#7006: Bahagian Badan Mayat yang Wajib Ditutup Ketika Memandikannya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sebenarnya bahagian mana yang perlu ditutup ketika memandikan mayat? Ada yang kata kena tutup seluruh badannya, ada juga yang kata tak perlu, hanya perlu tutup kemaluannya sahaja, dan ada juga yang kata muka pun kena tutup. Jadi bagaimana pandangan yang tepat dalam masalah ini? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan ini, kami katakan bahawa di antara adab yang perlu diperhatikan semasa menguruskan mayat adalah menutup auratnya dan tidak membocorkan rahsianya; ini untuk menjaga kehormatannya dan memelihara amanahnya. Terdapat riwayat daripada Ummul Mukminin Aisyah R.Anha, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ غَسَّلَ مَيِّتًا، فَأَدَّى فِيهِ الْأَمَانَةَ، وَلَمْ يُفْشِ عَلَيْهِ مَا يَكُونُ مِنْهُ عِنْدَ ذَلِكَ، خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang memandikan mayat dan menjaga amanahnya, serta tidak membocorkan apa yang terjadi kepadanya ketika itu, dia akan keluar daripada dosanya seperti pada hari ibunya melahirkannya.”

Riwayat Ahmad (24881), Abu Ya‘la dalam al-Mu‘jam (92), al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (3575) dengan sedikit perbezaan lafaz. Menurut al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (3/24), dalam sanadnya terdapat perawi bernama Jabir al-Ju‘fi dan padanya terdapat kritikan yang banyak.

Selain itu, terdapat riwayat lain, daripada Mu‘az bin Jabal R.A, beliau berkata:

مَنْ غَسَّلَ مَيِّتًا، فَأَدَّى فِيهِ الْأَمَانَةَ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang memandikan mayat dan menjaga amanahnya, dia akan keluar daripada dosanya seperti pada hari ibunya melahirkannya.

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (11156) dan ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (6098)

Begitu juga riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

لِيُغَسِّلْ مَوْتَاكُمْ الْمَأْمُونُونَ

Maksudnya: “Hendaklah orang yang amanah yang memandikan mayat kamu.”

Riwayat Ibn Majah (1461).

Zainuddin al-Munawi menyatakan, dalam hadith ini, disunatkan/dianjurkan bahawa orang yang memandikan mayat hendaklah seorang yang amanah; jika dia melihat kebaikan, dia menyebutkannya, dan jika melihat yang selainnya (yakni keburukan), dia menutupinya, kecuali jika ada maslahah. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/393).

Seterusnya, berkenaan bahagian tubuh mayat yang perlu ditutup ketika memandikan mayat, kami katakan bahawa pertamanya, para ulama sepakat bahawa menutup aurat mayat semasa memandikannya adalah wajib; kerana kehormatan seseorang ketika mati adalah sama seperti ketika hidup.

Al-Hafiz Ibn Abd al-Bar dalam al-Tamhid (2/160) menyebutkan, sunnah bagi orang hidup dan mati adalah haram melihat aurat mereka, dan kehormatan orang beriman ketika mati adalah seperti kehormatannya ketika hidup dalam hal itu. Tidak boleh seseorang memandikan mayat melainkan dia harus menutupnya. Jika mayat dimandikan dengan pakaiannya, hal itu adalah baik. Jika auratnya ditutup tetapi dia ditanggalkan pakaiannya, kemudian ditutup dengan kain yang menutupi kepalanya dan seluruh tubuhnya hingga ke hujung kakinya, hal itu juga adalah baik. Jika tidak, sekurang-kurangnya yang perlu ditutup adalah auratnya. Ibn Sirin berkata: “Aurat mayat ditutup seperti aurat orang hidup.” Ibrahim pula berkata: “Mereka tidak suka memandikan mayat tanpa ada penghalang antara dia dan langit, melainkan jika ada penghalang/penutup di antaranya.”

Namun, mereka berbeza pendapat mengenai aurat yang wajib ditutup ketika lelaki memandikan lelaki atau wanita memandikan wanita; adakah aurat yang wajib ditutup hanya aurat besar (aurat mughallazah), atau aurat antara pusat dan lutut?

Jumhur fuqaha termasuk Imam Abu Hanifah dalam satu riwayat, berpendapat wajib menutup aurat antara pusat dan lutut, dan telah dinukilkan adanya kesepakatan dalam hal tersebut.

Imam Ibn Qudamah al-Hanbali menyebutkan dalam al-Mughni (2/338) bahawa adapun menutup aurat antara pusat dan lutut, kami tidak mengetahui adanya perselisihan dalam hal ini, kerana ia adalah aurat, dan menutup aurat adalah diperintahkan.

Namun, ada ulama yang hanya memadai dengan menutup aurat besar (aurat mughallazah), dan ini adalah pandangan yang jelas dalam kalangan ulama Hanafiyyah dan juga pendapat al-Lakhmi daripada kalangan ulama Malikiyyah.

Imam al-Sarakhsi al-Hanafi dalam al-Mabsut (2/59) menyebutkan, diletakkan kain pada auratnya kerana menutup aurat adalah wajib dalam apa jua keadaan, dan manusia itu dihormati ketika hidup dan mati. Al-Hasan meriwayatkan daripada Abu Hanifah bahawa mayat dipakaikan kain panjang seperti yang dilakukan ketika hidupnya apabila dia mahu mandi. Dalam riwayat yang jelas, dikatakan sukar untuk memandikan di bawah kain, jadi cukup dengan menutup aurat mughallazah dengan kain, kemudian dilakukan wuduk seperti wuduk solat.

Al-‘Allamah al-Marghinani al-Hanafi pula menyatakan dalam al-Hidayah (1/88) bahawa diletakkan kain pada auratnya bagi memenuhi kewajipan menutup aurat, dan memadai dengan menutup aurat mughallazah, dan ini adalah pandangan yang sahih sebagai mengambil jalan bagi memudahkan.

Al-‘Allamah Badruddin al-‘Aini al-Hanafi dalam ‘Umdah al-Qari (8/61) menyatakan, dari semua ini dapat difahami bahawa mayat tidak dianggap seluruhnya sebagai aurat. Auratnya adalah seperti ketika hidupnya, iaitu antara pusat dan lutut, dan lutut juga adalah aurat menurut kami. Ini adalah hukum asal bagi mayat juga. Namun, cukup dengan menutup aurat mughallazah, iaitu qubul dan dubur, untuk memudahkan, dan ini adalah pandangan yang sahih dalam mazhab (Hanafi).

Al-‘Allamah Ibn ‘Abidin al-Hanafi dalam hasyiahnya Radd al-Muhtar (2/195) juga ada menjelaskan bahawa hanya perlu menutup aurat mughallazah iaitu qubul dan dubur adalah kerana sebagai mengambil jalan lebih memudahkan dan kerana syahwat sudah tiada.

Di samping itu, Imam Ibn Abu Zaid al-Qairawani dalam al-Nawadir wa al-Ziyadat (1/543) menyebutkan, Ibn Habib berpendapat, dia perlu diwudukkan seperti wuduk orang hidup dan masukkan air ke dalam mulutnya sebanyak tiga kali, dan menutup auratnya dari pusat hingga lutut.

Imam al-Mazari al-Maliki dalam Syarh al-Talqin (1/1120) pula menyebutkan, terdapat perbezaan pendapat dalam mazhab kita mengenai lelaki memandikan mayat lelaki dan wanita memandikan mayat wanita: Dikatakan berkenaan lelaki memandikan mayat lelaki, dia membuka segala-galanya kecuali aurat, dan ini adalah pendapat Malik dalam al-Mudawwanah, dan sebahagian guruku memahami bahawa yang dimaksudkan itu adalah aurat depan dan belakang (yakni qubul dan dubur).

Manakala Imam al-‘Arif Sidi al-Dardir al-Maliki dalam al-Syarh al-Saghir (1/546) menyatakan, wajib bagi orang yang memandikan untuk menutup auratnya (mayat) dari pusat hingga lutut. Begitu juga lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita.

Al-‘Allamah Abu al-Hasan al-‘Adawi al-Maliki dalam Hasyiah ‘ala Kifayah al-Talib al-Rabbani (1/412) menyatakan, kenyataan “Tutup auratnya” adalah merujuk kepada aurat depan dan belakang (yakni qubul dan dubur) sahaja seperti yang difahami oleh al-Lakhmi dalam al-Mudawwanah. Maksudnya al-Lakhmi memahami daripada al-Mudawwanah bahawa yang dimaksudkan dengan aurat adalah kemaluan depan dan belakang sahaja. Akan tetapi al-Qadhi ‘Iyadh dalam al-Tanbihat menyanggahnya (dengan menyatakan kefahaman seperti itu adalah dha‘if) dengan mengatakan, tidak ada dalam kitab yang menunjukkan demikian; malah jika dikatakan ia menunjukkan kepada pendapat Ibn Habib iaitu menutup dari pusat hingga lutut, itu lebih masuk akal kerana dia menyatakan berdasarkan kepada atharnya, boleh menyentuh dengan tangannya ke kemaluannya jika ada keperluan, dan jika aurat hanya kemaluan sahaja, maka kenapa disebut kemaluan dengan perkataan lain. Oleh sebab itu, al-‘Allamah Khalil mengikut/cenderung kepada pendapat Ibn Habib, dan itulah yang pendapat yang muktamad.

Adapun Imam al-Haramain Abu al-Ma‘ali al-Juwaini al-Syafi‘i dalam Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab (3/7) menyebutkan, wajib menutup aurat lelaki dengan kain yang diletakkan di atasnya, dan auratnya adalah antara pusat dan lutut. Ini berdasarkan larangan melihat auratnya, dan makruh melihat seluruh tubuhnya kecuali jika adanya keperluan.

Al-‘Allamah Ibn Qudamah al-Hanbali dalam al-Mughni (2/338) menyatakan, apabila dimulakan dengan mandian, ditutup tubuhnya dari pusat hingga lutut, dan secara keseluruhannya, disunnahkan menanggalkan pakaian mayat ketika dimandikan, dan auratnya ditutup dengan kain. Ini adalah zahir pendapat al-Khiraqi dalam riwayat al-Athram daripada Imam Ahmad yang berkata: “Dia hendaklah menutup bahagian antara pusat dan lututnya.”

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelaslah bahawa para ulama bersepakat mengenai kewajipan menutup aurat mayat semasa mandi; sama ada mengikut pandangan majoriti ulama yang mengatakan auratnya yang wajib ditutup adalah dari pusat hingga lutut, atau mazhab Hanafi yang berpendapat memadai dengan menutup aurat besar (mughallazah) sebagai suatu kelonggaran bagi memudahkan, dengan syarat mayat dimandikan oleh orang yang sama jantinanya.

Namun, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan  bahawa bahagian aurat mayat yang wajib ditutup ketika memandikannya adalah dari pusat hingga ke lutut sebagaimana pendapat jumhur ulama. Inilah pendapat yang dilihat lebih berhati-hati (ahwat) dan sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf.

Apatah lagi, ketika memandikan mayat di samping memenuhi tujuan mandi itu iaitu menyucikannya dan membersihkannya sepenuhnya, perlu juga diambil kira untuk menjaga kehormatan dan memuliakannya meskipun dia sudah tidak bernyawa. Tambahan lagi, perkara ini tidak sepatutnya menjadi punca perselisihan dan pertikaian dalam kalangan umat Islam; kerana bersatu itu rahmat dan berpecah itu adalah azab. Ini juga adalah pendapat yang dikemukakan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah apabila mereka turut diajukan persoalan yang hampir sama.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/14506/مايسترمنبدنالميتاثناءالغسل. Diakses pada 25 Ogos 2024.