#7063:  Adat Penyembahan kepada Unsur-unsur Alam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, dalam sesetengan masyarakat, terdapat adat penyembahan kepada unsur-unsur alam seperti gunung, pokok, sungai dan sebagainya, apakah pandangan islam berkaitan hal ini?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa”

(Surah al-Ikhlas: 1)

Abu Hayyan al-Andalusi menjelaskan bahawa kalimah Ahad (Esa) yang terkandung pada ayat 1 surah al-Ikhas ini memberikan maksud bahawa zat dan sifat Allah SWT itu adalah bersifat dengan Esa, tidak berjuzu’-juzu’. Sya’labi menjelaskan bahawa kalimah Wahid (satu) dan Ahad (Esa) mempunyai perbezaan yang ketara. Perkataan Wahid (satu) dalam bilangan biasa menunjukkan kepada bilangan yang boleh bertambah kepada dua, tiga dan sebagainya. Kalimah Ahad (Esa) membawa kepada makna keesaan semata-mata. Kerana itulah kalimah Ahad ini hanya disandarkan kepada Allah SWT semata-mata, tidak kepada mana-mana makhluk yang lain. Tambahan dari itu, al-Alusi menyatakan bahawa kalimah Ahad ini membawa maksud keesaan Allah SWT yang sememangnya sesekali tidak mempunyai bahagian-bahagian sepertimana kejadian makhluk ini.  (Lihat al-Bahr al-Muhit fi al-Tafsir, 10/570)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa dalam sesetengah masyarakat, terdapat amalan adat yang melibatkan penyembahan atau meminta pertolongan daripada unsur-unsur alam seperti gunung, sungai, atau pokok. Amalan ini dikategorikan sebagai syirik akbar dan dilarang keras dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda:

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ

Maksudnya: “Dosa besar yang paling besar, adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.”

Riwayat al-Bukhari (6919)

syirik terbahagi kepada dua jenis antaranya ialah  syirik akbar iaitu menyamakan sesuatu selain Allah dengan Allah dalam perkara-perkara yang menjadi hak Allah. Syirik ini tidak akan diampunkan oleh Allah kecuali dengan taubat, dan sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan membawa syirik ini, dia akan kekal selama-lamanya di dalam neraka untuk selama-lamanya. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram, 4/513)

Begitu juga dalam ‘Aqidah al-Tauhid, (hlm. 74) menyatakan: Syirik (mempersekutukan Allah) dikatakan dosa besar yang paling besar dan kezaliman yang paling besar, kerana ia menyamakan makhluk dengan Khaliq (Pencipta) pada hal-hal yang khusus bagi Allah SWT. Sesiapa yang menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu, maka dia telah menyamakannya dengan Allah dan ini sebesar-besar kezaliman. Zalim adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. (Lihat ‘Aqidah al-Tauhid, hlm. 74)

Oleh itu, adat penyembahan unsur-unsur alam dianggap syirik kerana dalam konteks perbahasan aqidah, sekutu bererti mendakwa bahawa wujudnya entiti lain yang turut sama menguasai sekalian alam ini. Perbuatan ini jelas satu kesyirikan yang sangat ditegah oleh Allah SWT sebagaimana dalam firman-Nya:

فَلَا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَندَادًا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Maka janganlah kamu menyekutukan Allah sedangkan kamu mengetahui tentang keesaan-Nya.”

(Surah al-Baqarah: 22)

Maksudnya, janganlah menjadikan sekutu bagi Allah SWT atau menyamakan-Nya dengan mana-mana makhluk, sehingga sekutu tersebut disembah sebagaimana Allah disembah, dicintai sebagaimana Allah dicintai. Makhluk-makhluk itu sama seperti kita, diciptakan oleh Allah SWT, dikurniakan rezeki, dan diatur oleh-Nya. Mereka tidak memiliki apa pun di langit dan di bumi walaupun sekecil zarah, serta tidak mampu memberi manfaat atau mendatangkan mudarat. Oleh itu, tidak boleh sama sekali kita menyekutukan Allah, sedangkan kita tahu bahawa tiada teman atau sekutu bagi-Nya—tidak dalam penciptaan, pemberian rezeki, pengurusan, atau penyembahan.

Jika hakikat ini telah jelas kepada kita, iaitu tiada satu pun yang serupa atau berkongsi sifat Ketuhanan dengan Allah SWT, maka ia merupakan bukti logik yang paling jelas tentang Keesaan-Nya dan kebatilan syirik.(Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 44)

Justeru, amalan atau adat yang melibatkan penyembahan unsur-unsur alam seperti pokok, gunung-ganang dan sebagainya adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Malah, amalan tersebut dikategorikan sebagai syirik yang boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam. Kami ingin menasihati bahawa sebagai seorang Muslim, adalah penting untuk memperkukuhkan akidah agar tidak terpesong kepada perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Ingatlah bahawa ancaman melakukan syirik adalah sangat berat sehingga Allah tidak akan mengampuni perbuatan tersebut. Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 48)

Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, (3/129) berkata: “Allah Ta’ala tidak akan mengampuni dosa syirik yaitu ketika seorang hamba bertemu Allah dalam keadaan berbuat syirik.”

Menurut Ibn al-Jauzi, Allah tidak akan mengampuni orang yang musyrik yang mati dalam kesyirikan.. (Lihat Zad al-Masir, 2/103)

Saya teringat sebuah kisah pada zaman Rasulullah SAW berkenaan dengan satu berhala. Ia dikenali sebagai ‘Amu Anas (“عم أنس”) iaitu berhala Khawlan, yang terletak di tanah Khawlan. Setiap tahun, ia menerima bahagiannya yang ditetapkan daripada ternakan dan tanaman. Ibn al-Kalbi menyebut bahawa mereka yang menyembahnya daripada Khawlan adalah satu kumpulan yang dipanggil “al-Adum” dan mereka adalah al-Asum. Mengenai mereka, ayat ini diturunkan:

وَجَعَلُوا لِلَّهِ مِمَّا ذَرَأَ مِنَ الْحَرْثِ وَالْأَنْعَامِ نَصِيبًا فَقَالُوا هَذَا لِلَّهِ بِزَعْمِهِمْ وَهَذَا لِشُرَكَائِنَا فَمَا كَانَ لِشُرَكَائِهِمْ فَلا يَصِلُ إِلَى اللَّهِ وَمَا كَانَ لِلَّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَى شُرَكَائِهِمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

Maksudnya: “Dan mereka menjadikan bagi Allah sebahagian daripada apa yang Dia ciptakan daripada tanaman dan ternakan, lalu mereka berkata: “Ini untuk Allah menurut anggapan mereka, dan ini untuk sekutu-sekutu kami.” Maka apa yang untuk sekutu-sekutu mereka tidak sampai kepada Allah, dan apa yang untuk Allah, maka ia sampai kepada sekutu-sekutu mereka. Amat buruklah apa yang mereka tetapkan itu.”

(Surah al-An’am: 137)

Dan mereka membahagi sebahagian daripada haiwan ternakan dan hasil tanaman mereka antara dia dan Allah mengikut sangkaan mereka. Maka apa yang masuk dalam hak Allah daripada hak ‘Amu Anas, mereka pulangkan kepadanya, dan apa yang masuk dalam hak berhala daripada hak Allah yang mereka namakan untuknya, mereka tinggalkan untuknya.

Berhala ini disebut dalam kisah “Delegasi Khaulān yang datang kepada Rasulullah pada bulan Sya’ban tahun kesepuluh Hijrah”; Rasulullah bertanya kepada mereka: “Apa yang terjadi kepada ‘Amu Anas?”, mereka menjawab: “Ia telah musnah dan hancur, Allah telah menggantikannya untuk kami, dan jika kami kembali kepadanya, kami akan meruntuhkannya.”

Namun, masih ada di kalangan kami beberapa orang tua lelaki dan perempuan yang masih berpegang teguh kepadanya. Mereka telah mempersembahkan korban kepadanya walaupun pada hari-hari kesusahan dan masa-masa ujian; sebagai tanda mendekatkan diri kepadanya. Mereka berkata kepada Rasul ketika beliau bertanya: “Apakah yang paling hebat yang kamu lihat dari fitnahnya?” “Kami telah melihat diri kami dan peralatan kami sehingga kami memakan daging busuk, lalu kami mengumpulkan apa yang kami mampu, dan membeli seratus ekor lembu, dan menyembelihnya sebagai korban untuk ‘Amu Anas pada pagi yang sama, dan kami membiarkannya dimakan oleh binatang buas, sedangkan kami lebih memerlukannya daripada binatang buas, lalu hujan turun pada saat itu juga, kami melihat rumput menutupi lelaki, dan salah seorang dari kami berkata: ‘Amu Anas telah memberkati kami.” Dan mereka memberitahunya bahawa mereka membahagikan ternakan dan tanaman mereka untuk berhala ini. Mereka juga memperuntukkan sebahagian daripadanya untuknya.” (Lihat al-Mufassal fi Tarikh al-’Arab Qabla al-Islam, 11/165)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”

Wallahu ‘Alam