#7028: Rasuah Untuk Mendapatkan Kuota Haji ٌ

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum mereka yang membayar sejumlah wang dan tidak menggunakan saluran yang betul bagi mendapat kuota untuk menunaikan haji ?Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”

 (Surah ali-Imran: 97)

Lafaz ‘الاسْتِطَاعَةُ’ yakni berkemampuan, yang dimaksudkan pada firman Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani semata-mata. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya. (Lihat al-Muhalla, 7/54; Subul al-Salam, 2/180)

Imam Ibn Kathir  berkata: “Adapun الاسْتِطَاعَةُ (kemampuan) adalah kemampuan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/364)

Dan diriwayatkan hadith daripada Umar R.A, bahawa seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW seraya berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ: الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda: Ada bekalan dan kenderaan.”

Riwayat al-Tirmizi (813) Ibn Majah (2896)

Dapat difahami melalui hadith di atas, bahawa kadar kemampuan yang mewajibkan seseorang tersebut untuk mengerjakan haji adalah apabila dia mempunyai bekalan makanan dan juga kenderaan untuk pergi dan pulang. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/457)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa tindakan memberikan sejumlah wang kepada pihak yang menguruskan haji tanpa melalui saluran yang betul untuk mendapatkan kuota dan permit haji adalah termasuk dalam kategori rasuah. Tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang negara, malah ia juga merupakan perbuatan yang haram menurut syarak. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

 Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)

Dalam hadith lain yang turut diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- الرَّاشِىَ وَالْمُرْتَشِىَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Riwayat Ahmad (6532, 6778, 6830), Abu Daud (3582) dan al-Tirmizi (1337)

Al-Fayumi dalam menyatakan tentang rasuah beliau menyebut : “Pemberi rasuah akan terjerumus dalam laknat, kecuali jika ia memberikan rasuah tersebut sebagai bentuk pertahanan terhadap kerugian yang dapat menimpanya. Jika pemberi rasuah bertujuan untuk membatalkan hak yang sah atau mencapai sesuatu yang salah, maka itulah pemberi rasuah yang dilaknat menurut sabda Rasulullah SAW. Namun, jika melalui rasuah tersebut ia mendapatkan hak atau menyingkirkan kezaliman terhadap dirinya, maka tindakan ini tidaklah haram. Manakala, penerima rasuahlah yang lebih ditegah dan  dilaknat.(Lihat Fath al-Qarib al-Mujib ala’ Targhib wa Tarhib,9/578 )

Dalam isu ini, mereka yang tidak berjaya atau tidak mampu untuk mendapatkan tasrih (permit haji) tidak diwajibkan ke atasnya mengerjakan haji. Ini  kerana mereka dianggap sebagai golongan yang tidak memenuhi syarat wajib haji iaitu al-Istita‘ah.

Syeikh Abdullah al-Tayyar menyatakan : permit haji adalah syarat wajib bagi haji. Oleh yang demikian,  sesiapa yang tidak mampu memperolehnya termasuk dalam umum firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”

 (Surah ali-Imran: 97)

Sesiapa yang menunaikan haji tanpa permit atau memperolehnya dengan cara muslihat seperti menipu, rasuah, atau cara-cara yang tidak sah, maka dia berdosa kerana melanggar peraturan yang ditetapkan untuk kepentingan umat. Namun, hajinya tetap sah. Sesiapa yang meninggal dunia sebelum memperoleh permit tersebut, dia tidak berdosa di sisi Allah SWT dan tidak dipertanggungjawab atas hal itu. Allah  Maha Penyayang dan tidak membebankan hamba-Nya dengan sesuatu yang mereka tidak mampu lakukan. (Lihat Fiqh al-Muyassar, 9/151-152)

Selain itu juga, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan pernah mengeluarkan beberapa resolusi berkaitan kemampuan dalam melaksanakan ibadah haji. Kami nukilkan sebahagian resolusi yang pernah diputuskan berkaitan istita’ah seperti berikut:

Mendapatkan kuota termasuk salah satu syarat istita’ah dalam melaksanakan ibadah haji. Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-26 Musim Haji 1432H/2011 memutuskan bahawa; (i) Berdasarkan fiqh awlawiyat, demi meraikan peruntukan kuota hendaklah memberikan keutamaan kepada orang yang belum pernah mengerjakan haji.

(ii) Mendapatkan kuota haji dikira sebagai syarat istita’ah (Lihat Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-26 Musim Haji 1432/2011, 2011)

Istita’ah amniah (اسْتِطَاعَةٌ أَمْنِيَّةٌ) (keamanan dan keselamatan) dalam ibadat haji merangkumi keselamatan dalam aspek berikut: nyawa; harta; kehormatan; kesihatan; perjalanan; tempat tinggal di Tanah Suci; dan pelaksanaan ibadat haji. (Lihat Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-37)[1]

Sebagai kesimpulannya, berdasarkan perbincangan yang telah dibawakan di atas, adalah jelas bahawa perbuatan memberi rasuah untuk mendapatkan kuota dan permit haji adalah salah dan diharamkan oleh syarak. Malah, perbuatan ini juga merampas hak orang lain secara zalim.

Mendapatkan kuota dan permit untuk menunaikan haji adalah termasuk dalam syarat wajib haji al-istita‘ah. Oleh itu, mereka yang tidak berjaya mendapatkannya tidak diwajibkan untuk mengerjakan haji.

Oleh itu, kami menasihatkan agar menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan permit haji dan bukan dengan cara yang salah seperti rasuah. Sebagai seorang Muslim, adalah penting untuk menjauhi segala perkara yang dilarang oleh syarak, terutamanya ketika ingin melaksanakan ibadah yang mulia seperti haji.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prod-th-assets.s3.ap-southeast-1.amazonaws.com/pdf/tab-content/0/2021-02-15/RESOLUSI%20MHPK%20KE%2037_15022021.pdf?Bjfmv45kJ3YAKcBHPe9Gn4nGzr1cBGi3=  Diaskses pada 27 Ogos 2026