#7011: Hadith Golongan ‘Gay’ Akan Dibangkitkan Pada Hari Kiamat dalam Bentuk Rupa Kera dan Babi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Dikatakan terdapat hadith, daripada Talhah bin Zaid, daripada Bard bin Sinan, daripada Abu Munib, daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya: “Golongan gay akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam bentuk rupa kera dan babi.” Apakah status hadith tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW:

وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (110)

Begitu juga Nabi SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291)

Berdasarkan hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa ancaman yang cukup keras terhadap pendusta-pendusta terhadap hadith Nabi SAW. Untuk itu, dapat kita simpulkan bahawa hukum berdusta di atas nama Nabi SAW adalah haram secara jelas berdasarkan nas-nas di atas.

Tidak diketahui daripada kalangan sahabat Nabi SAW yang berdusta di atas nama Nabi SAW. Ini kerana, Rasulullah SAW merupakan insan yang mulia dan agung untuk didustakan di atas nama Baginda SAW. Terdapat lebih daripada seratus orang sahabat Nabi SAW meriwayatkan hadith yang menceritakan berkaitan ancaman terhadap orang yang berdusta ini dengan neraka sebagai nasihat (peringatan) buat umat ini (Nabi Muhammad SAW) dan juga menjauhkan mereka daripada berdusta di atas nama Rasulullah SAW.

Menurut ahli sejarah bermulanya pemalsuan hadith Nabi SAW adalah apabila berlakunya fitnah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman bin Affan RA. Ini kerana, pada waktu itu masuklah golongan-golongan al-Ahwa’ (golongan yang mengikut hawa nafsu) apabila berlakunya perpecahan dan perselisihan yang membawa kepada pendustaan terhadap hadith Nabi SAW agar hadith yang didustakan itu bertepatan dengan tuntutan hawa nafsunya. (Lihat al-Wadha‘ Fi al-Hadith al-Nabawi, 19-20).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa kami tidak menjumpai hadith ini terdapat dalam mana-mana kitab sunnah yang muktabar selepas melakukan pencarian. Namun, hadith ini ditemui dalam kitab Zam al-Hawa oleh Ibn al-Jauzi (hlm. 209), dan Nihayah al-‘Arab fi Funun al-Adab oleh al-Nuwairi (2/210) sebagai riwayat yang mauquf pada Abdullah bin Umar R.Anhuma, beliau berkata:

 يُحْشَرُ اللُّوطِيُّونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِي صُورَةِ الْقِرَدَةِ وَالْخَنَازِيرِ

Maksudnya:Golongan gay akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam bentuk rupa kera dan babi.

Begitu juga kami tidak menemui ulama yang mensahihkannya mahupun mendha‘ifkannya secara khusus. Akan tetapi, terdapat perawi dalam sanadnya yang dikritik oleh ulama hadith. Dalam sanadnya terdapat perawi bernama Talhah bin Zaid, di mana Ibn Hibban dalam al-Majruhin (1/383) ada mengkritiknya dengan menyatakan, dia ialah perawi yang sangat munkar dalam hadith, meriwayatkan daripada perawi-perawi thiqah secara maqlub. Tidak halal untuk berhujah dengan hadithnya.

Selain itu, Imam al-Zahabi juga ada menyebutkan dalam Tarikh al-Islam (4/868) bahawa Ali bin al-Madini menyatakan, dia (Talhah) memalsukan hadith. Begitu juga al-Bukhari dan ulama selainnya pula mengatakan, hadithnya munkar. Al-Nasa’i pula menyatakan, dia tidak thiqah (dipercayai).

Selain itu, dalam sanad di atas juga terdapat perawi yang bernama Bard bin Sinan, yang diperselisihi berkenaan statusnya. Ibn Ma‘in, Duhaim, al-Nasa’i dan Khirasy menilainya sebagai thiqah. Begitu juga Ibn Hibban menyebutnya dalam al-Thiqat. Tambahan lagi, Yazid bin Zurai‘ turut berkata: “Aku tidak pernah melihat orang Syam yang lebih thiqah daripada Bard.”

Manakala Abu Zur‘ah, Abu Hatim, dan Abu Dawud menilainya sebagai saduq. Imam Ahmad menyebutkan, hadithnya adalah baik. Namun, Ali bin al-Madini menyatakan kedha‘ifannya secara terang-terangan. Abu Dawud berkata, dia berpegang dengan pandangan al-Qadariyyah. Malah al-Zahabi memasukkannya dalam kalangan perawi dha‘if. Bahkan Ibn al-Qayyim turut mengkritik sebuah hadith disebabkan adanya Bard dalam sanadnya, sebagaimana disebut dalam Jala’ al-Afham (hlm. 86): Akan tetapi hadith ini mempunyai dua kecacatan; salah satunya ialah Bard bin Sinan, terdapat kritikan ulama padanya, meskipun dia dianggap thiqah oleh Yahya bin Ma‘in dan ulama selainnya.[1]

Kami mengambil kesempatan di sini agar kita sentiasa berpegang kepada sumber-sumber yang sahih di samping rujukan yang muktabar agar kita sentiasa bersama di atas kebenaran. Adapun kesilapan yang berlaku di kalangan kita adalah perkara biasa bagi manusia walaupun beliau seorang ulama’. Justeru, hendaklah kita berpegang dengan nasihat Saidina Umar R.A kepada Abu Musa al-Asy’ari R.A, antara lain menyebut:

الرُّجُوعُ إلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِل

Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota Hujung:

[1] Lihat juga https://www.islamweb.net/ar/fatwa/497497/درجةحديثيحشراللوطيونيومالقيامةفيصورةالقردةوالخنازير. Diakses pada 26 Ogos 2024.