai najis mukhaffafah — sekiranya anak tersebut ditahnik dengan kurma atau madu. Begitulah juga, dengan ubat dan apa yang diberikan bagi merawatnya seperti garam dan gula. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 134)

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat kanak-kanak lelaki bawah dua tahun yang masih menyusu sebagai makanan utamanya tetapi telah dititiskan ubat ke dalam mulutnya, air kencingnya masih dikira sebagai najis mukhaffafah. Hal ini kerana ubat yang diberikan kepadanya itu tidak termasuk makanan yang boleh mengenyangkannya. Apatah lagi ia diberikan kerana suatu keperluan bagi merawatnya atau seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 17 Mac 2022 bersamaan 14 Syaaban 1443H