#7014: Makmum Mendahului Imam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak bertanya apakah hukum jika pergerakan makmum mendahului dari imam ketika solat. Mohon penjelasan daripada dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkataan imam bermaksud seseorang yang diikuti oleh orang lain, seperti imam ketika solat, sebagai seorang khalifah, atau panglima tentera. (Lihat Mu’jam al-Wasit, hlm. 27)

Perkataan imam itu sendiri memberi maksud di hadapan yang dirujuk serta diikuti sedangkan pengikutnya pula dikenali sebagai makmum.

Pada asasnya, makmum wajib untuk mengikut imam di dalam setiap pergerakan ketika solat berjemaah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَلَا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ

Maksudnya: “Imam (di dalam solat) itu dijadikan untuk diikuti. Jangan kalian bercanggahan dengan imam. Apabila dia rukuk maka rukuklah. Apabila dia menyebut سمع الله لمن حمده (Allah Maha Mendengar sesiapa yang memuji-Nya) maka katakanlah ربنا لك الحمد (Tuhan kami bagi Engkau segala pujian). Apabila dia sujud maka bersujudlah. Apabila dia solat secara duduk maka solatlah kalian semua secara duduk.”

Riwayat al-Bukhari (722) dan Muslim (962)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyebut bahawa makmum wajib untuk mengikut imam ketika takbir, qiyam,rukuk, sujud dan lain-lain. Makmum perlu mengangkat takbir sejurus selepas imam melakukannya. Jika makmum melakukan apa-apa pergerakan solat sebelum imam selesai maka tidak sah solatnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/131)

Dalam hadis yang lain, Anas R.A berkata:

صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَلَمَّا قَضَى الصَّلَاةَ أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ، فَقَالَ: أَيُّهَا النَّاسُ، إِنِّي إِمَامُكُمْ، فَلَا تَسْبِقُونِي بِالرُّكُوعِ وَلَا بِالسُّجُودِ، وَلَا بِالْقِيَامِ ‌وَلَا ‌بِالِانْصِرَافِ، فَإِنِّي أَرَاكُمْ أَمَامِي وَمِنْ خَلْفِي

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengimami kami dalam solat pada satu hari. Apabila Baginda selesai, Baginda menghadapkan wajah Baginda kepada kami lalu Baginda bersabda: Wahai manusia! sesungguhnya saya ini imam kalian. Maka, janganlah kalian mendahului saya dengan rukuk mahupun sujud. Tidak juga dengan qiyam mahupun salam. Sesungguhnya saya melihat kalian yang berada di hadapan saya dan juga dari bahagian belakang.”

Riwayat Muslim (426)

Berdasarkan hadis ini, para ulama menyimpulkan bahawa syarat sah solat berjemaah adalah mengikut setiap pergerakan imam. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi: “Wajib mengikuti imam dalam pergerakan solat iaitu dia mula lambat sedikit daripada imam kemudian setelah selesai imam melakukan perbuatannya baru dia mula.” (Lihat Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, hlm. 42)

Dalam hadith Abu Hurairah RA diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ فَارْفَعُوا رُءُوسَكُمْ، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا جَمِيعًا: اللهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَلَا تَسْجُدُوا قَبْلَ أَنْ يَسْجُدَ، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ فَارْفَعُوا رُءُوسَكُمْ، وَلَا تَرْفَعُوا رُءُوسَكُمْ قَبْلَ أَنْ يَرْفَعَ

Maksudnya: “Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti, maka apabila imam bertakbir lalu hendaklah kalian bertakbir, jika dia rukuk hendaklah kalian rukuk, jika dia mengkat kepala (i`tidal) maka hendaklah kalian mengangkat kepala. Jika disebut: Sami`allahu liman hamidah, maka hendaklah kalian sebut beramai-ramai: Allahumma rabbana wa lakal hamdu. Jika dia sujud, hendaklah kalian sujud, jangan kalian sujud sebelum dia sujud, dan jika dia mengangkat kepalanya barulah kalian mengangkat kepala dan jangan mengangkat kepala sebelum imam mengangkat kepala.

Riwayat al-Baihaqi (2594) dalam Sunan al-Kubra

Justeru, apabila seseorang menjadi makmum di belakang seorang imam, maka dia hendaklah mengikut perbuatan imam tersebut berdasarkan nas-nas yang telah disebutkan.

Sabda Rasulullah SAW:

إنَّمَا جُعِلَ الإمام ليُؤتمَّ به، فإذا كبَّر فكبِّروا، وإذا رَكَعَ فاركعوا

Maksudnya: “Sesungguhnya imam dijadikan untuk diikuti dengannya, maka apabila imam bertakbir maka hendaklah kamu semua bertakbir dan apabila ia ruku’ maka hendaklah kamu ruku’.”

Riwayat al-Bukhari (378) Muslim (411) dan al-Tirmizi (361)

Imam al-Nawawi menjelaskan: “Maknanya di sisi al-Syafie dan sekumpulan ulama ialah (mengikut) pada perbuatan-perbuatan solat yang zahir.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/134)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak boleh bagi seorang makmum itu solat mendahului imam dan solatnya dikira tidak sah kerana syarat sah solat berjemaah adalah mengikut setiap pergerakan imam. Namun, sekiranya tidak disengajakan misalnya suara imam terlalu perlahan sehingga makmum tidak ketahui kedudukan solat imam, maka ia dimaafkan.

Manakala, melambatkan pergerakan dari imam dihukum  makruh yakni terkemudian satu rukun daripada imamnya malah solatnya batal jika ketinggalan dua rukun yang panjang. Contohnya, imam telah rukuk dan i’tidal kemudian sujud dan bangun sedangkan makmum masih lagi berdiri tanpa sebab yang dimaafkan.

Tetapi jika dia ketinggalan disebabkan sesuatu yang dimaafkan seperti lambat bacaannya, dia dibolehkan terkemudian daripada imam sehingga 3 rukun. Walau bagaimanapun, jika masih tidak memadai untuk mengikut imam selanjutnya, dia hendaklah menghentikan perbuatan yang sedang dilakukannya dan teruskan mengikut imam. Kemudian dia hendaklah menyambung perbuatannya semula yang tertinggal selepas imam mengucap salam.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/463)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

(Surah Ibrahim: 40-41)

Wallahua’lam