#7032: Pandangan Islam terhadap Penjualan Barangan Curi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum menjual barangan yang dicuri? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah : 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya).(Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami  katakan bahawa perbuatan mencuri iaitu mengambil harta orang lain secara batil adalah salah dan diharamkan oleh syarak. Oleh yang demikian, seseorang tidak dibolehkan untuk menjual barang atau apa-apa yang tidak dimiliki olehnya. Pengharaman menjual barang yang dicuri adalah kerana tindakan tersebut melibatkan penkhianatan dan pencerobohan terhadap pemilik asal barang tersebut. Oleh yang demikian segala transaksi jual beli yang melibatkan perkara yang haram adalah tidak sah dan terbatal.

Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat Muslim (2564)

Hadith ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli. (Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Dalam isu ini, Rukun redha dalam jual beli mensyaratkan bahawa pihak yang berakad mesti merupakan pemilik, atau mempunyai kuasa sebagai wakil atau wali; oleh itu, haram menjual barang yang dicuri kerana ia bukan milik penjual, maka kerelaan daripada pemilik asal tidak wujud; oleh sebab itu, jual beli tersebut batal. al-Muqaddimah fi Fiqh al- ‘Asr (2/362):

Syeikh Bin Baz pernah ditanya: Apabila seseorang mencuri sesuatu dan menjualnya kepada orang lain yang mengetahui bahawa barang itu dicuri, adakah terdapat dosa ke atas pembeli ? lalu Syeikh menjawab: sesiapa yang mengetahui bahawa barang yang dijual adalah barang curi, haram baginya untuk membelinya dan dia wajib menegur orang yang melakukan perbuatan tersebut serta menasihatinya agar mengembalikan barang itu kepada pemiliknya. Dia juga hendaklah meminta bantuan pihak berkuasa jika nasihat tidak berkesan. (Lihat Majmu‘ Fatawa wa Maqalat al-Mutanawwi‘ah, 19/91)

Turut disebutkan juga oleh Syeikh Abdullah al-Tayyar berkaitan isu ini bahawa: Antara syaratnya juga adalah jual beli bukan daripada perkara yang diharamkan, seperti menjual barang curian, barang yang dirampas, atau jual beli yang dilakukan secara paksa. (Lihat Fiqh al-Muyassar, 6/13)

Kesimpulannya, Islam menitikberatkan prinsip keadilan, amanah, dan penghormatan terhadap harta benda orang lain. Mengambil harta secara tidak sah, seperti mencuri atau menjual barang yang bukan milik sendiri, adalah dilarang keras. Sebarang transaksi jual beli yang melibatkan sumber haram adalah terbatal dan tidak sah di sisi syarak. Tambahan pula, tindakan ini juga boleh menjejaskan keberkatan rezeki seseorang. Oleh itu, umat Islam wajib menjaga hak orang lain dan memastikan setiap urusan yang melibatkan harta dilakukan dengan cara yang sah dan halal.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam