#7029:  Was-Was Mandi Wajib selepas Sudah Yakin 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. ustaz Ketika kita mandi wajib dan kita yakin semua sudah rata apabila sudah solat zuhur, asar saya baru perasan ada tahi telinga bahagian zahir kuantiti yang sedikit melekat saya rasa saya sudah bersih,  jadi adakah mandi wajib itu sah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا

Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”

(Surah al-Maidah: 6)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 222)

Secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).

Sebagaimana yang kita maklumi bahawa mandi wajib tujuannya adalah untuk mengangkat hadas besar. Justeru, mandi wajib hendaklah dengan menggunakan air mutlak, yang boleh digunakan bagi mengangkat hadas dan membersihkan najis. Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).

Tambahan lagi, Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan beberapa contoh air mutlak. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh beliau bahawa air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh iaitu air laut, air hujan, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).

Para ulama telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan apabila anda sudah yakin sesuatu perkara, maka janganlah anda was-was lagi melainkan jelas menunjukkan adanya bahagian yang tidak terkena air. Maka, berbalik kepada sitasi di atas, kami nyatakan tidak perlu untuk anda mandi wajib semula kerana anda telah yakin bahawa air telah rata ke seluruh badan. Begitu juga, perlu kita tahu apabila kita mandi, kebiasaannya tahi telinga akan menjadi cair dan senang untuk keluar, maka boleh jadi tahi telinga yang keluar itu akibat mandi sebelum ini. Hal ini berdasarkan satu kaedah:

الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Keyakinan itu tidak akan hilang dengan adanya syak.”

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah aku dalam kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku dalam kalangan orang-orang yang bersuci.”

Wallahu a‘lam.