#705: Pahala Membaca al-Quran Melalui Smartphone

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah membaca al-Quran di Smartphone mengurangkan pahala membaca al-Qurannya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bi Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.”

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Selain itu, di antara kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadith yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.”

Riwayat Muslim (804)

Membaca al-Quran di dalam Smartphone.

Dalam membaca al-Quran, yang lebih utama adalah dengan melakukannya dengan kekhusyukan dan tadabbur. Jika seseorang itu boleh menambah kekhusukan dengan membaca alQuran melalui hafazan, maka inilah yang lebih utama. Jika seseorang itu boleh menambah kekhusukannya adalah dengan membaca al-Quran melalui mushaf atau dengan Smartphone maka itulah yang lebih utama.

Imam al-Nawawi berkata di dalam kitab al-Azkar: “Membaca Al Qur’an dengan membuka mushaf lebih utama daripada membaca dengan hafazan sebagaimana yang dinyatakan di dalam mazhab kami, pendapat ini juga terkenal dalam kalangan salaf, namun hal ini bukanlah segalanya. Bahkan jika seseorang itu membaca al-Quran dengan hafazannya dalam keadaan mampu menghadirkan tadabbur, tafakkur, menyatukan hatinya lebih banyak daripada membaca mushaf, maka membaca dengan hafazan adalah lebih utama. Namun jika dia membaca melalui mushaf ataupun hafazan dalam keadaan yang sama sahaja maka membaca dengan mushaf adalah lebih utama, inilah yang dimaksudkan oleh generasi salaf.” (Lihat al-Azkar, hlm. 90-91)

Syeikh Abdul Aziz Bin Baz menyatakan:  Dalam pembacaan al-Quran, yang disyariatkan adalah mentadabburinya dan menghadirkan hatinya ketika membacanya, sama ada dengan membaca daripada mushaf ataupun dengan hafazan. Yang dinamakan membaca adalah jika dia mendengar bacaannya. Tidak cukup hanya membaca dengan mata tanpa melafazkannya. Sunnah bagi yang membaca al-Quran adalah dengan bersuara dan mentadabburinya, sebagaimana firman Allah SWT:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

(Surah Sad: 29)

Allah SWT berfirman:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Maksudnya: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

Jika membaca al-Qur’an dengan hafazan lebih memberikan kekhusyukan bagi hatinya dan lebih dekat kepada tadabbur al-Qur’an, maka hal itu adalah lebih utama. Dan jika membaca daripada mushaf lebih memberikan kekhusyukan bagi hatinya dan lebih sempurna tadabburnya maka hal itu adalah lebih utama” (Lihat Majmu’ Fatawa, 24/352)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa jika membaca al-Qur’an melalui Smartphone lebih mendatangkan kekhusyukan dan tadabbur, maka ia tidak akan mengurangi pahala seseorang itu daripada membaca dengan melihat mushaf. Yang paling utama adalah dengan menghadirkan hati dan merasakan manfaatnya daripada al-Qur’an.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 22 Mac 2022 bersamaan 19 Syaaban 1443H