#7039: Hikmah Penggembalaan Kambing Menurut al-Hafiz Ibn Hajar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang hikmah para Nabi kebanyakannya menggembala kambing seperti dalam riwayat al-Bukhari? Mungkin ada syarahannya yang tertentu oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا بَعَثَ اللَّهُ نَبِيًّا إِلَّا رَعَى الغَنَمَ. فَقَالَ أَصْحَابُهُ: وَأَنْتَ؟ فَقَالَ: نَعَمْ، كُنْتُ أَرْعَاهَا عَلَى قَرَارِيطَ لِأَهْلِ مَكَّةَ

Maksudnya: “Tidaklah Allah mengutus seorang Nabi, melainkan dia (pernah) mengembala kambing.” Lalu para sahabat Baginda bertanya: “Dan engkau?” Baginda bersabda: “Ya, aku dahulu pernah mengembala kambing dengan upah beberapa qirat (keping dinar) milik penduduk Makkah.”

Riwayat al-Bukhari (2262)

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam menjelaskan hadith ini menyebut seperti berikut:

Para ulama berkata, “Hikmah mengapa para nabi diberikan ilham untuk menggembala kambing sebelum diangkat menjadi nabi adalah agar mereka dapat melatih diri dengan menggembala kambing tersebut untuk menghadapi beban yang akan dipikul oleh mereka, iaitu meluruskan urusan umat mereka.

Selain itu, berada di tengah-tengah kumpulan kambing dapat melahirkan sifat santun dan kasih sayang. Kerana apabila mereka dapat bersabar menggembalakan kambing, mengumpulkannya setelah terpisah-pisah di tempat penggembalaan, memindahkannya dari satu tempat ke tempat lain, melindunginya daripada musuh seperti binatang buas atau pencuri, mengetahui perbezaan tabiatnya, mengetahui sifat kambing yang sering ingin berpisah-pisah walaupun keadaannya lemah dan sentiasa memerlukan pengawasan, nescaya mereka akan terbiasa bersabar menghadapi masyarakat, mengenali perbezaan tabiat serta tahap pemahaman mereka.

Dengan itu, mereka akan menutupi kekurangan, berlaku lembut terhadap yang lemah, dan mengawasi umat dengan baik. Memikul semua beban ini akan terasa ringan bagi mereka berbanding jika dibebankan tanpa latihan terlebih dahulu. Dengan adanya latihan awal seperti menggembala kambing, beban yang ada terasa dipikul sedikit demi sedikit

Latihan ini dikhususkan untuk kambing kerana kambing merupakan haiwan yang paling lemah berbanding haiwan lain. Selain itu, kambing lebih cenderung untuk berselerak berbanding unta atau lembu kerana unta dan lembu mungkin boleh ditambat dengan tali, berbeza dengan kambing yang lazimnya tidak ditambat. Akan tetapi, meskipun kambing suka berselerak, namun ia lebih mudah dan cepat untuk digiring berbanding haiwan lain.

Sikap Nabi SAW yang menyebutkan perkara ini setelah diketahui bahawa baginda adalah makhluk paling mulia di hadapan Allah SWT merupakan bukti keagungan sikap tawadhu (rendah hati) baginda terhadap Tuhannya serta pengakuan yang tegas akan pemberian Allah kepadanya, serta kepada saudara-saudaranya sesama nabi. Semoga selawat dan salam dari Allah dicurahkan kepada baginda serta para nabi. (Lihat Fath al-Bari, 13/31)

Selain itu, Rasulullah SAW juga ingin mengajar kepada kita agar berusaha dan mencari rezeki yang halal kerana ia adalah lambang kemuliaan seseorang tanpa mengharapkan bantuan dan ihsan serta meminta-minta daripada orang lain. Benarlah hadith Nabi SAW, seperti riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلَالَا اسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ ، وَسَعْيَا عَلَى أَهْلِهِ ، وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”