#7043: Komisen Transaksi Pertukaran Wang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Izinkan saya mengambilkan sedikit masa ustaz untuk menerangkan/menjawab persoalan saya ini, persoalan: Jika saya tukar duit syiling dengan mesin yang mengenakan commission sebanyak 0.50 sen bagi setiap RM10, adakah ini dikira riba? Contoh, saya masukkan duit kertas RM10 tetapi duit syiling yang saya terima adalah RM9.50 (RM 0.50: Commision) Pertolongan tuan/ustaz amat saya hargai…terima kasih. Semoga Allah SWT membalas budi tuan dengan rahmat-Nya.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Makan harta Riba adalah salah satu dosa besar yang amat tegas diancam hebat oleh Allah SWT di dalam al-Quran al-Karim. Orang makan harta Riba akan dibangkitkan dalam keadaan gila seakan disampuk syaitan, firman Allah ‘azza wajalla di dalam Kitab-Nya:

ٱلَّذِینَ یَأۡكُلُونَ ٱلرِّبَوٰا۟ لَا یَقُومُونَ إِلَّا كَمَا یَقُومُ ٱلَّذِی یَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّیۡطَـٰنُ مِنَ ٱلۡمَسِّۚ ذَ ٰ⁠لِكَ بِأَنَّهُمۡ قَالُوۤا۟ إِنَّمَا ٱلۡبَیۡعُ مِثۡلُ ٱلرِّبَوٰا۟ۗ وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَیۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰا۟ۚ فَمَن جَاۤءَهُۥ مَوۡعِظَةࣱ مِّن رَّبِّهِۦ فَٱنتَهَىٰ فَلَهُۥ مَا سَلَفَ وَأَمۡرُهُۥۤ إِلَى ٱللَّهِۖ وَمَنۡ عَادَ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِیهَا خَـٰلِدُونَ

Maksudnya: “Orang-orang yang makan harta Riba itu tidak akan bangkit melainkan sepertimana orang yang dipengaruhi syaitan kerana kerasukan. Demikian itu kerana mereka berani mendakwa bahawa jual-beli itu adalah sama sahaja dengan Riba. Sedangkan, Allah telah menghalalkan akad jual-beli, namun Allah mengharamkan Riba. Sesiapa yang datang arahan Tuhannya kepada dirinya maka dia berhenti melakukannya (Riba) maka urusniaga yang sebelum ini; semuanya adalah dimaafkan dan urusannya akan diserahkan kepada Allah. Sesiapa yang kembali melakukannya maka mereka itulah penghuni Neraka. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata ketika menafsirkan ayat di atas ini:“Allah Yang Maha Agung berfirman: “Orang-orang yang memakan riba sebagaimana yang telah kami  jelaskan keadaannya di dunia tidak akan bangun di akhirat dari kubur mereka melainkan seperti bangunnya orang yang dirasuk syaitan kerana penyakit gila, yang bermaksud: dirasuk oleh syaitan di dunia, iaitu syaitan yang mencekiknya lalu menjatuhkannya,”  ‘kerana penyakit gila,‘ yang bermaksud: akibat daripada kegilaan atau ” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 5/38)

Transaksi penukaran wang syiling ini merupakan suatu bentuk akad bay’ al-sarf (بَيْعُ الصَّرْفِ); iaitu jual beli mata wang yang sama jenis atau berlainan jenis seperti jual beli emas dengan emas, emas dengan perak, dinar dengan dinar, dan dirham dengan dirham termasuklah pertukaran wang kertas dengan wang syiling.

Prinsip dalam transaksi ini mestilah iaitu menukar/menjual item ribawi yang sama kategori (makanan atau mata wang) dan sama jenisnya seperti menjual emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam atau lain-lainnya akan menjadi sah apabila memenuhi dua syarat berikut:

  1. Mestilah sama kadar (سَواءً بسَواءٍ)
  2. Mestilah dilakukan dalam satu sesi (secara lani) dan bukan bertangguh (يَدًا بيَدٍ)

Perkara ini berdasarkan hadith ‘Ubadah bin al-Samit RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الذّهَبُ بِالذّهَبِ، وَالفِضّةُ بِالفِضّةِ، وَالبُرّ بِالبُرّ، وَالشّعِيرُ بِالشّعِيرِ، وَالتّمْرُ بِالتّمْرِ، وَالمِلحُ بِالمِلحِ، مِثْلاً بِمِثْلٍ، سَوَاءً بِسَوَاءٍ، يَداً بِيَدٍ، فَإذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ، فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ، إذَا كَانَ يَداً بِيَدٍ

Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara tunai (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara tunai”.

Riwayat Muslim (1587)

Riba menurut mazhab al-Syafi’i terbahagi kepada tiga kategori seperti mana yang dijelaskan oleh al-Khatib al-Syarbini di dalam kitab Mughni al-Muhtaj seperti berikut:

“(Riba itu) terbahagi kepada tiga jenis:

  1. Riba al-Fadhl iaitu jual beli yang wujud ketidakseimbangan/pertambahan nilai pada salah satu pihak antara dua pihak yang berurus niaga.
  2. Riba al-Yad iaitu penyerahan atau pemberian barangan secara tangguh bagi kedua-dua barang atau salah satu daripadanya.
  3. Riba al-Nasa’ (atau al-Nasi’ah) penukaran sesuatu secara bertangguh.”

Kesimpulan bagi intipati nas di atas adalah seperti jadual yang tertera berikut:

Jenis Riba Takrif/Definisi Contoh
Riba al-Fadhl Berlaku jual beli yang tidak sama kuantiti sedangkan kedua-duanya daripada jenis item yang sama. Menukar 5 gram emas jenis 999 dengan 6 gram emas jenis 916. Ia adalah haram kerana sepatutnya kedua-dua ditukar dengan kadar yang sama.
Riba al-Nasi’ah Apabila terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan item ribawi ataupun duit pembayaran secara sengaja; kemudian malah dikenakan bayaran tambahan. Menukar 5 kilogram beras dengan 10 kilogram gandum secara tangguh.
Riba al-Yad Riba yang berlaku disebabkan lewat menyerahkan item ribawi walaupun syarat penangguhan tidak diletakkan. Penukaran beras yang dilakukan secara lewat seperti keesokan harinya; dalam keadaan harga beras pada esok hari tidak sama dengan harga beras pada hari akad berlaku.

(Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/363)

Berhubung soalan di atas, kami nyatakan bahawa pertukaran wang kertas dengan duit syiling mestilah tetap menuruti dua syarat yang telah dinyatakan di atas bagi mengelakkan riba. Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata:“[Dan pertukaran al-naqd iaitu wang] seperti emas dan perak… [dengan wang adalah sama sahaja seperti pertukaran makanan dengan makanan] pada semua syarat yang telah dinyatakan; sama sahaja, baik pada pertukaran emas dengan emas atau perak dengan perak mestilah memenuhi 3 syarat (Tunai, sama nilai/kadar, dan terima secara lani dan tidak bertangguh), (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 4/279)

Jika tidak, maka sesebuah transaksi itu akan terlibat dengan Riba. Bagi akad pertukaran wang tunai dengan wang syiling beserta komisyen yang diambil sebanyak RM0.50 bagi setiap RM10.00 yang diajukan di dalam soalan di atas, akad tersebut adalah Haram di sisi syarak kerana mempunyai unsur Riba al-Fadhl. Hal yang demikian adalah kerana bayaran yang dikenakan adalah bakal menjadi lebih tinggi berbanding jumlah duit yang akan diperoleh; sedangkan sepatutnya kedua-dua pihak (pemberi dan penerima) akan mendapat nilai yang sama.

Kami menasihatkan agar tidak terlibat atau melakukan transaksi seperti yang disebutkan di dalam soalan di atas. Betapa dahsyatnya dosa pemakan Riba kerana ia telah diisytiharkan sebagai mereka yang memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT berkenaan akibat pemakan harta Riba:

 فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ

Maksudnya: “Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat).”

(Surah al-Baqarah: 279)

Imam Ibn Kathir menukilkan bahawa Imam Ali bin Abi Talhah berkata: “Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RAnhuma, katanya ‘ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ’, maksudnya siapa yang sentiasa berada dengan riba, dan dia tidak meninggalkannya, maka menjadi hak kepada pemerintah orang Islam untuk memintanya untuk bertaubat. Jika dia bertaubat, maka alhamdulilah, sebaliknya jika dia enggan, maka hendaklah dipancung lehernya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/550)

Kebenaran Komisen Dalam Akad Bay‘ al-Sarf

Pengenaan cas kos tambahan hanya dibenarkan sekiranya kita mewakilkan seseorang untuk menukar duit kita dengan sekian jumlah/atau kita tukar duit di tempat-tempat yang diakui sebagai wakil semata bagi agensi pertukaran duit, kemudian kita mendapat jumlah yang sama. Selepas itu, pihak wakil tersebut mengenakan cas upah atas khidmat mengusahakan pertukaran yang dilakukannya tadi. Ini dibolehkan berdasarkan akad al-wakalah bi al-ujrah (الْوَكَالَةُ بِالْاُجْرَةِ).

Imam Muhyiddin al-Nawawi rahimahullah memfatwakan: “Apabila kami nyatakan: akad wakalah adalah harus, yang kami maksudkan adalah hukum asalnya iaitu akad wakalah tanpa sebarang janji upah. Adapun jika telah disyaratkan sekian sekian nilai yang dimaklumi sebagai upah, dan cukup syarat-syarat al-ijarah (wujud perusahaan yang diusahakan), dan terlaksana dengan lafaznya; maka wajib upah tersebut dipenuhi.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 4/332)

Hanya dengan akad al-wakalah bi al-ujrah di atas ini sahaja, pengenaan cas tambahan yang menyebabkan pulangan pertukaran itu berkurang adalah dibenarkan. Cas tersebut yang dimaklumi dan dipersetujui sejak awal itu juga mesti dibayar dan dipenuhi sepertimana yang difatwakan menurut muktamad Imam al-Nawawi di dalam kitab Raudhah di atas.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang bertaubat, jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang pembersih, dan jadikan kami dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Wallahu a‘lam.