#6997: Dakwah dengan Hikmah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami berkenaan dengan nas Ilahi dalam surah al-Nahl ayat 125?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh  hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menyatakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/52)

Ibn Sina berkata: al-Hikmah yang dimaksudkan adalah bukti, dan nasihat pengajaran yang baik adalah bukti-bukti yang meyakinkan, dan perbahasan atau perdebatan dengan cara yang baik adalah memaksa dan memujuk pihak lawan.

Al-Maraghi menjelaskan: Yakni, gunalah pendekatan yang terbaik dalam dakwah dan berdebat, iaitu berdakwah dengan cara yang terbaik. Itulah kewajipanmu manakala pemberian petunjuk dan penyesatan serta pembalasan terhadap kedua-duanya diserahkan kepada Allah SWT semata-mata. Dia lebih mengetahui keadaan orang yang tidak mahu meninggalkan kesesatan kerana ikhtiarnya yang buruk dan keadaan orang yang mengikut petunjuk kerana dia mempunyai persiapan yang baik. Apa yang digariskan oleh Allah SWT untuk berdakwah, itulah yang dituntut oleh hikmah dan itu telah cukup untuk memberikan petunjuk kepada orang yang mahu mengikut petunjuk serta menghilangkan alasan daripada orang yang sesat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3868)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”