#702: Jual Tanah Pada Bukan Islam Untuk Perkuburan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dibenarkan dalam Islam untuk menjual tanah kepada orang bukan Islam bagi tujuan membuat tanah perkuburan mereka?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

MaksudnyaYang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Al-Baidhawi di dalam tafsirnya menyebutkan: Ayat ini menjadi dalil kepada keharusan berjual beli dan larangan melakukan riba. Beliau juga mengatakan bahawa ayat ini juga mengingkari perbuatan menyamakan jual beli bersama riba. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 1/162)

Pada asasnya,  berjual beli dengan orang bukan Islam adalah harus. Ia termasuk dalam bab berbuat baik kepada mereka dalam perkara yang tidak dilarang syarak selagi mana mereka tidak termasuk dalam golongan yang memusuhi Islam dan umat Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak menghalang kamu terhadap golongan yang tidak memerangi kamu berkenaan agama dan mereka tidak mengeluarkan kamu dari tanahair kamu, dari kamu berbuat kebajikan kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah Al-Mumtahanah: 8)

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: Allah tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang lemah di antara mereka, iaitu dengan berlaku baik kepada mereka serta berbuat adil terhadap mereka. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/90)

Demikian juga terdapat nas-nas hadith yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW turut menjalankan aktiviti ekonomi dengan golongan bukan Islam. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daribapda Abdullah bin Mas’ud RA, katanya:

أَعْطَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْبَرَ اليَهُودَ: أَنْ يَعْمَلُوهَا وَيَزْرَعُوهَا، وَلَهُمْ شَطْرُ مَا يَخْرُجُ مِنْهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW memberikan tanah Khaibar kepada Yahudi untuk mengusahakannya dan bercucuk tanam padanya, mereka mendapat setengah apa yang terhasil daripadanya.”

Riwayat al-Bukhari (2285)

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا بِنَسِيئَةٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW membeli makanan dari orang Yahudi dengan pembayaran bertangguh dan menjaminnya dengan menggadaikan baju besi baginda.”

Riwayat al-Bukhari (2096)

Justeru, para fuqaha bersepakat bahawa akad jual beli yang sah tidak terkesan dengan perbezaan agama jika ia memenuhi syarat dan rukun jual beli tersebut. Maka tiada beza antara hukum berurusniaga sesama muslim atau muslim dengan bukan muslim. (Lihat Ahkam al-Ta’ayush Ma’a Ghayr al-Muslimin fi al-Mu’amalat wa al-Ahwal al-Syakhsiyyah, hlm 103 dan 125)

Walau bagaimanapun, hendaklah dengan syarat dalam urusniaga tersebut tidak mempunyai unsur-unsur membantu atau mendukung kekufuran dan kemaksiatan serta menyebabkan penghinaan terhadap agama Islam dan umat Islam.

Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Nawawi, katanya: “Seluruh umat Islam telah bersepakat mengenai keharusan urusan dengan ahli zimmah dan orang kafir yang lain selagi mana (urusniaga itu) tidak jatuh dalam perkara haram. Tetapi umat Islam tidak boleh (haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/40)

Jual Tanah Kepada Bukan Islam Untuk Perkuburan Mereka

Menjual tanah kepada orang bukan Islam bagi tujuan menjadikannya tanah perkuburan tidak termasuk dalam kategori membantu kekufuran atau kemaksiatan yang ditegah syarak. Hal ini kerana, mengebumikan mayat tanpa mengira Islam dan bukan Islam adalah dituntut sebagai menghormati kemuliaan jasad manusia. Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya:Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”

(Surah al-Isra’: 70)

Dalam peristiwa peperangan Badar, Rasulullah SAW tidak membiarkan mayat-mayat tentera musyrikin yang terbunuh bergelimpangan di atas tanah, tetapi baginda mengarahkan para sahabat supaya meletakkan mayat-mayat tersebut di dalam perigi kosong berdekatan. (Lihat Tahzib al-Athar, 2/517)

Hal ini menunjukkan bahawa dengan memudahkan pengebumian mayat orang bukan Islam tidak termasuk dalam perkara mungkar yang ditegah syarak.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, berdasarkan hujah yang kami kemukakan, kami menyatakan bahawa harus bagi orang Islam untuk menjual tanah bagi tujuan untuk dijadikan tanah perkuburan mereka. Hal ini bagi meraikan hubungan kemanusian selagi mana ia tidak menjejaskan akidah dan agama kita. Dr. Ahmad al-Syarbasi menyatakan di dalam kitabnya Yas alunaka fi al-Din wa al-Hayah: Islam merupakan agama bersifat sejagat dan kemanusiaan, menyeru untuk bermualamah secara baik, berjiran dan membina hubungan sesama manusia, sekalipun berlainan bangsa, warna kulit dan lain-lain. (Lihat Yas alunaka fi al-Din wa al-Hayah, 6/276-277)

Walaupun begitu, perlu dilihat terlebih dahulu keutamaan dalam penjualan tanah tersebut. Jika di sana terdapat keperluan umat Islam yang mesti didahulukan seumpama untuk pembinaan masjid atau perkuburan Islam, maka seharusnya tanah tersebut dijual kepada umat Islam. Selain itu, perlu juga diteliti kesesuaian kedudukan tanah tersebut sama ada ia wajar dijadikan tanah perkuburan bukan Islam atau tidak. Hal ini bagi mengelakkan timbul isu-isu sensitif yang melibatkan umat Islam atau agama lain jika ia dibuat di dalam kawasan yang berdekatan dengan tempat tinggal golongan yang tidak menganut agama tanah perkuburan tersebut. Akhirnya, kami menasihatkan agar hal seumpama ini dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 21 Mac 2022 bersamaan 18 Syaaban 1443H