#707: Makan dan Minum Ketika Puasa Qadha’

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, ketika sedang berpuasa qadha’ untuk Ramadhan yang lepas, saya telah makan dan minum dalam keadaan terlupa, adakah sah puasa saya? Hal ini kerana saya pernah terdengar, jikalau seseorang itu berpuasa selain Ramadhan dan telah makan dan minum dalam keadaan lupa, maka dia tidak boleh meneruskan puasa tersebut, kerana hadith yang menyuruh untuk sempurnakan puasa adalah khusus untuk Ramadhan. Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Puasa qadha’ Ramadhan ialah puasa yang dilakukan untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan ramadhan sama ada secara uzur ataupun dengan sengaja. Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.

Manakala orang yang meninggal dunia sebelum mengqadha’ puasanya, sedangkan dia mampu melakukannya, walinya sunat berpuasa bagi pihaknya, menggantikan puasanya yang tertinggal. Maksud wali dalam perkara ini ialah keluarga si mati. Hal Ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya:Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan dia masih mempunyai kewajipan berpuasa, walinyalah berpuasa bagi pihaknya.”

Riwayat al-Bukhari (1851) dan Muslim (1147)

Manakala, orang yang sangat tua dan tidak berupaya berpuasa, wajib baginya untuk bersedekah setiap hari secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya sebanyak hari yang dia tidak berpuasa. Hal ini berdasarkan riwayat, daripada Ata’ yang mendengar Ibn Abbas R.Anhuma membaca al-Quran:

وَعَلَى الَّذِيْنَ يُطِيْقُوْنَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِيْنٍۗ

Maksudnya: Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah, iaitu memberi makan orang miskin.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Ibn Abbas berkata:

لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ، هُوَ الشَّيخُ الْكَبِيرُ، وَالْمَرْأَةُ الْكَبِيرَةُ، لاَ يَسْتَطِيعَانِ أَنْ يَصُومَا، فَيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

Maksudnya:Ayat tersebut tidak dimansukhkan. Ia ditujukan kepada lelaki dan perempuan yang sangat tua dan tidak terdaya berpuasa. Mereka hendaklah memberi makan seorang miskin sebanyak hari dia tidak berpuasa.

Riwayat al-Bukhari (4235)

Begitu juga kepada orang sakit yang tiada harapan sembuh, harus berbuka dan wajib bersedekah secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya bagi hari-hari dia tidak berpuasa, sebagaimana orang tua tidak berdaya berpuasa. Manakala perempuan yang mengandung dan menyusui bayi berbuka sama ada kerana bimbangkan kesihatan dirinya atau kesihatan bayinya, Jika dia berbuka, dia wajib qadha’ sahaja sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Anas al-Ka’biy RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ، وَعَنِ الْحَامِلِ أَوِ الْمُرْضِعِ الصَّوْمَ

Maksudnya:Allah SWT meringankan puasa dan memendekkan solat bagi orang yang bermusafir, sementara perempuan mengandung dan yang menyusukan anak, Allah meringankan puasanya sahaja.

Riwayat al-Tirmizi (715) dan Abu Dawud (2408)

Sesiapa yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, dia telah berdosa dan wajib mengqadha’nya (menggantikannya) sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنِ اسْتَقَاءَ فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ

Maksudnya: “Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah mengqadha’nya.”

Riwayat Abu Dawud (2380), al-Tirmizi (720), al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Kubra (3130), Ibn Majah (1676), dan Ahmad (10463)

Hal ini kerana mereka yang meninggalkan puasa dengan keuzuran seperti sakit dan musafir pun diwajibkan ke atas mereka menggantikannya semula, maka lebih-lebih lagi lah (min bab al-Aula) bagi mereka yang sengaja berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran. Begitu juga, mereka perlu menahan diri daripada makan dan minum (selepas berbuka dengan sengaja) sehinggalah waktu berbuka serta wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/200)

Qadha puasa wajib dilakukan jika meninggalkan puasa secara sengaja atau melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Ini berdasarkan perbuatan Aisyah yang diriwayatkan oleh Abu Salamah. Kata beliau :

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَهُ إِلاَّ فِي شَعْبَانَ ، الشُّغْلُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: ”Pernah ada puasa daripada bulan Ramadhan yang sepatutnya aku ganti. Aku tidak mampu untuk menqadha’nya kecuali pada bulan Sya’ban. Juga daripada (bersama) dengan Rasulullah SAW.”

Riwayat Muslim (2657)

Makan dan Minum Kerana Terlupa Ketika Berpuasa

Makan dan minum termasuk dalam kategori perbuatan yang membatalkan puasa. Begitu banyak nas dan riwayat yang menjelaskan hal ini antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda di dala hadith Qudsi, Allah SWT berfirman:

الصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَأَكْلَهُ وَشُرْبَهُ مِنْ أَجْلِي

Maksudnya: ‘Puasa adalah untuk-Ku dan Aku yang mengganjarinya. Dia meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumnya kerana Aku…”

Riwayat Al-Bukhari (7492), Muslim (1151), al-Tirmidzi (764), al-Nasa’ie (2215), Ibn Majah (1638), dan Ahmad (10693)

Meskipun begitu, tidaklah dinamakan manusia melainkan kerana sifat pelupa yang ada pada dirinya seperti yang disebutkan oleh sebahagian ulama. Oleh kerana itu, secara umumnya Allah SWT mengangkat dosa ke atas setiap perbuatan yang dilakukan dalam keadaan seseorang itu terlupa.

Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Al-Ghifari RA katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.

Riwayat Ibn Majah (2043)

Namun sekiranya perbuatan makan dan minum tersebut dalam keadaan terlupa atau tidak sengaja adalah dimaafkan sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ

Maksudnya: Sesiapa yang terlupa, sedang dia berpuasa, lalu dia makan dan minum, dia hendaklah meneruskan puasa. Sesungguhnya Allah SWT yang memberinya makan dan minum itu.”

Riwayat al-Bukhari (1933) dan Muslim (1155)

Dalam isu ini, tidak ada perbezaan antara puasa Ramadhan, puasa sunat, puasa qadha’ Ramadhan, puasa nazar ataupun puasa sunat berdasarkan umum daripada hadith ini. Imam al-Syafi’ie berkata, “Jika orang yang berpuasa makan atau minum di bulan Ramadhaan, atau ketika puasa nazar, puasa kaffarah, puasa wajib disebabkan perkara lain, ataupun puasa sunat kerana terlupa, maka puasanya sempurna, dan tidak wajib baginya untuk mengqadha’kan puasanya.” (Lihat al-Umm, 2/75)

Syeikh Abdul Aziz bin Baz pula menyatakan, “Sekiranya seseorang itu makan dan minun kerana terlupa ketika berpuasa Ramadhan, atau selainnya, sama ada puasa sunat, qadha atau nazar ataupun berjimak kerana terlupa, maka tidak ada kewajiban apa-apa baginya, berdasarkan hadith Nabi SAW, “Sesiapa yang terlupa ketika berpuasa, kemudian dia makan dan minum, maka hendaklah dia sempurnakan puasanya, sesungguhnya Allah sedang memberinya makan dan minum.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 16/479)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa jikalau seseorang itu makan dan minum dalam keadaan terlupa walaupun ketika puasa qadha’ ataupun puasa yang lain, maka puasa tersebut sah dan hendaklah disempurnakan sehingga berbuka sebagaimana yang disebut sendiri oleh Imam al-Syafi’e di dalam kitab al-Umm.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 22 Mac 2022 bersamaan 19 Syaaban 1443H