#6984: Kewajipan Menggantikan Barang Milik Orang lain yang telah Dirosakkan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah tanggungjawab seseorang jika dia secara tidak sengaja merosakkan barang milik orang lain? bagaimanakah  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat. 

Firman Allah SWT:

 وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ ‎

Maksudnya: “Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).”

(Surah al-Ma’un: 7)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: Mereka menegah orang ramai untuk mendapat manfaat yang kecil-kecil dan sedikit dari sesama mereka seperti meminta pinjaman jarum, kapak, periuk, garam dan air serta lainnya. Mujahid berkata, “الْمَاعُونَ” adalah mereka yang menegah pinjaman barang-barang yang menjadi alatan yang boleh bertukar antara manusia seperti kapak, timba dan bekas. (Lihat Jami’ al-Bayan, 30/209)

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ المُسْلِمِ عَلَى المُسْلِمِ حَرامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Setiap muslim itu adalah haram (tidak boleh diganggu) darah, harta dan maruah kehormatannya.”

Riwayat Bukhari (6064) dan Muslim (2564)

Hadith ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli. (Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa seseorang yang telah merosakkan harta milik orang lain sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja, maka diwajibkan ke atasnya untuk menggantikan balik barang tersebut atau nilai kerosakan tersebut. Dalam hal ini, Imam al-Mawardi telah menyebutkan sebuah kaedah tentang ganti rugi dalam banyak tempat, katanya:

الْعَمْد وَالْخَطَأُ فِي ضَمَانِ الْأَمْوَالِ سَوَاءٌ

Maksudnya: “Sengaja atau tersilap dalam (masalah) ganti rugi harta, sama sahaja (hukumnya).” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 8/359)

Imam al-Syafi‘i menerangkan kadar ganti rugi yang perlu dibayar oleh orang yang bertanggungjawab terhadap sesuatu barang dengan menyatakan, sekiranya seseorang merampas sesuatu barangan makanan daripada orang lain sama ada sebutir bijian, sebiji tamar atau barang masakan, kemudian dia memakannya, maka dia perlu membayar ganti rugi dengan sesuatu yang sejenis dengannya. Sekiranya dia tidak memperoleh ganti yang sejenis, maka perlu membayar dengan nilai yang setara dengannya. (Lihat al-Umm, 3/259)

Selain itu juga dalam Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (1/226) menyebutkan: Kami tidak mengetahui perselisihan dalam hal ini bahawa barang yang rosak, jika ia adalah barang yang sejenis, maka ia diganti dengan barang yang sejenis. Dan jika ia adalah barang yang bernilai, maka ia diganti dengan nilainya. Begitu juga, kami tidak mengetahui perselisihan dalam hal ini bahawa penilaian nilai barang tersebut adalah mengambil kira tempat kerosakan tersebut.

Justeru,  prinsip ini memastikan hak individu dilindungi, dan seseorang tidak boleh menyebabkan kerugian kepada orang lain tanpa menanggung akibatnya, walaupun kerugian itu berlaku secara tidak sengaja. Oleh itu, setiap individu bertanggungjawab atas tindakan mereka dan perlu menyedari bahawa setiap tindakan, sama ada sengaja atau tidak, mempunyai implikasi, terutama dalam hal harta benda orang lain.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam.