#6990: Sedih Mengenang Rasulullah

Soalan: 

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, kenapa bila saya teringatkan Rasulullah, saya  terasa sangat sedih? Boleh Dato’ Seri jelaskan asbab di sebalik perasaan ini menurut neraca ilmiah? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Allah SWT berfirman dalam al-Furqan ketika menyifatkan berkenaan Kekasih-Nya, Nabi Akhir Zaman yang diutuskan sebagai rahmat bagi semesta alam:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَاعَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: “Telah datang kepada kalian seorang Rasul daripada kalangan kalian sendiri (bangsa Arab yang tulen); Baginda terasa amat sulit untuk kalian jika kalian merasa sukar, Baginda amat menginginkan kebaikan semuanya buat kalian, dan Baginda amat pelembut dan penyayang kepada kaum Mukminin.”

(Surah al-Taubah: 128)

Diriwayatkan bahawa qiraat ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma membaca ayat di atas seperti ini:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفَسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَاعَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ 

Maksudnya:Telah datang kepada kalian seorang Rasul daripada orang yang terbaik dalam kalangan kalian; Baginda berasa amat sulit untuk kalian jika kalian merasa sukar, Baginda amat menginginkan kebaikan semuanya buat kalian, dan Baginda amat pelembut dan penyayang kepada kaum Mukminin.”

Begitu jugalah yang dibaca oleh Fatimah binti Rasulullah SAW, Ummul Mukminin Aisyah R.Anha, yang diriwayatkan oleh qiraat Ibn Muhaisin, juga sebahagian jalur qiraat Ya’qub al-Hadhrami, jua qiraat Abu ‘Amr al-Basri menerusi tariq Mahbub; sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Ahmad bin Yusuf al-Nahwi atau yang masyhur dengan gelaran al-Samin al-Halabi. (Lihat al-Durr al-Masun fi ‘Ulum al-Kitab al-Maknun, 6/141)

Berdasarkan ayat di atas, Rasulullah SAW dilihat mempunyai dua sifat utama yang ditonjolkan oleh Allah SWT, iaitu:

  • Berasa amat sempit, sedih dan sukar dengan segala kesusahan yang dihadapi oleh umat Baginda. Rasulullah SAW sedih dengan segala yang menyedihkan kita.
  • Amat menginginkan dan memahukan kebaikan, kebahagiaan dan kemudahan untuk sekalian umat Baginda. Rasulullah SAW mahu kita bahagia dan segala yang terbaik buat kita.

Kenanglah; akan betapa suci luhurnya akhlak Rasulullah SAW, dan betapa agungnya peribadi Baginda yang membuatkan kita merindui Baginda sentiasa dan tidak mampu menahan sabar untuk bertemu Baginda di syurga Allah yang kekal abadi kelak.

Rasulullah SAW itu orangnya amat pengasih walau kepada musuhnya, dan Baginda lebih suka untuk tidak membalas kecaman dengan sebarang kekasaran mahupun keburukan. Bahkan, Baginda tetap sahaja mahukan kebaikan termasuklah kepada orang yang berbuat jahat dan buruk terhadap Baginda, atau bahkan mencederakan dan mengkasari Baginda!

Ketika Baginda berdakwah kepada suku Bani ‘Abd Yalil bin ‘Abd Kulal di sekitar wilayah al-Ta’if, mereka enggan menerima dakwah Baginda Nabi SAW, bahkan memalukan Nabi sepanjang jalan dan melemparkan batu ke arah Baginda sehingga Baginda tercedera dengan luka yang memenuhi kasut Baginda . Akibat kerana kecederaan yang agak parah, Baginda terpengsan. 

Sebaik sahaja Baginda sedar daripada pengsan, dalam keadaan masih menahan kesakitan akibat dilempar batu-batu, Baginda melihat Malaikat Jibril sedang berada di awan seraya berkata:

إنَّ اللَّهَ قدْ سَمِعَ قَوْلَ قَوْمِكَ لَكَ، وما رَدُّوا عَلَيْكَ، وقدْ بَعَثَ إلَيْكَ مَلَكَ الجِبالِ لِتَأْمُرَهُ بما شِئْتَ فيهم

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mendengar perbuatan kaummu terhadap dirimu, dan apakah balasan mereka terhadapmu. Dan Tuhan telah mengutuskan kepada Malaikat Penjaga Bukit untuk engkau mengarahkan apa sahaja sesuka hatimu.”

Lantas, Malaikat Penjaga Bukit pun menyeruku dan memberi salam kepadaku, kemudian dia berkata kepadaku menawarkan:

يَا مُحَمَّدُ، ذلكَ فِيما شِئْتَ، إنْ شِئْتَ أنْ أُطْبِقَ عليهمُ الأخْشَبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai Muhammad, aku hanya ikut sahaja kehendakmu. Jika engkau mahu, aku akan hempaskan dua gunung-ganang ini ke atas mereka semua! (yang menyakitimu).”

Meskipun dalam keadaan sakit dihina dan dicederakan di segenap bahagian tubuh dan jasadnya yang suci, namun sebaliknya Rasulullah SAW dengan penuh sabar dan optimis membalas:

بَلْ أرْجُو أنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِن أصْلابِهِمْ مَن يَعْبُدُ اللَّهَ وحْدَهُ لا يُشْرِكُ به شيئًا

Maksudnya: “Tidak, bahkan aku berharap agar Allah mengeluarkan daripada zuriat keturunan mereka suatu kaum yang menyembah Allah satu-satunya Dia sahaja dan tidak menyekutukan-Nya dengan suatu apa pun.”

Riwayat al-Bukhari (3231) dan Muslim (1795)

Ingatlah juga, bahawa Rasulullah sentiasa mendoakan keampunan buat segala dosa umatnya. Sama ada ketika Baginda masih hidup mahupun setelah meninggal dunia.

Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakr R.Anha meriwayatkan bahawa:

لَمَّا رَأَيْتُ مِنَ النَّبيِّ ﷺ طِيبَ نَفْسٍ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللهِ ادْعُ اللهَ لِي فَقَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعَائِشَةَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهَا وَمَا تَأَخَّرَ مَا أَسَرَّتْ وَمَا أَعْلَنَتْ فَضَحِكَتْ عَائِشَةُ حَتَّى سَقَطَ رَأْسُهَا فِي حِجْرِهَا مِنَ الضَّحِكِ قَالَ لَهَا رَسُولُ اللهِ ﷺ: أَيَسُرُّكِ دَعَائِي؟ فَقَالَتْ: وَمَا لِي لَا يَسُرُّنِي دُعَاؤُكَ؟ فَقَالَ ﷺ: وَاللهِ إِنَّهَا لَدُعَائِي لِأُمَّتِي فِي كُلِّ صَلَاةٍ

Maksudnya: “Ketika aku melihat Rasulullah SAW dalam keadaan yang baik, aku berkata kepada Baginda: ‘Wahai Rasulullah, doakan buat diriku.’ Lantas Baginda berdoa: ‘Ya Allah, ampunkanlah  Aisyah; segala dosanya yang lalu dan akan datang, segala dosanya yang tersembunyi mahupun yang nyata.’ Maka,  Aisyah pun tertawa mendengar doa tersebut sehingga kepala beliau tertunduk-tunduk kerana kuatnya ketawa tersebut. Maka, Rasulullah SAW berkata kepada Baginda: ‘Adakah kamu suka dengan doaku itu?’  Aisyah menjawab: ‘Takkanlah saya tidak suka dengan doamu, Rasulullah.’ Baginda membalas: ‘Demi Allah, itulah doaku buat umatku setiap kali aku bersolat.’”

Riwayat Ibn Hibban dalam al-Sahih (7111); al-Hakim dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain (6738); dinilai hasan oleh Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut

 ‘Abdullah bin Mas‘ud RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

حَيَاتِي خَيْرٌ لَكُمْ؛ تُحَدِّثُونَ وَيُحَدَّثُ لَكُمْ، وَوَفَاتِي خَيْرٌ لَكُمْ؛ تُعْرَضُ عَلَيَّ أَعْمَالُكُمْ، فَمَا كَانَ مِنْ حَسَنٍ حَمَدْتُ اللهَ، وَمَا كَانَ مِنْ سَيِّئٍ اسْتَغْفَرْتُ اللهَ لَكُمْ

Maksudnya: “Hidup aku ini baik buat kalian; kalian boleh bertemu dengan aku dan aku juga bertemu dengan kalian. Dan kematianku kelak juga adalah baik buat kalian. Amalan-amalan kalian akan ditunjukkan di hadapanku. Apa sahaja amalan kalian yang baik, maka aku akan memuji Allah atas kebaikan tersebut. Apa sahaja amalan kalian yang buruk, maka aku akan meminta ampun kepada Allah bagi pihak kalian.”

Riwayat Ibn Sa‘d dalam al-Tabaqat (1990); al-Harith bin Abu Usamah dalam al-Musnad (953); dinilai dha‘if oleh al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ (4/182)

Rasulullah SAW jualah yang akan menyelamatkan kita daripada kesukaran yang dahsyat di hari Kiamat kelak dengan Baginda sudi mengurniakan al-Syafa‘ah al-‘Uzma iaitu Syafaat Teragung buat sekalian manusia umumnya, terlebih lagi buat sekalian umat Baginda khususnya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.