#706: Keutamaan Antara Puasa Qadha’ Ramadhan dan Puasa Nazar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Antara puasa qadha’ Ramadhan dan puasa Nazar, yang mana perlu diutamakan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Puasa qadha’ Ramadhan ialah puasa yang dilakukan untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan ramadhan sama ada secara uzur ataupun dengan sengaja. Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.

Sesiapa yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, dia telah berdosa dan wajib mengqadha’nya (menggantikannya) sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنِ اسْتَقَاءَ فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ

Maksudnya:Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah mengqadha’nya.

Riwayat Abu Dawud (2380), al-Tirmizi (720), al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra (3130), Ibn Majah (1676), dan Ahmad (10463). Al-Nawawi di dalam al-Majmu’ (6/315) menyatakan hadith ini berdasarkan jalur dan syawahidnya, adalah hadith hasan.

Hal ini kerana mereka yang meninggalkan puasa dengan keuzuran seperti sakit dan musafir pun diwajibkan ke atas mereka menggantikannya semula, maka lebih-lebih lagi lah (min bab al-Aula) bagi mereka yang sengaja berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran. Begitu juga, mereka perlu menahan diri daripada makan dan minum (selepas berbuka dengan sengaja) sehinggalah waktu berbuka serta wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/200)

Nazar Untuk Berpuasa

Nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai :

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.” (Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)

Hukum melaksanakan tuntutan nazar adalah wajib sekiranya ia merupakan suatu amal ketaatan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.

(Surah Al-Hajj: 29)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.

Riwayat Al-Bukhari (6696)

Para ulama menyatakan bahawa nazar mempunyai tiga rukun iaitu :

  • Sighah(bentuk ucapan).
  • Orang yang melakukan nazar (الناذر)
  • Perkara yang dinazarkan (المنذور)

Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili dalam menghuraikan rukun yang pertama iaitu sighah menyatakan : ‘’Ia (sighah) adalah ucapan yang terbit dari pelaku nazar. Dan tidak sah nazar melainkan dengan perkataan. Iaitu seseorang itu mengucapkan : ‘’Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’. Sekiranya seseorang itu menyebut : ‘’Ke atas diriku perbuatan sekian-sekian’’, maka nazarnya sah. Ini kerana, perbuatan ibadah itu tidak berlaku melainkan hanya untuk Allah semata-mata’’. Yang paling lengkap dalam sighah nazar ini sebagai contoh adalah : ‘’Sekiranya Allah menyembuhkan sakitku ini, maka untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian’’. Dan disyaratkan juga pada sighah supaya dilakukan dengan lafaz yang menunjukkan kepada iltizam (kesungguhan).

Wajib bagi seseorang yang bernazar menunaikan apa yang di nazarkan berdasarkan apa yang disebut ketika bernazar dengan berlandaskan syarak. Ini seperti nazar untuk berpuasa, Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan lagi:  “Apabila seseorang itu bernazar puasa sepertimana yang diucapkan contohnya “Demi Allah aku akan berpuasa” atau “aku akan berpuasa pada hari berikut dan berikut” maka wajib dia menunaikan puasanya seperti yang dinazarkan. Dan begitu juga kalau ia bernazar dengan berpuasa sama ada bilangan hari ataupun nama hari yang ditetapkan”. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/505)

Pertembungan Antara Puasa Qadha’ Ramadhan dan puasa nazar

Pada asalnya, hukum berpuasa selain daripada bulan Ramadhan itu adalah sunat, dan menjadi wajib apabila ia dinazarkan. Namun begitu, sekiranya berlaku pertembungan antara puasa nazar dan puasa qadha’ Ramadhan, hendaklah didahulukan qadha puasa Ramadhan berbanding puasa nazar. Hal ini kerana perintah melaksanakannya lebih utama dan lebih kuar berbading puasa nazar. Allah SWT berfirman:

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, menyatakakan:  “Para ashab kami (al-Syafieyyah) berkata: Apabila seseorang bernazar untuk berpuasa setahun, maka nazarnya sah tanpa khilaf dan wajib baginya untuk menepati nazar itu tanpa khilaf, dan dikecualikan baginya untuk berpuasa pada Hari-Hari Raya, Hari-Hari Tasyriq, Bulan Ramadhan dan hari-hari qadha Ramadhan itu.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/391)

Hal ini kerana menangguhkan qadha Ramadhan sehingga melangkau Ramadhan yang baharu, tanpa keuzuran adalah haram. Sedangkan nazar tidak boleh dibuat bagi perkara yang haram. Keutamaan ini sesuai dengan kaedah fiqh:

إذَا تَعَارَضَ وَاجِبَانِ أَوْ حَرَامَانِ قُدِّمَ آكَدُهُمَا

Maksudnya:Jika bertembung antara dua perkara yang wajib, atau antara dua perkara yang haram, maka didahulukan perkara yang mana lebih kuat.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra (1/165)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum puasa nazar adalah wajib ditunaikan. Namun begitu, sekiranya berlaku pertembungan antara puasa nazar dan qadha’ puasa Ramadhan dalam keadaan waktu ramadhan yang akan datang hampir tiba, maka mestilah di dahulukan puasa qadha’ Ramadhan sebagaimana hujah yang kami nyatakan.

Kami juga mengambil kesempatan untuk menasihatkan supaya menqadha’kan puasa ramadhan sesegera mungkin sekiranya tidak ada keuzuran yang menghalang. Begitu juga dengan puasa nazar, kami menasihatkan juga supaya tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri untuk ditunaikan di masa depan. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.”

Riwayat Muslim (1640)

Ibn Qudamah mengatakan: “Tidak digalakkan untuk bernazar. Hal ini kerana Ibn Umar R.Anhuma berkata bahawa  Nabi SAW melarang untuk bernazar sambil bersabda, “Hal ini kerana nazar tidak mendatangkan kebaikan dan sesungguhnya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil. Hal ini menunjukan bahawa ia adalah larangan makruh dan bukan larangan haram. Sekiranya nazar itu haram, Allah SWT tidak akan memuji orang yang menunaikan nazar kerana dosa mereka ketika terjerumus pada yang haram itu lebih berat dibandingkan dengan ketaatannya dalam menunaikan (janjinya). Sekiranya nazar itu digalakkan, pasti Nabi SAW dan para sahabat yang mulia akan melakukannya. (Lihat al-Mugni, 10/68)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 22 Mac 2022 bersamaan 19 Syaaban 1443H