#7036: Sifat-Sifat Abu Talib

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang sifat-sifat Abu Talib, iaitu bapa saudara Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nama sebenar Abu Talib ialah ‘Abd Manaf bin Abdul Muttalib. Beliau ialah saudara kepada Abdullah, bapa kepada Rasulullah SAW. Beliau mempunyai anak-anak iaitu: Talib yang meninggal dunia dalam keadaan kafir, ‘Aqil, Ja’far, ‘Ali, dan Ummu Hani’ yang merupakan sahabat-sahabat Rasulullah SAW.

Abu Talib adalah seorang yang pemurah, tetapi beliau miskin dan mempunyai ramai anak. Abu Talib telah menjaga Nabi Muhammad SAW dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab selepas kematian datuk baginda ketika baginda berusia lapan tahun.

Abu Talib melihat kebaikan dan keberkatan pada diri Rasulullah SAW, dan Abu Talib sangat menyayanginya. Oleh itu, Abu Talib tidak tidur melainkan di sisi Rasulullah SAW, dan akan membawa baginda ke mana sahaja beliau pergi. Abu Talib pernah membawa baginda dalam satu perjalanan perniagaan ke Syam ketika baginda berusia dua belas tahun. Di sana, mereka bertemu dengan seorang rahib bernama Bahira yang mengenali baginda melalui tanda-tanda yang diketahui oleh ahli kitab.[1]

Abu Talib – seperti yang disebut oleh para sejarawan – adalah seorang pemimpin yang mulia, dihormati, dan berwibawa meskipun dalam keadaan miskin. Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa beliau berkata – seperti dalam satu riwayat –: “Ayahku menjadi pemimpin dalam keadaan miskin, dan tiada orang miskin yang pernah menjadi pemimpin sebelum ini.” (Lihat Tarikh al-Ya’qubi, 2/14; al-Kuna wa al-Alqab, 1/108)

Dikatakan tentang kemurahan hati dan kedermawanannya bahawa kaum Quraisy biasa memberi makan, tetapi apabila Abu Talib memberi makan, tiada seorang pun yang memberi makan pada hari itu selain daripadanya.  (Lihat Ansab al-Asyraf, 2/288; Lihat juga Nihayah al-Ijaz fi Sirah Sakin al-Hijaz, 1/477)

Dan beliau ialah orang pertama yang memperkenalkan hukum qasamah – ke atas wali-wali si terbunuh – pada zaman jahiliah dalam kes darah Amru bin Alqamah, kemudian diperakui oleh sunnah dalam Islam. (Lihat Sunan al-Nasa’ie, 8/4)

Al-Halabi menggambarkan beliau dengan berkata: Abu Talib adalah antara mereka yang mengharamkan arak ke atas dirinya sendiri pada zaman jahiliah seperti bapanya Abdul Muttalib. (Lihat Sirah al-Halabi, 1/184)

Sebelum kerasulan dan di Mekah, Abu Talib memegang dua jawatan penting iaitu al-Rifādah (menyambut tetamu haji) dan al-Siqāyah (membekalkan air kepada tetamu haji). (Lihat Tarikh al-Ya’qubi, 2/13)

Selain itu, beliau juga terlibat dalam perniagaan, di mana beliau membeli minyak wangi dan gandum, kemudian menjualnya. (Lihat al-Ma’arif oleh Ibn Qutaibah, 2/13)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Nota hujung:

[1] www.islamweb.net/ar/fatwa/8306/أبوطالبماتكافراً