#7066:  Adakah Maksiat Seperti Mengumpat dan Memfitnah Membatalkan Puasa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah puasa boleh terbatal dengan perbuatan maksiat seperti mengumpat atau memfitnah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Berdasarkan pandangan al-Maraghi, kewajipan berpuasa dan melaksanakan amalan dalam bulan Ramadhan, serta menahan nafsu syahwat, bertujuan untuk mempertingkatkan rasa takwa kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/68)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa seorang yang mengerjakan ibadah puasa  hendaklah menjaga diri daripada melakukan perbuatan yang mencemarkan ibadah tersebut itu dengan tidak melakukan maksiat. Ini kerana perbuatan maksiat dapat mengurangkan pahala ibadah puasa, akan tetapi ia tidaklah membatalkan ibadah tersebut melainkan ia melibatkan perkara-perkara yang membatalkanya.

Dalam isu ini, diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ والعَمَلَ به، فليسَ لِلَّهِ حاجَةٌ في أنْ يَدَعَ طَعامَهُ وشَرابَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan masih melakukannya (berkata dusta), maka Allah SWT tidak berhajat (tidak menerima) kepada perbuatannya yang meninggalkan makan dan minumnya (yakni puasanya).”

Riwayat al-Bukhari (1903)

Rasulullah SAW telah menegaskan tujuan utama puasa, iaitu menahan diri daripada perkara yang haram sebelum menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa. Baginda bersabda,  ‘Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata keji ‘—yang bermaksud kata-kata kotor dan dusta, serta mengumpat, memfitnah, dan seumpamanya, maka tidak ada kebaikan dalam puasanya. Ia tidak memberi manfaat kepadanya, dan Allah tidak akan menerima amalannya yang meninggalkan makan dan minum. Memang benar bahawa meninggalkan puasa adalah melanggar kehormatan dan hak Allah, manakala kata-kata dusta dan seumpamanya melanggar hak Allah dan hak manusia. Jika dosa kata-kata keji dan perbuatan lidah dan tangan ditimbang dengan pahala puasa, dosa tersebut akan lebih berat, dan orang yang berpuasa akan pulang dengan tangan kosong. Minha al-Hadith fi Syarh al-Hadith, 2/230-231)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Jika seseorang mengumpat ketika berpuasa, dia telah melakukan maksiat tetapi puasanya tidak terbatal menurut pandangan kami. Ini juga merupakan pendapat Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad, dan keseluruhan ulama.(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/356)

Begitu juga, al-Imam Taqiyuddin al-Subki al-Syafi‘i menyebutkan bahawa: Menjauhi perkara yang membatalkan puasa adalah wajib. Terdapat perbezaan pandangan di kalangan ulama berkaitan mengumpat dan seumpamanya sama ada ia membatalkan puasa atau tidak. Jumhur ulama berpendapat bahawa ia tidak membatalkan puasa. Oleh itu, menjauhinya segala perbuatan maksiat serta perkara makruh yang tidak membatalkan puasa menurut ijmak ulama adalah bertujuan bagi menyempurnakan dan melengkapkan puasa. Namun, sebahagian ulama berpendapat bahawa semua perbuatan maksiat boleh membatalkan puasa (Lihat Fatawa al-Subki, 1/222)

Selain itu juga, Syeikh ibn Baz menyatakan bahawa: Puasa itu sah, tetapi ia berkurang dengan perbuatan maksiat. Maksiat mengurangkan nilai puasa, mengurangkan nilai ibadah, dan mengurangkan keimanan. Semua perbuatan maksiat mengurangkan keimanan dan melemahkannya, tetapi ia tidak membatalkan puasa. Jika seseorang berpuasa dan melakukan maksiat seperti menipu, mengumpat, atau berbohong, puasanya tetap sah, tetapi ia menjadi kurang sempurna. Puasanya tidak sama dengan orang yang dilindungi Allah daripada melakukan maksiat tersebut. (Lihat Fatawa Nur ‘ala Darb, 16/310)

Justeru, berdasarkan perbincangan di atas, dapat difahami bahawa perbuatan maksiat seperti berbohong, mengumpat, memfitnah dan sebagainya tidak membatalkan puasa, namun ia mengurangkan pahala ibadah puasa seseorang. Oleh itu, individu yang mengerjakan ibadah puasa hendaklah menjauhi segala perkara yang boleh menyebabkan ibadah puasa menjadi sia-sia.

Jabir Bin Abdullah al-Ansari menyatakan: Apabila kamu berpuasa, biarlah telingamu, matamu, dan lidahmu juga berpuasa daripada perkara dusta dan dosa. Tinggalkanlah perbuatan menyakiti orang lain, dan hendaklah kamu berkelakuan tenang dan penuh ketenangan pada hari puasamu. Jangan jadikan hari kamu tidak berpuasa sama seperti hari kamu berpuasa. (Lihat Yanabi’ al-Minbar Majmu’ah Khitab wa Maqalatal-Majmu’ah al-Ula, hlm.102)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam