#7018:  Kesan Berdusta Ketika  Puasa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan,  apakah kesan berdusta ketika  puasa? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Berdasarkan pandangan al-Maraghi, kewajipan berpuasa dan melaksanakan amalan dalam bulan Ramadhan, serta menahan nafsu syahwat, bertujuan untuk mempertingkatkan rasa takwa kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/68)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa seorang muslim bukan sahaja diperintahkan untuk meninggalkan makan dan minum ketika menjalani ibadah puasa akan tetapi, kita juga diperintahkan untuk meninggalkan segala perkara maksiat termasuk meninggalkan kata-kata yang buruk. Ini kerana perkara-perkara tersebut memberi kesan terhadap pahala amalan seseorang. Ha ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ والعَمَلَ به، فليسَ لِلَّهِ حاجَةٌ في أنْ يَدَعَ طَعامَهُ وشَرابَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan masih melakukannya (berkata dusta), maka Allah SWT tidak berhajat (tidak menerima) kepada perbuatannya yang meninggalkan makan dan minumnya (yakni puasanya).”

Riwayat al-Bukhari (1903)

Rasulullah SAW telah menegaskan tujuan utama puasa, iaitu menahan diri daripada perkara yang haram sebelum menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa. Baginda bersabda,  ‘Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata keji ‘—yang bermaksud kata-kata kotor dan dusta, serta mengumpat, memfitnah, dan seumpamanya, maka tidak ada kebaikan dalam puasanya. Ia tidak memberi manfaat kepadanya, dan Allah tidak akan menerima amalannya yang meninggalkan makan dan minum. Memang benar bahawa meninggalkan puasa adalah melanggar kehormatan dan hak Allah, manakala kata-kata dusta dan seumpamanya melanggar hak Allah dan hak manusia. Jika dosa kata-kata keji dan perbuatan lidah dan tangan ditimbang dengan pahala puasa, dosa tersebut akan lebih berat, dan orang yang berpuasa akan pulang dengan tangan kosong. Minha al-Hadith fi Syarh al-Hadith (2/230-231)

Dalam hadith ini terdapat amaran terhadap kata-kata dusta dan perkara-perkara yang disebut bersama dengannya. Allah tidak menerima puasa orang yang melakukannya. (Lihat Tatriz Riyadh al-Salihin, hlm.697)

Begitu juga Ibn ‘Arabi menyebutkan: sesiapa yang melakukan apa yang disebutkan tidak akan mendapat ganjaran atas puasanya. (Lihat al-Tahbir Li Idah Ma‘ani al-Taisir, 6/307)

Justeru, syarak mengajarkan bahawa dosa seperti berkata dusta boleh mengurangkan pahala amalan ibadah puasa. Maka, adalah penting untuk menjaga diri daripada dosa, terutamanya semasa berpuasa, supaya ibadah kita diterima oleh Allah SWT. Adalah penting untuk diingatkan bahawa tujuan utama puasa adalah untuk mencapai ketakwaan dan keikhlasan, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Di sini, kami ingin menasihati agar menjauhi kata-kata atau perbuatan dusta kerana ia boleh membawa kesan yang buruk kepada kehidupan individu.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”

Riwayat al-Bukhari (6094)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/160)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam